logo muafakat 2012KENYATAAN MEDIA PERTUBUHAN MUAFAKAT SEJAHTERA MASYARAKAT MALAYSIA (MUAFAKAT) BERKAITAN KONSERT – FUTURE MUSIC FESTIVAL ASIA (FMFA 2014)

Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (MUAFAKAT) mengecam penganjuran Konsert ‘Future Music Festival Asia 2014’ yang sempat berlangsung selama dua hari di perkarangan Stadium Bukit Jalil pada 13 – 14hb Mac 2014.

Laporan akhbar arus perdana menyatakan enam penonton konsert tersebut mati dan beberapa lagi kritikal dipercayai akibat pengambilan dadah sintetik secara berlebihan. Lebih malang lagi, melibatkan remaja-remaja yang beragama Islam.

Sehubungan dengan itu, MUAFAKAT mempersoalkan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan bagaimana kementerian boleh menyokong aktiviti yang meruntuhkan akhlak dan moral seperti ini? MUAFAKAT mendapati acara konsert ini juga ada dihebahkan di dalam laman sesawang rasmi ‘Tourism Malaysia’.

Perlu diberi perhatian serius bahawa NGO-NGO Islam telah memainkan peranan penting menyokong dasar-dasar kerajaan dengan mengadakan aktiviti-aktiviti serta program-program untuk membina masyarakat melalui penerapan nilai-nilai akhlak mulia dan kerohanian yang tinggi. Mereka juga bertungkus-lumus berusaha membasmi punca-punca keruntuhan akhlak dan moral seperti ketagihan dadah dan hiburan liar terutamanya dikalangan belia.

Ternyata selama ini peranan NGO-NGO Islam ini diperlekeh dan tidak diambil peduli oleh sesetengah pihak. Mereka lebih mementingkan keuntungan kebendaan melalui budaya hedonisme tanpa mengambil kira kerugian yang lebih besar iaitu keruntuhan akhlak masyarakat. MUAFAKAT menyokong aktiviti pelancongan di negara ini tetapi mestilah bertepatan dengan nilai akhlak dan budaya mulia yang berteraskan Islam sebagai Agama Negara dan bukannya sebagai hub maksiat.

MUAFAKAT kesal dengan program seperti ini maka Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan wajib memastikan program yang akan dilaksanakan dalam bentuk hiburan di masa hadapan yang melibatkan kementerian berkenaan perlu melalui saringan yang ketat mengikut piawaian akhlak Islam. Dalam kes ini – ‘Konsert Future Music Festival Asia 2014’ ternyata Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan terlibat secara langsung, maka dengan ini, MUAFAKAT mendesak menteri yang berkenaan iaitu Yang Berhormat Dato’ Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz meletakkan jawatan sebagai menteri kerana beliau bertanggungjawab dalam insiden tersebut yang melibatkan kehilangan nyawa, kerosakan `aqidah, keruntuhan akhlak serta tercalarnya maruah Malaysia sebagai sebuah Negara Islam contoh.

A.Karim Omar

Setiausaha Agung, MUAFAKAT

18hb Mac 2014