SHAH ALAM 14 Nov. – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan semua rakyat khasnya di negeri ini tanpa mengira kaum serta latar belakang agama akur dan patuh kepada larangan pengunaan kalimah Allah oleh mereka yang bukan beragama Islam.

sultan selangorTitah baginda itu dinyatakan menerusi kenyataan khas yang dikemukakan Setiausaha Dewan diRaja Selangor, Hanafisah Jais di sini hari ini.

Dalam kenyataan khas itu, baginda mahu semua rakyat mematuhi larangan tersebut seperti mana yang telah tertakluk di bawah Seksyen 9, Bahagian 1 Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan Pengembangan Di kalangan Orang Islam) 1988.

Menurut Hanafisah, menerusi kenyataan khas itu, baginda turut bertitah enakmen tersebut adalah terpakai kepada semua rakyat Selangor sama ada mereka itu beragama Islam atau bukan Islam.

“Selanjutnya, baginda bertitah supaya semua rakyat negeri Selangor perlu patuh kepada keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor yang telah diwartakan pada 18 Februari 2010.

“Keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor telah memutuskan kalimah Allah adalah kalimah suci yang khusus bagi agama dan umat Islam dan tidak boleh digunakan untuk merujuk kepada tuhan dalam agama-agama lain,” katanya.

Dalam masa sama, menurut Hanafisah, kenyataan khas itu turut menyatakan penegasan baginda terhadap kedudukan agama Islam di negara ini yang mana telah didaulatkan dalam Artikel 3 Perlembagaan Persekutuan sebagai agama Persekutuan dan mempunyai kedudukan istimewa berbanding agama-agama lain. – UTUSAN ONLINE

sumber: © Utusan Melayu (M) Bhd 

Advertisements