Pada 10 Disember 2013, bersempena dengan Hari Hak Asasi Manusia pada tahun ini, Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM), Tan Sri Hasmy Agam, telah membuat kenyataan tentang cabaran yang dikemukakan kepada pegawai kerajaanMyanmar untuk bersaing dengan Malaysia di dalam menandatangani dan meratifikasi konvensyen-konvensyen antarabangsa Hak Asasi Manusia (HAM). Asas hujahan beliau adalah Myanmar telah membuat beberapa pembaharuan semenjak tahun-tahun mutakhir, termasuklah membebaskan tahanan politik, melonggarkan penapisan media dan membenarkan kebebasan berhimpun di dalam Negara yang sebelum ini dikenali sebagai diktator itu. Maka pada hemat dan logik Tan Sri Hasmy, Myanmar akan lebih proaktif menyahut cabaran tersebut dan Malaysia akan ketinggalan segi rekod pencapaian HAM di peringkat sejagat kerana kerajaan kita terlalu berhati-hati di dalam menandatangani baki konvensyen-konvensyen HAM tersebut.

Tan Sri Hasmy telah menyatakan harapan beliau (dan saya percaya harapan SUHAKAM) untuk Malaysia menandatangani kesemua sembilan konvensyen HAM menjelang tahun 2020 bagi memberikan asas untuk mahkamah-mahkamah di Negara ini memastikan pematuhan HAM oleh kerajaan.

Kenyataan ini tidak wajar diterima bulat-bulat, khususnya apabila Malaysia dibandingkan dengan Myanmar segi rekod ‘pencapaian HAM’. Menurut pemikiran simplistik sebegini, sekiranya Malaysia menandatangani kesemua konvensyen-konvensyen HAM, maka Malaysia sudah pasti akan mencapai standard pencapaian rekod HAM dan akan duduk di tangga teratas kedudukan Negara-negara anggota PBB yang memiliki “pencapaian luar biasa” HAM kerana menurut dengan sepenuhnya kesemua konvensyen-konvensyen HAM antarabangsa.

Kita mengetahui melalui media-media arus perdana dan alternatif berhubung kekejaman rejim Myanmar terhadap umat Islam Rohingya yang dibakar hidup-hidup, dinafikan hak asas mendapat kerakyatan, malah diusir keluar dari Negara tersebut sehingga dibiarkan hidup melarat di merata dunia. Tidak kurang 400, 000 umat Islam Rohingya melalui trauma pembersihan etnik yang menyebabkan kematian dan kemusnahan hartabenda, termasuk beribu-ribu pelarian di Malaysia. Jika Myanmar menandatangani dan meratifikasi lebih banyak konvensyen HAM dari Malaysia sekalipun, saya tidak fikir “tindakan proaktif” tersebut akan mengembalikan sifat kemanusiaan mereka terhadap saudara Muslim Rohingya kita. Hal ini merupakan isu yang sangat asas tetapi kritikal terhadap bagi umat manusia. Ini belum lagi menyentuh keadaan sosio-ekonomi dan aspek-aspek lain secara keseluruhan di antara Myanmar dan Malaysia. Sudah tentu lebih adil jika dinyatakan bahawa Malaysia telah banyak melakukan perkara yang wajar untuk rakyatnya menikmati hak-hak yang lebih baik dibandingkan dengan rakyat Myanmar.

Pandangan Tan Sri Hasmy rupa-rupanya telah didahului pendirian Dato’ Saifuddin Abdullah, Pengerusi Global Movement of Moderates (GMM) yang menyatakan padasidang akhbar 9 Disember 2013, bahawa kedudukan (ranking) Malaysia di kalangan Negara-negara anggota PBB tidak baik oleh kerana Malaysia hanya menandatangani tiga dari Sembilan konvensyen HAM. Menurut beliau, dengan tidak membuat ratifikasi, Malaysia berada di tempat kesepuluh dari bawah di kalangan Negara-negara anggota PBB, dan yang tercorot di kalangan Negara-negara anggota OIC. Dato’ Saifuddin senada dengan PROHAM, sebuah lagi NGO HAM, yang mahukan Malaysia menandatangani kesemua konvensyen-konvensyen tersebut demi meletakkan Negara ini di tangga teratas pencapaian HAM di peringkat sejagat. Dalam keghairahan hendak mencapai ‘ranking’ yang teratas, Dato’ Saifuddin mungkin terlupa bahawa pendekatan kesederhanaan itu juga perlu mengambilkira aspek-aspek utama yang membentuk sesebuah Negara seperti Malaysia, khususnya kedudukan Islam sebagai agama Negara, serta realiti dan sejarah latarbelakang budaya masyarakat setempat. Hal ini tidak semestinya tertakluk pada Malaysia menandatangani kesemua konvensyen-konvensyen HAM. Janganlah oleh kerana hanya ghairah hendak mencapai ‘ranking’ yang tinggi, maka inisiatif sebenar untuk memperbaiki kedudukan HAM di Malaysia tidak diberikan keutamaan sewajarnya dan menurut realiti yang wujud pada aspek-aspek utama seperti agama, budaya dan sejarah Negara ini.

