KENYATAAN Presiden Majlis Peguam, Christopher Leong berhubung keputusan kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim membuka lembaran baru dalam fokus isu ini yang seringkali digembar-gemburkan oleh puak pembangkang sebagai konspirasi politik terhadap beliau.Kenyataan Christopher bahawa Anwar tidak patut dihukum “kerana ia berlaku atas dasar suka sama suka di antara dua orang dewasa” menyentak banyak pihak. Peliknya, sehingga kini tidak ada komen balas daripada pihak Anwar berhubung kenyataan itu.

dr-yusri-UMDalam wawancara dengan Utusan Malaysia, bekas Presiden ABIM selama dua penggal, DR. YUSRI MOHAMAD, yang juga bekas Pensyarah Kanan di Kulliyyah Undang-undang Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), mengupas isu ini dan dominasi imej Anwar dalam minda khalayak.

Apa pandangan saudara mengenai kenya­taan Christopher Leong?

YUSRI: Kita tak terkejut dengan pendirian beliau kerana mereka yang berpegang kepada fahaman hak asasi manusia yang bebas agama dan bebas nilai memang berpendirian begitu. Kadangkala mereka me­rujuk kepada kes jenayah suka sama suka sebagai jenayah tanpa mangsa (victimless crime). Maksudnya bagi mereka, kes sebegini sebenarnya bukan jenayah yang patut dikenakan pendakwaan. Majlis Peguam sejak beberapa tahun ini sering berpegang kepada fahaman hak asasi aliran ini.

Bagi kita orang Islam dan beriman pula, sikap kita terhadap pendirian sebegini adalah selari dengan firman Allah dalam surah al-Kafirun yang bermaksud; “Bagi kamu agama/pegangan kamu dan bagi kami agama/pegangan kami”. Dalam Islam, maksiat seperti zina ataupun liwat walaupun secara suka sama suka adalah tetap jenayah yang boleh didakwa dan dihukum demi kebaikan individu dan masyarakat secara amnya.

Seterusnya, walau apapun fahaman hak asasi manusia individu atau kumpulan di Malaysia, akhirnya semua pihak harus tunduk dan menurut Perlembagaan dan undang-undang sedia ada selagi mana ianya berkuat kuasa. Terutama jika sesuatu isu itu sudah jelas diperuntukkan oleh Perlembagaan sehingga boleh dianggap sebagai salah satu tiang asas Perlembagaan itu sendiri.

Pada masa sama, saya rasa beliau silap bila mengkategorikan kes Anwar lwn Saiful sebagai suka sama suka. Sepatutnya sebagai peguam, beliau lebih sensitif kepada elemen paksaan atau desakan tidak langsung wujud dalam kes melibatkan majikan dan pekerja seperti dalam kes ini. Gangguan seksual di tempat kerja melibatkan majikan dan pekerja bukanlah isu yang baru mahupun asing dalam mana-mana masyarakat.

Anwar masih gunakan skrip lama de­ngan menuduh mahkamah tidak berlaku adil kepadanya dan konspirasi berlaku. Apa pandangan saudara sebagai lulusan undang-undang dan syariah?

Saya rasa sesiapa pun yang bersedia menilai episod terakhir ini dengan objektif dan neraca yang betul akan sukar untuk menerima skrip konspirasi ini sekali lagi. Malang­nya, apabila melibatkan Anwar, ada kala­ngan masyarakat kita tidak mahu atau tidak sedia untuk bersikap objektif dan kritikal kerana pelbagai sebab.

Ada yang masih belum bebas atau lepas daripada pesona dan aura zahir politik dan peribadi Anwar. Mereka ini meminati beliau sebagai tokoh karismatik sehingga sampai sekarang gagal melihat sisi buruk beliau.

Ada pula yang tidaklah terlalu fanatik kepada Anwar tetapi terlalu membenci seteru politiknya sehingga sanggup terus membela Anwar supaya seteru politik beliau mesti sentiasa dipakaikan dengan imej seburuk dan sejahat mungkin.

Ada juga yang terus membela Anwar kerana berlatar Islam-Melayu, Anwar dilihat sebagai alat yang sangat berkesan untuk melemahkan agenda Islam dan Me­layu dari dalam.

Anwar pasca 1998 jelas konsisten mempromosi pencairan agenda Islam dan Melayu serta menjadi faktor besar yang menghalang kesatuan suara Islam-Melayu di negara kita. Bagi kelompok anti-Islam-Melayu ini, memang benarlah Anwar itu ‘Anugerah Tuhan’ bagi agenda mereka.

Ada juga yang masih membela Anwar kerana terkeliru memilih acuan atau formula dalam menilai kes Anwar terutamanya tersilap menganggap Anwar dilindungi oleh hukum qazaf dan prinsip umum larangan aib-mengaib dalam Islam. Kalaulah tidak dikelabui oleh sentimen dalam menilai kes Anwar dan Saiful ini, nescaya kita akan menemukan banyak fakta yang menunjukkan bahawa ini bukanlah konspirasi.

Sesudah menilai bukti dan hujah kedua-dua pihak, ketiga-tiga hakim Mahkamah Rayuan sebulat suara mendapati beliau bersalah. Hakim Mahkamah Tinggi sebelum itu pun membebaskan beliau atas alasan teknikal sahaja yang kemudiannya disanggah di peringkat rayuan. Majlis Peguam dan beberapa badan guaman antarabangsa sendiri tidak mempertikaikan kredibi­liti penghakiman tersebut.

Cuma tidak bersetuju dengan undang-undang yang menjenayahkan perlakuan tersebut yang mereka fahami sebagai suka sama suka. Seolah-olah mereka ini pun menerima sabitan fakta dalam kes tersebut.

