MUSLIM UPROKUALA LUMPUR 18 Mac – Delegasi Gabungan Pertubuhan-pertubuhan Islam Dalam Proses Semakan Berkala Sejagat (MuslimUPRo) kini mengadakan beberapa siri pertemuan dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan hak asasi manusia di Geneva, Switzerland.

Ahli delegasi MuslimUPRo yang kini berada di Geneva, Nasharuddin Mat Isa berkata, pertemuan itu diadakan sementara menunggu sesi penerimaan muktamad Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di bandar raya itu pada Khamis ini.

Nasharuddin yang juga Pengerusi Yayasan Nassar berkata, pertemuan pertama pihaknya sebaik sahaja tiba di sana adalah bersama pihak Geneva International Centre for Justice, sebuah NGO hak asasi manusia berpangkalan di Geneva.

“Saya di Geneva. Pertemuan pertama malam tadi bersama Pengarah Geneva International Centre for Justice,” katanya melalui laman sosial Facebook milik MuslimUPRo semalam.

MuslimUPRo berlepas ke Geneva pada minggu lalu bagi memantau sesi penerimaan muktamad di hadapan Majlis Hak Asasi Manusia PBB yang akan berlangsung pada 20 Mac ini.

Pada 24 Oktober lalu, Majlis Hak Asasi Manusia PBB menjalankan pusingan kedua proses semakan berkala sejagat ke atas Malaysia berdasarkan tuntutan-tuntutan yang dikemukakan Gabungan NGO-NGO Hak Asasi Manusia (Comango).

Antara tuntutan itu ialah hak kebebasan orientasi seks, kebebasan murtad bagi orang Islam dan hak kesamarataan agama di negara ini.

Nasharuddin berkata, selain pertemuan dengan NGO hak asasi manusia, MuslimUPRo juga akan mengatur pertemuan dengan diplomat asing di sana bagi memberi penerangan serta bertukar-tukar pandangan tentang inisiatif pembaikan hak asasi manusia di Malaysia.

MuslimUPRO sebelum ini menjelaskan fokus misi delegasi itu pada kali ini adalah untuk terus memantau perkembangan syor-syor yang telah dikemukakan terhadap kerajaan Malaysia semasa sesi pusingan kedua UPR sebelum ini.

Tertakluk pada kebenaran akreditasi yang diberikan majlis itu, delegasi MuslimUPRO akan menyatakan pandangan lisan secara rasmi dalam sesi penerimaan muktamad pada 20 Mac ini untuk menzahirkan pendirian pertubuhan-pertubuhan Islam terhadap laporan akhir UPR Malaysia.

Selain Nasharuddin, delegasi lain yang menyertai MuslimUPRo di Geneva ialah Pengerusi MuslimUPRo, Azril Mohd. Amin; Presiden Institut Kajian Islam dan Strategik (ISSI), Dr. Yusri Mohamad; Pengerusi Majlis Ittihad Ummah, Mohd. Gunawan Che Ab. Aziz; Timbalan Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Aminuddin Yahaya dan Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (Pembela), Mohamed Hafiz Mohamed Nordin.

sumber: Utusan Malaysia

*****************

Lagi maklumat berkaitan UPR:

Video: Taklimat Proses UPR dan Ancaman Tuntutan COMANGO Oleh Sdr. Azril Mohd Amin