Saya fikir pandangan-pandangan tersebut di atas telah dipengaruhi di antaranya oleh komentar Alyaa AlHadjri, seorang wartawan TheAntDaily, yang memperlekehkan inisiatif MuslimUPRo menjelaskan kepada Negara-negara anggota PBB tentang kedudukan Islam di Malaysia dan mempersoalkan sama ada pertubuhan-pertubuhan Islam berpandangan bahawa Malaysia lebih Islamik daripada Afghanistan hanya kerana kita lewat meratifikasi konvensyen-konvensyen HAM. Malah, Andrew Khoo, pengerusi bersama Jawatankuasa HAM Majlis Peguam (Bar Council) juga berpandangan oleh kerana banyak Negara-negara Islam lain telah menandatangani konvensyen-konvensyen HAM terutamanya ICCPR, maka Malaysia juga sepatutnya menurut sahaja tanpa persoalan.

Ternyata pandangan taksub para penganut fahaman HAM ini semakin berleluasa, terutamanya semenjak perkembangan proses Semakan Berkala Sejagat (UPR) Malaysia yang telah berlangsung pada 24 Oktober 2013 lalu yang menimbulkan minat serta keprihatinan terhadap isu HAM yang sangat meluas di kalangan masyarakat. Walaubagaimanapun pada hakikatnya kita harus berwaspada dengan pemikiran dangkal seumpama ini, oleh kerana gerakan HAM mutakhir ini bukanlah baharu, malah berakar umbi dan mendapat aspirasi dari kerangka ideologi HAM yang tidak sempurna serta berlatarbelakangkan sejarah hiprokasi Barat yang penuh dengan kontroversi.

Adalah tidak adil untuk membandingkan Malaysia dengan Negara-negara lain seperti Myanmar dan Afghanistan apabila berhujah tentang ratifikasi konvensyen-konvensyen HAM. Sudah tentu keadaan umat Islam di Malaysia serta usaha kita untuk memperbaiki keadaan HAM di negara ini adalah lebih baik dan wujud ruang pemerkasaan yang sangat meluas. Walaubagaimanapun, tindakan untuk melaksanakan prinsip HAM ini perlu tegas mengambilkira latarbelakang UDHR yang telah dideraf berdasarkan pada ideologi liberal sekular mengenepikan semua rujukan terhadap agama di dalam prinsip dan tindakan mempertahankan HAM. Hasilnya, wujud beberapa tuntutan HAM yang tidak boleh diterima khususnya kalangan kita yang beragama Islam. Malah, penolakan terhadap desakan Brazil untuk memasukkan rujukan terhadap prinsip ketuhanan semasa UDHR itu membuktikan bahawa faktor agama merupakan hal yang penting bagi setiap agama besar dunia seperti Kristian di dalam usaha manusiawi menetapkan nilai-nilai HAM mereka melalui instrumen seperti UDHR dan konvensyen-konvensyen sejagat lain. Bukan hanya agama Islam yang khuatir and mewaspadai manusia tentang ciri-ciri liberal sekular yang melatari ideologi HAM ini.

