KENYATAAN MEDIA DELEGASI PERTUBUHAN-PERTUBUHAN ISLAM DI DALAM SEMAKAN BERKALA SEJAGAT (MUSLIMUPRO)

12 Mac 2014 │ 10 Jamadil Awal 1435 │ Bangi, Selangor Darul Ehsan

MUSLIMpro official logoKenyataan media ini dikeluarkan bersempena Seminar Islam dan Hak Asasi Manusia: Cabaran Tuntutan COMANGO dan Masa Depan Malaysia, yang dianjurkan sebagai penzahiran kerjasama MuslimUPRo, Fakulti Usuludin dan Falsafah, Jabatan Pengajian Islam, UKM dan Yayasan Dakwah Islamiyah Malaysia (YADIM). Seminar yang dianjurkan ini berhasrat memperhalusi kajian tema-tema penting di sekitar isu-isu HAM menurut pandangan Islam dan juga sebagai medan untuk MuslimUPRo dan pertubuhan-pertubuhan Islam Bukan Kerajaan (NGI) berkongsi idea dan pengalaman semasa sesi UPR dan mendapatkan respons serta pandangan arah tuju perjuangan HAM menurut perspektif Islam.

Seminar ini juga ingin meneruskan sebahagian inisiatif penyelidikan dan penerbitan sebagai sumbangan terhadap kegiatan ilmiah di dalam bidang kajian Islam dan HAM serta memperkasa wacana Islam dan HAM di peringkat nasional, serantau dan antarabangsa dengan pendedahan isu-isu mutakhir serta kupasan cabaran-cabaran yang melatari perkembangan perbahasan Islam dan HAM di pelbagai peringkat. Selain itu, seminar ini juga ingin mengenal pasti di kalangan ahli akademik dan aktivis NGI yang boleh diketengahkan untuk memperkasa agenda memperjuangkan isu-isu HAM dari peringkat serantau dan antarabangsa termasuk di dalam proses UPR.

Pihak MuslimUPRo juga ingin mengumumkan penghantaran delegasi rasmi ke sesi penerimaan muktamad (final adoption) di Geneva, Switzerland yang akan diadakan pada 20 Mac 2014 di Majlis Hak Asasi Manusia. Delegasi seramai enam orang terdiri daripada Azril Mohd Amin (Pengerusi/ Ketua Delegasi MuslimUPRo), Ustaz Nasharuddin Mat Isa, (Pengerusi Yayasan Nassar), Dr. Yusri Mohamad (Presiden, Institut Kajian Islam & Strategik – ISSI), Mohd Gunawan bin Che Ab Aziz (Pengerusi, Majlis Ittihad Ummah), Haji Aminuddin Yahaya (Timbalan Presiden, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) merangkap Setiausaha ACCIN dan Mohamed Hafiz bin Mohamed Nordin, (Pengerusi Pertubuhan-pertubuhan Pembela Islam – PEMBELA).

Fokus misi delegasi MuslimUPRo pada kali ini adalah untuk terus memantau perkembangan syor-syor yang telah dikemukakan terhadap kerajaan Malaysia semasa sesi pusingan kedua Semakan Berkala Sejagat berlangsung pada bulan Oktober lalu. Sebanyak 232 syor-syor telah dikemukakan oleh negara-negara anggota Majlis HAM. Sementara pihak MuslimUPRo menerima saranan-saranan pembaikan HAM di dalam pelbagai bentuk sebagaimana yang telah dikemukakan di dalam deraf laporan UPR Malaysia yang terdahulu, MuslimUPRo tetap tegas menolak enam tuntutan kontroversi yang terkandung di dalam Laporan COMANGO bertarikh 11 Mac 2013 yang telah menjadi asas pada semakan situasi HAM di Malaysia semasa sesi UPR. Tertakluk pada kebenaran akreditasi yang diberikan Majlis HAM, MuslimUPRo akan menyatakan pandangan lisan secara rasmi di dalam sesi penerimaan tersebut untuk menzahirkan pendirian pertubuhan-pertubuhan Islam terhadap laporan akhir UPR Malaysia. MuslimUPRo juga akan meneruskan beberapa siri penerangan serta engagement dengan misi-misi kedutaan asing dan NGO-NGO HAM di Geneva bagi bertukar-tukar pandangan mengenai inisiatif pembaikan HAM di Malaysia serta interaksinya dengan realiti, latarbelakang serta sejarah Islam.