Dari segi sisi agama dan syariah pula beberapa perkara perlu ditegaskan. Meskipun forum yang lebih baik adalah Mahkamah Syariah, tidak pula bererti penghakiman di Mahkamah Sivil langsung tidak ada makna dan nilainya bagi kita orang Islam.

Kita masih boleh menerima hukuman Mahkamah Sivil dalam kes ini sebagai takzir kerana kes ini bukannya kes hudud zina atau liwat biasa. Kes ini melibatkan konteks tersendiri dan lebih tepat dikategorikan sebagai kes gangguan seksual tempat kerja. Dalam kes seumpama itu, kes sumbang mahram atau kes rogol, hukum yang terpakai adalah berbeza kerana konteks jenayah tersebut melibatkan faktor paksaan atau desakan (undue influence).

Oleh itu, persoalannya di sini bukan hendak mensabitkan Anwar dengan kesalahan hudud zina atau pun liwat yang memerlukan beban bukti empat orang saksi yang adil. Beban bukti dalam kes beliau tidak semestinya saksi sahaja tetapi boleh juga dalam bentuk bahan-bahan bukti lain yang diterima oleh hukum syarak.

Sebenarnya yang lebih utama dalam kes Anwar bukanlah menghukum beliau dari segi jenayah tetapi menilai kredibiliti beliau sebagai pemimpin. Sejak mula kes beliau timbul di akhir 1998 hingga sekarang, beliau tetap aktif dalam politik.

Sangatlah wajar masyarakat menilai ke­sesuaian beliau sebagai pemimpin berdasarkan kes atau isu-isu yang melibatkan beliau walaupun yang bersifat moral. Beliau tidak patut dibenarkan berselindung di sebalik prinsip umum larangan mendedahkan aib dalam Islam.

Soal integriti berkait rapat dengan isu pemimpin. Saudara pernah bekerja dengan Dr. Wan Azizah, apakah penilaian terhadap beliau sebagai proksi Anwar di PRK DUN Kajang?

Benar, di awal gelombang reformasi selepas pemecatan Anwar pada 1998, saya turut terpanggil untuk membela dan membantu beliau. Sikap itu diambil berasaskan persepsi dan maklumat yang ada pada saya ketika itu. Selepas mendapat gambaran dan fakta yang lebih lengkap serta mengikuti perkembangan susulan selepas Anwar dibebaskan, saya tidak boleh lagi dengan jujur mempertahankan sikap yang awal.

Di tahun-tahun reformasi itu memang saya sempat berperanan membantu Dr. Wan Azizah secara rapat. Ketika itu Anwar masih dipenjara. Saya percaya ramai yang mengenali Dr. Wan Azizah akan bersetuju bahawa beliau tidak cukup berwibawa sebagai pemimpin politik.

Anwar menggunakan beliau sejak dahulu untuk meraih simpati dan sebagai proksi aura peribadinya. Imej luaran Dr. Wan Azizah dan ahli keluarganya digunakan semaksimum mungkin oleh Anwar untuk menyelamatkan imej peribadi beliau yang dilanda skandal demi skandal.

Anwar sangat bersandar kepada propaganda bahawa jikalau isteri dan keluarganya tetap teguh bersamanya, itu tanda yang beliau tidak bersalah. Mereka yang mengenali keluarga ini secara dekat tahu bahawa Dr. Wan Azizah dan keluarga sebenarnya tidak cukup kuat mengatasi cengkaman dan dominasi Anwar. Mungkin juga kerana sudah terlalu lama dan terbiasa berada dalam dominasi Anwar, Dr. Wan Azizah dan keluarga tidak nampak adanya pilihan selain menurut percaturan Anwar. Betul atau salah bukan lagi asas pertimbangan.

Berat kalimah-kalimah ini hendak saya ucapkan tetapi saya tak rela mengutamakan mana-mana individu atau keluarga dengan menggadai nasib agama, bangsa dan negara.

Apa harapan saudara terhadap pengundi Kajang supaya yang dipilih ialah orang yang boleh mendukung aspirasi rakyat?

Bukan sahaja Kajang tetapi seluruh negara sebenarnya perlu dimerdekakan daripada sandiwara politik Anwar yang sudah terlalu meleret dan banyak mengharu-birukan negara. Anwar cenderung menimbulkan sisi terburuk dalam diri dan masyarakat kita. Demi agenda peribadi beliau, pelbagai prinsip dan tonggak negara bangsa dimanipulasi dan dirombak demi memainkan sentimen dan emosi masyarakat.

Sebahagian masyarakat pula begitu gemar menari mengikut irama yang beliau mainkan kerana terpedaya oleh ‘sihir’ beliau atau terdorong oleh nafsu perkauman, agama dan kelompok yang Anwar suburkan.

Kita semua mahukan politik dan peme­rintahan yang adil, amanah dan berwibawa. Kita juga mahu mengekalkan serta me­ningkatkan lagi kemakmuran, kesejahte­raan yang bersendikan perpaduan dan persefahaman antara kaum dan agama di Malaysia. Ini semua kerja besar yang me­nuntut tumpuan dan kesungguhan. Ia juga menuntut kita untuk berjiwa besar dan berlapang dada dalam membina kehidupan secara bersama.

Anwar dan politik beliau menjadi pe­ngacau kita daripada memberi tumpuan terhadap kerja-kerja besar ini. Wajarlah beliau direhatkan agar kita pun dapat bertenang dan membuka lembaran baru politik negara yang lebih segar dan membina.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20140321/re_01/Tamatkan-cengkaman-si-pengacau#ixzz2waCjye7D ©  Utusan Melayu (M) Bhd