aidit-UMAHAD ini, pemilih berdaftar di Dewan Undangan  Negeri (DUN) Kajang terpaksa keluar mengundi  dalam satu pilihan raya kecil (PRK) yang dicipta  oleh pembangkang khususnya Parti Keadilan  Rakyat (PKR).

Mereka sepatutnya tidak perlu pun berbuat  demikian kerana baru sahaja melakukannya pada  Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) tahun lalu.  Hanya kerana PKR hendak menyelesaikan  masalah dalaman parti itu dan memberi ruang  kepada ketuanya, Datuk Seri Anwar Ibrahim  bertanding dan merintis jalan sebagai Menteri  Besar Selangor, kebajikan pengundi ditolak ke  tepi.

Namun manusia hanya boleh merancang  sedangkan ketentuan tuhan mengatasi  segala-galanya. Keputusan Mahkamah Rayuan  mensabitkan Anwar bersalah dan dia tidak layak  bertanding PRK Kajang, yang dicipta­nya.

Dalam wawancara dengan Utusan Malaysia,  pengasas ABIM United Kingdom, DATUK AIDIT  GHAZALI, berkongsi pandangan tentang Anwar  dan mengupas isu politik integriti yang semakin  menjauh daripada bekas idolanya itu.

Anwar Ibrahim dalam ceramahnya di PRK DUN  Kajang mengkritik hukuman yang dijatuhkan ke  atasnya sebagai konspirasi. Apa pandangan Datuk  bila isu ini dihubungkan dengan politik integriti?

AIDIT: Terus terang saya ingin nyatakan bahawa  hormat saya kepada Anwar sudah langsung tidak  ada, walaupun seberat zarah. Satu ketika dahulu,  saya pandang tinggi beliau sebagai seorang yang  tinggi ilmunya, murni perjuangannya dan besar  sumbangannya pada perjuangan Islam.

Tetapi apabila ideologi yang dia bawa tidak  menepati kehendak Islam, dia pula menonjolkan  diri sebagai manusia yang rakus kuasa dan paling  jelik sanggup menggadaikan apa saja demi  matlamat peribadinya, maka hilang segala ruang  untuk saya menanam apa jua sangka baik  terhadapnya.

Kesnya di Mahkamah Rayuan telah menghadapi  penangguhan tidak lebih daripada 70 kali  semenjak Notis Rayuan difailkan oleh pihak  Peguam Negara. Ternyata bahawa kesalahan  yang pihaknya cuba letak pada pihak  pendakwaraya tidak berasas.

Proses pendakwaan telah berlaku sejak 2011 lagi  dan bukannya dibuat atas sebab PRK Kajang.  Anwar sendiri yang cuba mewujudkan  keadaan-keadaan yang membolehkan rayuan  pendakwaraya ditangguhkan.

Jika beliau yakin berada di pihak yang benar,  mengapa perlu memberi seribu alasan dan buat  penangguhan kes di Mahkamah Rayuan?  Mengapa ketika menang kes di Mahkamah Tinggi  tidak pula kedengaran berlaku konspirasi politik ke  atasnya? Mengapa apabila keadaan tidak  menyebelahinya, maka pihak lain yang salah? Apa  hebatnya orang yang bernama Anwar Ibrahim  sehingga seolah-olah tidak ada silap dan pihak  yang menentangnya sahaja yang salah?

Dalam menyelami sifat-sifat seorang konspirator,  ada empat yang utama: pertama, mempunyai niat  peribadi yang kuat sehingga sanggup  menggunakan apa jua cara demi mencapai  impian; kedua, sanggup bertalam bermuka-muka  dengan bertutur mengikut selera siapa pendengar  di hadapan; ketiga, bijak berpura-pura dengan  bertopeng sifat baik dan bermain atas  belas-kasihan orang lain; dan keempat,  bersekongkol dengan tangan-tangan ghaib supaya  memperolehi bantuan atau sokongan yang luar  dari biasa.

Tidakkah kita terfikir kini siapa sebenarnya  konspirator?

Semasa hukuman dijatuhkan di Mahkamah  Rayuan baru-baru ini tidak ramai yang datang  mengiringi Anwar.  Apakah ini gambaran sokongan  terhadap beliau semakin merosot?

Soal sama ada sokongan terhadap Anwar sudah  merosot atau tidak adalah subjektif. Pada hemat  dan pengamatan saya sebagai pakar pemprofilan  karakter, saya dapati selagi wujud ruang untuk  mana-mana pihak meletakkan sifat belas-kasihan  yang tidak kena pada tempatnya, selagi wujud  ruang untuk terus dibuai dengan alunan cerita  sensasi tanpa dimurnikan dengan fakta dan  nasihat daripada insan-insan soleh lagi bijaksana,  selagi terpasak sifat taksub pada manusia atau  wadah dan selagi jiwa itu penuh dengan sifat-sifat  keji seperti dendam-kesumat, hasad-dengki dan  cetek pemikiran, maka selagi itulah sokongan  terhadap yang batil itu tetap akan membara.