Adalah malang juga bahawa Negara-negara Islam seperti Afghanistan, Tunisia, Chad, Mesir dan lain-lain dijadikan perbandingan oleh mereka yang mahu menekan Malaysia untuk menandatangani konvensyen-konvensyen tertentu. Umum mengetahui bahawa hampir kesemua Negara-negara Islam di dunia mengalami kesan trauma peperangan ataupun masih dijajah semasa pengisytiharan HAM di buat melalui UDHR. Pada hakikatnya, PBB telah dihalang dan dinafikan untuk mengetahui artikulasi yang tepat mengenai pandangan tradisi Islam mengenai HAM semasa proses penderafan UDHR dilakukan. Malah, Negara-negara Islam sendiri telah melakukan kesilapan besar dengan menghantar sama ada perwakilan yang tidak kompeten (seperti bekas pegawai tinggi tentera yang dihadiahkan status perwakilan atas khidmat jasa kepada negaranya), para perwakilan Muslim yang berfahaman sekular ataupun perwakilan yang tidak beragama Islam dan tidak berautoriti di dalam syariah (seperti Jamil Baroody seorang Lebanon beragama Kristian yang mewakili Arab Saudi di dalam Jawatankuasa Menderaf) dokumen-dokumen awal HAM termasuklah ICCPR. Hakikat ini perlu disedari SUHAKAM, GMM serta khalayak Muslim yang terlampau kagum dengan ideologi liberal sekular HAM.

Masyarakat awam juga sedar betapa keadaan di Negara-negara yang kononnya telah menandatangani ICCPR adalah lebih menyedihkan dari Malaysia sebagai sebuah Negara berdaulat dan meletakkan Islam sebagai agama persekutuannya. Semasa sesi UPR terhadap Malaysia sedang dijalankan pada 24 Oktober 2013, Tunisia (yang telah menandatangani ICCPR) bergelut dengan suasana kekacauan domestik yang sangat memenatkan, apabila ribuan penduduk bertembung dengan pihak berkuasa di dalam demonstrasi jalanan yang menjadi bukti mereka tidak boleh bersetuju dengan deraf perlembagaan Negara mereka sendiri. Apa gunanya gah menandatangani konvensyen sejagat seperti ICCPR apabila perlembagaan Negara sendiri tidak boleh disepakati? Begitu juga Negara-negara seperti Mesir yang sekarang ini sedang ditekan oleh kerana menghalang kebebasan untuk murtad di kalangan rakyat beragama Islam sedangkan Negara tersebut telah menandatangani ICCPR yang termasuk di dalamnya Perkara 18 yang mengizinkan seseorang individu untuk menukar agama dengan sewenang-wenangnya?

Melihat pada perkembangan mutakhir juga, kerajaan dinasihatkan untuk tidak mengambil secara semberono pandangan-pandangan SUHAKAM dan GMM yang cenderung pada pemikiran liberal. Pendirian seumpama ini tidak membantu di dalam pembentukan pandangan bebas yang berwibawa yang dapat dijadikan panduan untuk Malaysia membentuk acuan kefahaman HAMnya sendiri berdasarkan prinsip-prinsip Islam dan semangat serta peruntukan-peruntukan di dalam Perlembagaan Persektuan. Untuk kita menyeronokkan diri dengan pencapaian kedudukan (ranking) yang tinggi hanya kerana kita menandatangani kesemua konvensyen-konvensyen HAM di dunia adalah bersifat hipokrit dan tidak menggambarkan hasrat Malaysia untuk maju berasaskan acuan kita sendiri. Malah, jika Malaysia tidak memimpin gerakan memurnikan semula ideologi HAM sejagat sebagaimana yang diharapkan banyak Negara-negara anggota OIC, maka kita akan dipersoalkan kelak tentang tanggungjawab berat menjadi saksi terhadap umat Islam di dalam perkara-perkara yang sangat penting berkaitan kemaslahatan aqidah, syariat dan akhlaq umat Islam secara keseluruhannya.

Malah, seksyen 4(4) Akta SUHAKAM 1999 (Akta 597) berkenaan menegaskan bahawa hendaklah diberi perhatian berat kepada UDHR selagi Pengisytiharan itu tidak bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan. Ini bermakna, apa jua hak dan kebebasan yang tidak disebut dalam Bahagian II tetapi ada dirujuk dalam UDHR mesti dipertimbangkan dengan syarat tidak ada percanggahan dengan Perlembagaan Persekutuan. Justeru, di dalam mengesyorkan sama ada patut atau tidak Malaysia menandatangani konvensyen-konvensyen HAM tertentu, tidak wajar SUHAKAM atau mana-mana pihak yang ghairah dan kagum dengan UDHR tersebut mengenepikan amanah serta tanggungjawab ini.

azrilmohdaminsumber: http://azrilmohdamin.com – Azril Mohd Amin ialah naib presiden Persatuan Peguam-peguam Muslim Malaysia dan telah mengetuai Delegasi Pertubuhan-pertubuhan Islam di dalam Proses Semakan Berkala Sejagat (MuslimUPRo) ke Geneva, Switzerland pada 24 Oktober 2013.