MuslimUPRo seterusnya ingin memaklumkan bahawa untuk strategi jangka panjang, seminar seumpama yang diadakan pada hari ini akan diperluaskan dengan institusi-insitusi akademik dan kemasyarakatan yang lain di dalam jangka waktu terdekat. Selain itu, MuslimUPRo juga akan memulakan inisiatif memilih daripada kalangan pertubuhan Islam bukan kerajaan (NGI) aktivis-aktivis yang berpotensi untuk menjalani Zamalah Islam dan Hak Asasi Manusia, termasuk peluang untuk dihantar ke Geneva bagi mendapat latihan serta pendedahan terhadap mekanisme dan sistem HAM di peringkat Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB). Selain itu, MuslimUPRo juga telah memulakan usaha penyelidikan untuk menghasilkan laporan interim situasi HAM di Malaysia menurut kacamata Islam yang akan dikumpulkan untuk membentuk laporan stakeholder bagi sesi pusingan ketiga Semakan Berkala Sejagat pada tahun 2017 kelak. Usaha ini dijalankan dengan kerjasama pelbagai NGI yang bergabung dengan MuslimUPRo serta dengan NGI lain yang berperanan serta berkedudukan strategik memberikan respons terhadap situasi HAM di Malaysia secara bertanggungjawab serta tidak melanggar lunas-lunas kedaulatan Perlembagaan Persekutuan.

Pihak MuslimUPRo ingin memohon doa daripada rakyat Malaysia agar Kerajaan Malaysia meneruskan pendirian tegas menolak mana-mana tuntutan HAM yang melanggar kedaulatan Perlembagaan Persekutuan dan kesucian Islam di Negara ini. Melalui kacamata antarabangsa, Malaysia mampu menawarkan penyelesaian strategik terhadap isu-isu kontroversi melibatkan tuntutan-tuntutan HAM, seperti isu kebebasan beragama, LGBT serta isu-isu di sekitar mempertahankan kedaulatan Perlembagaan Persekutuan melalui model kesederhanaan yang ditampilkan kepimpinan YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib bin Tun Abdul Razak.

Seterusnya, kepimpinan Malaysia sangat diperlukan di dalam arena antarabangsa untuk membentuk acuan tuntutan HAM yang munasabah serta tidak melampaui batas kemanusiaaan, seperti yang dizahirkan beberapa Negara barat yang ghairah memperjuangkan tuntutan HAM mengikut pandangan liberal-sekular mereka sehingga boleh membawa kehancuran pada tamadun kemanusiaan. Peranan Malaysia dilihat sebagai mampu menawarkan artikulasi alternatif terhadap fahaman HAM kontemporari, serta berupaya memperkasa Negara-negara yang bergabung di bawah Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan Pergerakan Negara Berkecuali (NAM) di peringkat antarabangsa.

MuslimUPRo akan terus menyokong inisiatif murni dan hasrat mempertahankan dan memperbaiki keadaan HAM di Malaysia. Penglibatan MuslimUPRo sebagai suara masyarakat sivil diharap dapat terus memberikan impak serta kesan jangka panjang di dalam usaha memperbaiki keadaan HAM di Malaysia tanpa berkompromi terhadap isu-isu yang mencabar kesucian Islam dan kedaulatan Perlembagaan Persekutuan yang kita hormati.

Azril Mohd Amin │ Pengerusi MuslimUPRo