Gabungan Pertubuhan-pertubuhan Islam di dalam Proses Semakan Berkala Sejagat ke Geneva, Switzerland (MuslimUPRo)

 MUSLIMpro official logo

Kenyataan Akhbar 1 November 2013 bersamaan 27 Duzlhijjah 1434

 

Dari 17 hingga 31 Oktober 2013, delegasi rasmi MuslimUPRo seramai 16 orang telah berada di Geneva, Switzerland sebagai sebahagian usaha melobi serta menjadi pemerhati semasa sesi UPR Malaysia berlangsung pada 24 Oktober 2013. Seramai 5 ahli delegasi telah ditauliahkan akreditasi pemerhati dengan status konsultansi NGO ECOSOC manakala 11 lagi sebagai pemerhati biasa.

Fokus MuslimUPRo ialah pada menjelaskan kedudukan Islam di dalam Perlembagaan Persektuan serta memastikan perwakilan kerajaan tegas menolak tuntutan-tuntutan oleh mana-mana NGO-NGO Hak Asasi Manusia (HAM) yang menafikan implikasi keistimewaan kedudukan Islam di dalam Perlembagaan Persekutuan dan realiti keagamaan masyarakat Malaysia.

MuslimUPRo mengiktiraf proses UPR sebagai salah satu mekanisme bukan teknikal bagi semakan rekod HAM sesebuah Negara dan mahukan Malaysia meneruskan komitmen terhadap proses tersebut selagi mana tidak wujud tuntutan-tuntutan yang mencemar kedaulatan Negara dan kedudukan Islam sebagai agama persekutuan. Perlu juga ditegaskan bahawa MuslimUPRo tidak menentang mana-mana saranan atau tuntutan yang mempunyai asas keabsahan (legitimate basis), termasuk yang dikemukakan melalui gabungan NGO HAM seperti COMANGO.

Penerimaan muktamad (final adoption) laporan bagi Malaysia pada pusingan kedua sesi UPR 2013 ini hanya akan dilakukan semasa sesi ke 25 Majlis Hak Asasi Manusia (OHRC) yang akan berlangsung pada bulan Mac 2014. Walaubagaimanapun, deraf laporan untuk penerimaan awal (preliminary adoption) pada 31 Oktober 2013 memberikan gambaran umum tentang respons Negara-negara anggota PBB terhadap rekod HAM Malaysia.

Terdapat pelbagai saranan yang dikemukakan kepada Malaysia oleh 104 negara. Pada hakikatnya, beberapa saranan tersebut adalah selari dengan kandungan tuntutan-tuntutan di dalam laporan COMANGO yang membentuk sebahagian dari asas semakan UPR pada kali ini. Secara khusus, MuslimUPRo telah membangkitkan tindakan COMANGO mencabar kedudukan Islam di Malaysia (disebalik tuntutan COMANGO untuk Malaysia menandatangani ICCPR dan ini terzahir dalam saranan beberapa negara seperti Poland, Latvia, Sierra Leone, Benin, Uruguay, Ireland, Slovenia, Mesir, Slovakia dan lain-lain), isu pengiktirafan hak-hak LGBT (saranan negara negara seperti Jerman, Croatia, Perancis, Argentina, Kanada, Belanda dan Austria) serta tuntutan mengizinkan amalan dan penyebaran Syiah (dengan bertopengkan saranan menghapuskan tindakan-tindakan Malaysia yang didakwa sebagai “anti diskriminasi agama” yang ditimbulkan perwakilan Iran). Ini membuktikan kebenaran dakwaan MuslimUPRo mengenai niat tidak baik COMANGO mencemarkan nama Malaysia di peringkat antarabangsa melalui tuntutan-tuntutan tidak munasabah tersebut.

MuslimUPRo berkongsi pendirian kerajaan Malaysia melalui ketua delegasinya Dato’ Ho May Yong, Timbalan Ketua Setiausaha Hal Ehwal Pelbagai Hala, Kementerian Luar berkenaan keperluan untuk meningkatkan perhatian dan tindakan bagi memperbaiki pencapaian HAM di Malaysia. Walaubagaimanapun MuslimUPRo konsisten dengan pendirian bahawa sebarang keputusan dan tindakan menjalankan HAM hendaklah mengikut lunas dan kerangka Perlembagaan Persekutuan, khususnya berkenaan kedudukan Islam sebagai agama persekutuan.

