KUALA LUMPUR 3 Nov. – Umat Islam wajib menolak tuntutan-tuntutan dibuat oleh Gabungan NGO- NGO Hak Asasi Manusia (Comango) kerana bercanggah dengan al-Quran dan sunah.

KamalHassan-Comango-UM-4Nov2013

Profesor Ulung Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Tan Sri Dr. Mohd. Kamal Hassan berkata, keyakinan yang berpegang kepada akal sahaja dan pada masa sama menolak al-Quran dan sunah boleh menjurus kepada kekufuran.

Menurut beliau, orang Islam yang memiliki keyakinan sedemikian telah melakukan kesalahan, penyelewengan dan kekufuran yang amat besar.

“Akal dipertuhankan, akal bebas. Sedangkan akal yang murni menurut Islam tidak terlepas daripada wahyu. Akal dibebaskan daripada wahyu lalu dipertuhankan akal, bukan Allah SWT. Bukan al-Quran yang menjadi pegangan hidup bagi menentukan apa yang baik atau buruk.

”Kalau begitu keyakinannya, mereka boleh termasuk dalam golongan kufur. Saya tak kata mereka kafir tetapi kalau ada keyakinan seperti itu, boleh menjurus kepada kekufuran,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar Seminar Memperkasakan Pengajian Ilmu al-Quran anjuran Insititut Pengajian al-Quran dan Yayasan Semesta Berdaftar di Dewan Kuliah Utama, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya (UM) di sini hari ini.

Mohd. Kamal yang membentangkan ceramah bertajuk Pengembangan Pengajian dan Penghayatan al-Quran dari Perspektif Pemikiran Islam Kontemporari pada seminar tersebut mengulas tentang tuntutan yang dikemukakan Comango semasa di sesi semakan berkala sejagat (UPR) di hadapan Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Geneva, Switzerland, baru-baru ini.

Antara tuntutan yang dikemukakan Comango adalah hak kebebasan orientasi seks, lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT), hak kebebasan murtad bagi orang Islam dan hak kesamarataan agama di negara ini.

Beliau menambah, segelintir umat Islam terikut-ikut dengan konsep hak asasi manusia acuan Barat sehingga mengatasi hak terhadap Allah SWT kerana mereka kurang menghayati ajaran Islam.

“Kebanyakan mereka ini bukan berpegang kepada agama sebagai landasan hidup. Pada mereka, akal fikiran bebas daripada wahyu, itu yang menjadi kayu ukur mereka.

“Mereka merasakan bahawa manusia mempunyai hak yang perlu dihormati oleh negara termasuk hak golongan LGBT,” ujarnya.

Jelas Mohd. Kamal, pemikiran sebegitu hanya bersandarkan kepada logik manusia semata-mata dan tidak boleh diterima kerana bercanggah dengan wahyu Allah SWT yang terkandung di dalam al-Quran.

sumber: © Utusan Melayu (M) Bhd