UIMA-UMPRESIDEN Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (Muafakat), Ismail Mina Ahmad, mempunyai sejarah persahabatan yang panjang dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bermula sebagai teman sekampus di Universiti Malaya (UM), sama-sama terlibat dalam pimpinan mahasiswa dan mengasaskan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM). Namun seperti ramai teman akrab lain, Ismail juga akhirnya meninggalkan Anwar.

Dalam wawancara bersama Utusan Malaysia, beliau meluahkan rasa kecewa dengan perkembangan pemikiran dan sikap keislaman Anwar yang semakin merosot di samping mengupas soal prinsip dan pendekatan politik yang menjarakkan mereka.

Apa yang menyebabkan tuan meninggalkan Anwar Ibrahim?

utusan-sikap mungkar pisah-UIMAISMAIL: Saya berkawan dengan Anwar sejak di Universiti Malaya lagi. Kami sama-sama aktif sebagai pimpinan di dalam persatuan pelajar. Saya di Persatuan Mahasiswa Islam atau PMIUM dan dia di Persatuan Bahasa Melayu atau PBMUM dan Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia atau PKPIM. PMIUM adalah ahli gabungan PKPIM.

Selepas graduan, kami tidak bekerja dengan kerajaan tetapi membuka sekolah swasta sendiri. Tidak ramai kawan yang ikut bersama.

Maklumlah, gaji jauh lebih rendah daripada orang yang bekerja dengan kerajaan. Oleh kerana kami aktif semasa belajar dahulu dan mempunyai hasrat untuk mendaulatkan Islam di Malaysia, maka kena cari landasan untuk meneruskan hasrat murni tersebut. Jadi kami tubuh persatuan dengan nama Angkatan Belia Islam Malaysia atau ABIM.

Saya salah seorang yang mengasaskan ABIM bersama kawan-kawan lain seperti (Datuk) Kamarudin Md. Nor, (Tan Sri) Sanusi Junid dan lain-lain. Saya ahli ABIM yang ke-11.

Masa di dalam ABIM, hasrat untuk menyuburkan Islam sebagai nizom atau sistem hidup yang lengkap di Malaysia amat tinggi. Apabila dia menyertai UMNO, ramai kawan menaruh harapan tinggi kepadanya semoga cita-cita murni ABIM itu dapat dilaksanakan.

Tetapi mereka kecewa kerana tidak ada agenda keislaman yang konkrit dibuat olehnya, padahal Perdana Menteri pada masa itu mengharapkan dia dapat memberi sumbangan besar kepada perkembangan dan kekuatan Islam.

Banyak orang keliru mengatakan dialah yang menubuhkan Bank Islam dan Universiti Islam atau UIA. Tidak. Bukan idea dia pun. Selepas dipecat daripada UMNO dan kerajaan, perkembangan pemikiran dan sikap keislamannya semakin merosot.

Ini bercanggah dengan prinsip ABIM yang memperjuangkan Islam berlandaskan al-Quran, al-Sunnah dan al-Ijmak.

Sikap melencong dan mungkarnya dalam pegangan beragama yakni Islam ternyata jelas dalam ucapannya di London School of Economics atau LSE, Universiti London pada 18 Mac 2010 yang bertajuk: Religion and Pluralism In A Divided World. Kertas ucapannya itu kami bincang di dalam usrah Muafakat.

Kemudian Anwar memanggil kami. Perjumpaan berlaku pada 2 Januari 2011 lepas solat Isyak di rumah Presiden Muafakat pada masa itu. Dalam perjumpaan tersebut dia mengaku menulis ucapannya itu dengan “sedikit longgar” dan bersetuju menyunting bahagian yang “sedikit longgar” itu bersama saya dan Prof. Osman Bakar.

Tetapi hingga sekarang janjinya itu tidak ditunaikan, malah semakin menjadi-jadi dan bertambah dahsyat pegangan liberalisme dan pluralisme agamanya itu.

Dalam ucapannya di LSE itu, antara lain dia menolak sifat eksklusif agama Islam sebagai satu-satunya agama yang benar di sisi Allah dan Rasul-Nya. Dia beranggapan semua agama sama benar belaka dan melarang orang Islam berkata agama lain sebagai salah.

Pegangan beliau ini bercanggah sama sekali dengan ajaran dan doktrin akidah dan syariah Islam Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ). Pegangan seperti itu disebut dalam pemikiran dan falsafah pasca modenisme sebagai liberalisme dan pluralisme agama.

Justeru saya mengambil pendirian menyanggah dan apabila dia masih tegar dengan pendirian liberalisme dan pluralisme agamanya, saya terus meninggalkannya. Agama Islam menolak fahaman liberalisme dan pluralisme agama yang diusung olehnya. Hal ini amat prinsipal dan fundamental kerana ayat al-Quran yang terakhir menyatakan kesempurnaan agama Islam sebagai satu-satunya agama yang diterima dan diredai oleh Allah SWT.