Sehubungan dengan itu, MuslimUPRo ingin menyeru Kerajaan Malaysia agar berhati-hati di dalam menerima syor-syor yang dikemukakan di dalam deraf laporan tersebut, khususnya pada perkara-perkara berikut:

1)      Syor- untuk menandatangani ICCPR dan ICERD, sebagai contoh para perenggan-perenggan 146.4, 146.5, 146.6, 146.8, 146.9, 146.10, 146.12, 146.13, 146.22, 146.23. MuslimUPRo telah memberikan peringatan awal bahawa Artikel 18 di dalam ICCPR, yang dibaca bersama di dalam UDHR akan membuka ruang untuk individu Islam meninggalkan agama mereka (murtad);

2)      Syor berkaitan hak-hak golongan LGBTI pada perenggan-perenggan 146.98, 146.99, 146.100, 146.101, 146.102, 146.103, 146.104 di dalam deraf laporan. Adalah mustahak untuk diketahui bahawa lobi berterusan yang agresif mengenai hak-hak LGBTI ini berlaku di pelbagai peringkat semenjak kebelakangan ini, khususnya oleh kerana hujah yang didasarkan pada Perisytiharan Prinsip-prinsip Jogjakarta 2006 telah dibuat di Negara Muslim terbesar di dunia iaitu Indonesia. Malaysia seharusnya meneruskan sikap konsistennya menolak pengiktirafan hak-hak LGBTI seperti yang dizahirkan ketika menarik diri dari Forum mengenai SOGI di Majlis Hak Asasi Manusia bersama-sama Negara-negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) pada bulan Februari 2012 serta apabila menandatangani Deklarasi Hak Asasi Manusia ASEAN pada bulan November 2012;

3)      Saranan berkenaan hak kebebasan beragama seperti pada perenggan-perenggan 146.152, 146.153, 146.156 di dalam deraf laporan. MuslimUPRo ingin mengiktiraf kenyataan perwakilan Malaysia melalui JAKIM yang menegaskan penerimaan fahaman sunni sebagai fahaman arus perdana umat Islam di Malaysia. Ketetapan pendirian ini perlu diteruskan bagi mengelakkan perselisihan tidak perlu di kalangan umat Islam di Negara ini.

Jika diukur segi impak penglibatan MuslimUPRo sebagai pelobi dan pemerhati yang diberikan status konsultatif NGO ECOSOC pada semakan pusingan kedua 24 Oktober 2013 lepas, MuslimUPRo ingin menegaskan pemerhatian seperti berikut:

1)     MuslimUPRo telah berhadapan dengan kewujudan mentaliti dan budaya Islamophobia dan double standard yang meluas di kalangan NGO HAM Barat akibat salah faham dalam jangka masa yang lama. Wujud juga tanggapan salah bahawa gelanggang HAM ini adalah monopoli NGO tertentu. Sikap ini terzahir apabila kehadiran MuslimUPRo, seperti dijangka, telah dilabel beberapa pihak dengan istilah stereotaip media barat seperti “fundamentalis Muslim” dan tidak dilihat sebagai salah satu elemen penting yang mewakili realiti kepelbagaian agama dan budaya negara negara anggota PBB. Adalah menghairankan apabila ada NGI melahirkan keprihatinan mengenai hak-hak orang Islam maka diberikan tanggapan yang negatif oleh NGO HAM;

2)     MuslimUPRo menegaskan pendirian bahawa hanya kerana beberapa negara-negara Islam atau majoriti Muslim telah menandatangani konvensyen dan instrumen HAM antarabangsa, maka tidak semestinya Malaysia juga turut menandatangani konvensyen dan instrumen tersebut. Negara-negara seperti Maldives dan Turki tidak mempunyai status yang sama seperti Malaysia yang meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan, manakala Mesir dan Tunisia dan beberapa Negara majoriti Muslim lain agak malang kerana telah dinafikan hak-hak untuk mengetahui kesan-kesan jangka panjang konvensyen dan instrumen yang ditandatangani, oleh kerana sangat kurang berlaku wacana kritis dan kefahaman yang betul di kalangan negara negara Muslim tersebut tentang prinsip prinsip HAM yang bersesuaian dengan Islam;

3)     MuslimUPRo telah memecahkan dominasi NGO-NGO HAM yang membuat beberapa tuntutan tidak munasabah di dalam laporan COMANGO bertarikh 11 Mac 2013 yang menjadi sebahagian asas semakan rekod HAM Malaysia. Malah, terzahir sikap hipokrit COMANGO yang membuat aduan terhadap Majlis Hak Asasi Manusia mengenai kehadiran MuslimUPRo sebagai pemerhati di dalam proses UPR pada kali ini dan memberikan persepsi kurang tepat mengenai kedudukan Islam di Malaysia kepada beberapa misi perwakilan Negara-negara Barat di Geneva;

4)     Di sebalik keterbatasan sumber yang mengekangnya, MuslimUPRo telah melalui siri dialog dan perbincangan dengan beberapa NGO HAM di Geneva, telah berjaya mengenengahkan perspektif yang betul mengenai kedudukan Islam di Malaysia menurut Perkara 3(1) dan Perkara 37 Perlembagaan Persekutuan yang wajib dihormati dan diambilkita dalam melaksanakan idea dan tindakan HAM;

