bantah IFCDalam kita baru berjaya menanggani ancaman tuntutan-tuntutan melampau Comango, wajar juga kita ingat kembali apa yang disebut sebagai IFC. Mungkin ada di kalangan kita sudah lupa suatu masa dahulu agenda penubuhan IFC (bermula tahun 2001) pernah mengugat kita dan telah berjaya menyatukan umat Islam untuk sama-sama bangkit menentang IFC secara sepadu.

Kebetulan juga pada masa yang sama umat Islam di Tanah Air digemparkan dengan kes pemurtadan Azlina Jailani. Sentimen dan kepekaan umat Islam ketika itu terhadap ancaman musuh Islam berjaya mengumpulkan berbelas ribu umat Islam untuk berhimpun di Masjid Wilayah Persekutuan Jalan Duta ketika itu.

Sebagai mengingatkan kembali tentang ancaman dari cadangan penubuhan IFC ini dan dilihat bersekali dengan tuntutan-tuntutan yang dibuat oleh Comango supaya kita dapat faham bahawa semua ini adalah penerusan agenda musuh bersesuaian dengan ayat 120 surah Al Baqarah. Mereka akan terus selama-lamanya melaksanakan pelbagai perancangan dan usaha untuk merosakkan aqidah umat Islam. Peringatan Allah pasti benar.

Apa Itu Interfaith Commission (IFC)?

IFC yang nama asalnya ialah IRC – Inter Religious Council (IRC) – adalah sebuah suruhanjaya yang dicadangkan penubuhannya seperti sebuah badan berkanun yang mempunyai kuasa undang-undang yang boleh mengubah ajaran sesetengah agama (baca: agama Islam) akibat desakan penganut agama lain. Badan ini berfungsi mirip sebuah mahkamah dan segala keputusannya adalah muktamad ke atas agama yang bersabit. IFC juga akan berfungsi seperti SUHAKAM yang menerima dan melayan aduan-aduan berkaitan dengan agama (termasuk aduan orang bukan Islam terhadap agama Islam dan orang Islam).

Siapakah yang mencadangkan penubuhan IFC? IFC digagaskan penubuhannya oleh Malaysian Consultative Council Of Buddhism, Christianity, Hinduism dan Sikhism (MCCBCHS) ataupun Majlis Perundingan Malaysia Agama Buddha, Kristian, Hindu dan Sikh melalui memorandumnya kepada Majlis Peguam. Presiden MCCBCHS ialah V. Harcharan Singh.

MCCBCHS yang diasaskan pada 1986 kini dikenali sebagai MCCBCHST setelah dimasukkan pula ajaran Taoisme dalam majlis ini pada tahun 2006.

Siapakah yang paling bersemangat sekali menyokong penubuhan IFC? Majlis Peguam terutamanya Jawatankuasa Kecil Hak Asasi Manusia amat kuat menyokong penubuhan IFC dan amat berharap ia akan berjaya.

Kronologinya seperti berikut:

  • Pada 8 Ogos 2001, Majlis Peguam telah menerima satu memorandum daripada MCCBCHS mengenai perkara ini dan selepas itu idea penubuhan IRC berjalan dengan lancar.
  • Pada 8 Disember 2001 satu perayaan ‘Festival of Rights’ diadakan dengan tema ‘Kebebasan Beragama’.
  • Pada 10 Disember 2001, Majlis Peguam menganjurkan forum mengenai ‘Kebebasan Beragama’ dan menerbitkan satu artikel dalam jurnal INSAF.
  • Pada 17 Mac 2003 bengkel untuk menimbang keperluan wujudnya IRC diadakan. Bengkel ini gagal apabila kesemua NGO Islam menarik diri daripada terlibat dengan penubuhan suruhanjaya ini iaitu ABIM, ACCIN, JUST dan Sisters in Islam termasuk Dr. Chandra Muzaffar yang menjadi antara orang awal yang mencadangkan dialog antara kepercayaan. Bagaimanapun Sisters in Islam kemudian menyertai semula dan menyokong penubuhan suruhanjaya ini.
  • Pada pertengahan tahun 2004, satu persidangan mengenai penubuhan IRC diadakan. Bagi menunjukkan wujudnya sokongan, penganjur seminar telah melantik kesemua ahli Jawatankuasa Kecil Syariah Majlis Peguam sebagai ahli jawatankuasa penganjur tanpa pengetahuan mereka.
  • Mengemukakan deraf ketiga undang-undang penubuhan IFC bertarikh Januari 2005 kepada persidangan cadangan penubuhan IFC. Persidangan ini dianjurkan oleh Konrad Adeneuer Foundation (KAF), suatu badan yayasan Kristian yang beribu pejabat di negara Jerman.