Semasa Anwar dipenjara dulu, tuan masih rapat dengannya dan banyak memberikan sokongan moral. Apa pula pandangan tuan apabila Anwar dijatuhkan hukuman sekali lagi oleh mahkamah?

Ya, saya ialah salah seorang rakan Anwar yang kuat mempertahankannya.

Oleh kerana sokongan kuat dan padu saya kepadanya, saya telah diminta olehnya supaya memanggil kawan-kawan berbincang untuk menubuhkan sebuah parti politik. Saya memanggil perjumpaan dengan kawan-kawan dan mempengerusikan perjumpaan tersebut, tetapi saya dan seorang sahabat lain tidak bersetuju dengan penubuhan parti politik baharu.

Saya juga sampaikan rasa tidak bersetuju itu kepada Dr. Wan Azizah. Saya mencadangkan supaya masuk Pas.

Semasa Anwar di Munich atas urusan ‘perubatan’, saya berkesempatan bercakap melalui telefon dengannya dan saya nyatakan bahawa Allah tolong sekali sahaja.

Pernah seorang pemimpin tinggi ABIM datang berjumpa saya menyatakan yang dia percaya kes liwat 1 itu. Pada masa itu saya orang paling kuat tidak percaya.

Mengenai sabit tuduhan liwat ke atas Anwar baru-baru ini oleh Mahkamah Rayuan, sebagai seorang Islam saya beriman dengan Rukun Iman iaitu beriman kepada ketetapan qadak dan qadar Alllah.

Keduanya, saya mempunyai keyakinan yang cukup tinggi kepada kewibawaan dan integriti mahkamah membuat keputusan kerana mahkamah sebelumnya pernah membebaskan Anwar dalam kes tersebut. Ketiganya, eloklah disegerakan keputusan kerana kes itu tertangguh terlalu lama, bazir masa dan tenaga mahkamah.

Pernahkah tuan meminta Anwar bersumpah supaya imejnya terpelihara?

Sebahagian besar kawan saya tidak percaya kes moral Anwar itu, malah saya juga tidak percaya dalam kes yang pertama dahulu.

Apabila berita mengenai kes moral kedua tersebar, saya menghubungi Anwar memintanya bersumpah seperti kebiasaan orang Islam lakukan untuk membersihkan nama. Dia berkata Dr. Yusuf Qardawi dan seorang bekas mufti sebuah negeri melarangnya berbuat demikian, jadi dia tidak buatlah – tidak mahu bersumpahlah.

Dalam ajaran Islam, di samping mekanisme mahkamah, boleh juga seseorang bersumpah atas nama Allah menafikan tuduhan tidak baik yang dilemparkan kepada dirinya seperti perbuatan Khalifah Uthman Affan lakukan.

Saya ulangi dalam kesempatan yang lain, minta dia bersumpah lagi. Dia enggan. Dalam tuduhan yang pertama dahulu pun saya minta dia bersumpah juga, dia kata dah. Wallahualam.

Pemimpin Pas suatu ketika dulu kuat menghentam Anwar tetapi kini tidak lagi kerana pakatan politik. Pada penelitian tuan, apakah orang Pas tidak ada rasa syak dan ragu terhadap wibawa Anwar?

Saya ada bersembang dengan pimpinan Pas peringkat tinggi dan mereka memang ada keraguan yang tinggi mengenai kewibawaan moral beliau.

Mereka juga ragu tentang kewibawaan kepimpinan politik Anwar terutama dalam kes 16 September yang ternyata mereka sedar kena main oleh Anwar.

Mereka juga tidak nampak idea dan pemikiran yang bernas dan konstruktif yang dikemukakan oleh Anwar terutama bagi mengurus dan merancang ekonomi di Selangor.

Banyak contoh yang mereka pertikaikan seperti kes PKNS. Mereka juga mempertikaikan kejujuran Anwar dalam berurusan dengan Pas yang semacam dibuli. Paling penting ialah kewibawaan keagamaan Anwar apabila ada yang menggelarnya sekular. Pemimpin Pas sedar hal ini. Mereka juga menolak fahaman liberalisme dan pluralisme agama anutan Anwar itu.

Walaupun ramai kawan Anwar sejak di universiti mula meninggalkannya namun ada yang tetap bersamanya.

Kepada kawan-kawan Anwar yang berkata mereka tetap bersamanya sepanjang masa, saya ingin bertanya ke mana mereka ketika Datuk Ibrahim Ali dan saya menubuhkan Sekretariat Pengampunan Anwar ketika dia dipenjara. Tidak seorang pun berani bersama kami. Kini mereka itu menjadi pengikut buta Anwar.

sumber: Utusan Malaysia – http://ww1.utusan.com.my/utusan/Rencana/20140319/re_01/Sikap-mungkar-pisahkan-kami

Baca juga: – Bahaya fahaman Liberalisme-Pluralisme https://akarimomar.wordpress.com/2012/01/05/bahaya-fahaman-liberalisme-pluralisme/