5)     Sebagai langkah jangka masa panjang, MuslimUPRo telah mewujudkan kerjasama strategik bersama beberapa NGO HAM berpengkalan di Geneva yang sedar wujudnya salah faham meluas mengenai rekod sebenar HAM di Malaysia khususnya berkaitan Islam dan umat Islam. MuslimUPRo juga akan memulakan latihan berbentuk zamalah kesarjanaan (fellowship) untuk aktivis-aktivis terpilih bagi memastikan wujud keberkesanan usaha melobi di dalam UPR di masa hadapan;

6)     MuslimUPRo juga menyambut baik respons dan cadangan daripada Duta dan Perwakilan Tetap OIC ke Geneva, Tuan Yang Terutama Sliman Chaikh yang mahukan kerjasama utuh diantara NGI dan negara negara Pertubuhan tersebut, dalam mengenengahkan isu isu HAM yang absah di kalangan negara negara anggota. Ternyata peranan Malaysia sangat diperlukan untuj mewujudkan gelombang baru kesedaran dan penyertaan proaktif negara negara OIC di dalam proses UPR dan instrumen instrumen HAM lain;

7)     MuslimUPRo juga akan memulakan inisiatif untuk mengemukakan laporan stakeholder yang lengkap bagi dijadikan asas pertimbangan semakan rekod HAM Malaysia pada pusingan UPR di masa hadapan (tahun 2017/2018).

Akhirnya, MuslimUPRo juga ingin melontarkan dua persoalan utama berikut:

1.       Pendirian Majlis Peguam

MuslimUPRo mempersoalkan sama ada Majlis Peguam telah mendapat mandat daripada ahli-ahlinya, khususnya yang beragama Islam, untuk menyokong serta menjadi sebahagian gabungan COMANGO yang telah mengeluarkan laporan yang terkandung di dalamnya tuntutan perkara-perkara yang bertentangan dengan Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan dan menyemarakkan homoseksual melalui tuntutan menghapuskan seksyen 377(A) Kanun Kesiksaan? Umum mengetahui bahawa kira-kira 40% keahlian badan tersebut terdiri daripada kalangan peguam beragama Islam justeru mustahil mereka telah memberikan mandat untuk menyokong hak meninggalkan agama dan hak-hak LGBTI;

2.      Pendirian Badan-badan Agama di Malaysia 

Apakah pendirian rasmi badan badan yang mewakili penganut agama-agama di Malaysia, seperi Majlis Perundingan Malaysia Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Taois (MCCBCHST), Christian Federation of Malaysia dan Young Buddhist Association yang menyokong tuntutan COMANGO khususnya mengenai desakan negara negara anggota PBB untuk Malaysia mengiktiraf hak hak LGBT? Adakah ini bermakna denominasi agama Kristian dan Buddha di Malaysia mengiktiraf amalan homoseksualiti di dalam agama anutan mereka? Pendirian ini sangat bertentangan dengan ajaran Kristian dan Buddha serta tidak sejajar dengan prinsip Rukunegara berhubung prinsip kepercayaan kepada Tuhan serta kesopanan dan kesusilaan. Malah, sebahagian anggota MCCBCHST yang menduduki Jawatankuasa Mempromosikan Persefahaman dan Keharmonian Di Antara Penganut Agama, Jabatan Perpaduan Nasional dan Integrasi Nasional (JPNIN) bertanggungjawab untuk menjelaskan kepada rakyat Malaysia mengapa mereka menyokong tuntutan-tuntutan yang dilarang agama-agama mereka sendiri seperti yang terkandung di dalam laporan COMANGO;

 

Azril Mohd Amin

Ketua Delegasi Gabungan Pertubuhan-pertubuhan Islam di dalam Proses Semakan Berkala Sejagat (MuslimUPRo)

Hotel Marriot, Putrajaya

1 November 2013

MuslimUPRo adalah dianggotai oleh Pertubuhan-pertubuhan Islam dan Umat Islam utama termasuk Gabungan Pertubuhan-pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA), Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM), Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (MUAFAKAT), Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), JATI, Majlis Amal Islami Malaysia, IKATAN, PERKIM, Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA), PEMBINA, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), PERMIM, JATI, PERKID, PERKASA, PROMUSLIM, JAM”IYYAH, Yayasan Nassar, Lembaga Kebajikan Perempuan Islam Malaysia (LKPIM), Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK), ISSI Malaysia, GABUNGAN Pulau Pinang, PINTA, Majlis Ittihad Ummah, Persatuan Ummah Cemerlang Malaysia, Khalifah Institute, Persatuan Nur Alamiyyah, Pertubuhan Anak Watan Malaysia (WATAN), Sekretariat Ulama-Umara’ (UMUM).

Advertisements