Kenapa Kita Mesti Tentang IFC

1. Sikap Anti-Islam Pihak Penaja

Pihak Penaja IFC jelas menunjukkan sikap yang anti-Islam. Ini adalah kerana beberapa memorandum yang dikeluarkan mereka sebelum ini seperti berikut:

  • Seseorang Muslim  patut diberi hak untuk meninggalkan Islam walaupun agama Islam tidak membenarkannya;
  • Artikel 11 Perlembagaan Persekutuan (dilihat dari aspek pelbagai dokumen antarabangsa mengenai hak asasi manusia dan hujah-hujah kes mahkamah di negara-negara bukan Islam) seharusnya diguna-pakai dalam menentukan hak seseorang Muslim memilih untuk murtad, dan bukannya  undang-undang syarak;
  • Untuk memudahkan proses murtad Mahkamah Sivil  dan bukannya Mahkamah Syariah yang seharusnya diberi kuasa menentukan hak seorang Muslim  itu keluar dari agamanya;
  • Usaha yang diambil oleh Pihak Berkuasa Syariah Negeri memulihkan orang-orang yang bakal murtad dipertikaikan;
  • Istilah “Muslim” di bawah Undang-undang Enakmen Negeri terlalu luas walaupun didapati konsisten dengan undang-undang Syariah;
  • Seseorang itu tidak harus dianggap Muslim hanya disebabkan kedua ibubapanya Muslim atau beragama Islam atau dalam keadaan lain berdasarkan Undang-undang Syariah. Individu berkenaan sepatutnya membuat pilihan atas kehendaknya sendiri;
  • Agama seseorang Muslim itu tidak sepatutnya tercatat pada Kad Pengenalannya.

Isu-isu di atas langsung tidak ada kena mengena dengan hubungan antara agama tetapi adalah bersabit dengan ajaran Islam yang tidak boleh dipertikaikan oleh penganut-penganutnya sendiri apatah lagi oleh orang-orang bukan Islam.

2. Isu-isu yang Dibangkit Tidak ada Kena Mengena Dengan Hubungan Antara Agama

Tiada satupun perkara yang dibangkitkan dalam mesyuarat-mesyuarat mereka ada berhubung dengan isu-isu orang-orang bukan Muslim. Malah isu-isu yang antaranya disebut di atas adalah kesemuanya berhubung kait dengan ajaran dan hak-hak orang Islam.

3. IFC/IRC Mencabar Perlembagaan Islam Sebagai Agama Persekutuan Malaysia

Sebagai suatu strategi bagi menentukan penubuhan IRC, hanya bentuk kasar pertubuhan ini sahaja diperkenalkan buat masa ini. Isu-isu yang dibangkitkan itu, sekiranya tidak diambil kira implikasinya, kelihatan seperti munasabah: contohnya, mualaf yang ingin kembali kepada agama asal mereka apabila perkahwinan mereka dengan orang Islam gagal.

4. IFC Akan Menjadi Badan Yang Boleh Mempersoalkan Hukum-hakam Islam

Berdasarkan minit-minit mesyuarat Jawatankuasa Penubuhan IRC badan ini akan diwakili oleh Islam dan yang bukan Islam dengan  kuasa untuk menerima aduan daripada penganut mana-mana agama terhadap agama Islam dan akan membuat keputusan menyoal dan menuntut supaya diubah beberapa ajaran Islam yang fundamental, yang telah sekian lama termaktub dalam sistem perundangan Malaysia.

5. IFC Bakal Campur Tangan Dalam Pentadbiran Hal Ehwal Islam

IFC semestinya akan campur tangan dalam susunan perlembagaan sedia ada yang berkaitan dengan pentadbiran hal ehwal agama Islam yang mana kuasa diberi kepada Raja-Raja, Majlis Agama Islam Negeri dan Badan-badan lain serta pegawai-pegawainya. IFC akan mendapat tentangan hebat daripada pihak-pihak tersebut. Implikasi bagi perpaduan ummah, hubungan di peringkat Persekutuan dengan Negeri dan cabaran kepada pentadbiran Islam yang sedang menghadapi pelbagai masalah, adalah serius.

MAKA, adalah menjadi tanggung jawab seluruh ummat Islam di negara ini supaya membantah cadangan penubuhan IRC/IFC ini. Membenarkan penubuhannya walaupun dalam bentuk yang paling sederhana sekalipun akan membuka ruang kepada lebih banyak lagi tuntutan untuk memperkukuhkannya sehingga ia dapat melemahkan Islam dengan  berkesan.

Insha Allah akan disambung lagi ulasan lanjut tuntutan IFC and implikasi jika ianya terlaksana.

(sebahagian tulisan di atas dipetik dari bahan-bahan edaran kempen anti-IFC sebelum ini)

baca sambungnya … Tuntutan dan Ancaman Berterusan IFC

*****************

Baca juga isu-isu berkaitan Comango:

Advertisement