Apatah lagi Anwar telah berjaya melahirkan ramai  yang beracuan minda, jiwa dan pegangan nilai  sepertinya, sama ada di dalam PKR, parti kawan  lain seperti Pas, kalangan anak muda yang  termakan dengan hujah-hujah berapi serta pesona  ikoniknya.

Di pihak lawannya pula, khususnya UMNO, lambat  menangkis fenomena ini secara serius dan pintar.  Justeru, ketidakhadiran ramai penyokong di  mahkamah ketika kes rayuan Anwar bukan ukuran  tepat. Namun, saya yakin ramai yang sudah  bermufarakah dengan  Anwar walaupun ada juga  yang cetek fikiran dan dilenakan dengan cerita  sensasi masih termakan dengan lakonannya.

Hukuman penjara lima tahun kerana liwat, kalimah  Allah, fahaman liberalisme dan pluralisme yang  dianuti oleh Anwar adalah isu-isu yang menyentuh  integriti. Apakah dengan isu ini Anwar menerusi  proksi iaitu isterinya di PRK Kajang layak dikatakan  pemimpin berintegriti?

Seperti yang saya nyatakan, Anwar ialah manusia  yang sanggup melakukan apa sahaja demi  mencapai cita-citanya untuk menjadi Perdana  Menteri. Memang bijak percaturannya untuk  memajukan nama Wan Azizah sebagai calon PKR  di PRK Kajang. Sebabnya mudah.

Wan Azizah atas  kapasiti seorang isteri akan sanggup melakukan,  melafazkan dan mencerminkan apa sahaja yang  suaminya arah. Wan Azizah akan meraih simpati  daripada para pengundi Kajang untuk mendapat  majoriti undi yang lebih besar berbanding PRU-13.  Tambahan pula DAP mengerahkan jentera parti  pada tahap yang sangat serius kerana mereka  tahu kemenangan Wan Azizah adalah pengukuhan  kapasiti Anwar untuk terus diperalatkan demi  mencapai cita-cita cauvinis mereka pula.

Pada saya, Wan Azizah wajar kita beri simpati,  tetapi atas sebab dia diguna sehabis-habisnya oleh  Anwar demi cita-cita politik songsang suaminya.

Persoalannya, apakah para pengundi Kajang  sanggup menggadai undi mereka yang sangat  bernilai itu untuk terus memberi ruang kepada  kerakusan agenda peribadi Anwar, boneka Wan  Azizah, kapasiti DAP memperalatkan Anwar dan  akhirnya masa depan negara, agama dan  kedaulatan digadai?

Bersediakah kita ditakluki dan  dijajah secara halus dan terjerat semula dalam  kitaran ganas penjajahan minda dan jiwa?  Pengundi Kajang akan memegang kunci masa  depan negara. Jangan jadi Si Kitul yang  menyalahguna kunci dengan mengizinkan penjajah  Portugis masuk ke dalam kota Melaka.

Anwar cuba menyambung talian hayat politiknya  dengan menjadikan Wan Azizah sebagai proksi  bagi memohon belas ihsan dan simpati pengundi.  Apakah ini gambaran yang diperlukan sebagai  sebuah politik integriti?

Malang sekali politik negara kita sudah dicemari  dengan gelagat dan budaya yang amat  memalukan, khususnya peranan pihak  pembangkang di Parlimen. Sepatutnya, peranan  pembangkang adalah yang membina, menjadi  mekanisme semak dan imbang, memperhalusi  dasar dan instrumen pengurusan negara supaya  menjadi lebih cekap dan berkesan serta  menyumbang kaedah-kaedah yang lebih baik demi  kemaslahatan umum.

Namun, ini semua semakin tergadai apabila  Anwar meletakkan agenda peribadinya mengatasi  segala-galanya, hatta menarik balik hasrat  rekonsiliasi nasional ketika Mahkamah Rayuan  menjatuhkan hukuman ke atasnya.

Cuba imbas semula sejak pihak pembangkang  menang besar PRU-12. Kita lihat mereka menjadi  besar kepala, Dewan Rakyat menjadi seperti  pasar, etika golongan negarawan tercemar dan  setiap hari kita disajikan dengan polemik serta  retorik politik yang tidak ada kesudahan.

Ini semua adalah isu-isu politik berintegriti yang kini  hanya menjadi lafaz akademik yang semakin jauh  dari jangkauan kita jika PKR menang PRK  Kajang.

Saya menyeru dari lubuk hati yang inginkan yang  terbaik untuk agama, bangsa dan negara supaya  para pengundi di PRK Kajang menolak PKR atas  pertimbangan yang jauh ke depan serta  menghalang kemudaratan lebih besar daripada  berlaku, insya-Allah.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20140318/re_02/Anwar-gadai-politik-integriti#ixzz2wMeSX1Rp ©  Utusan Melayu (M) Bhd