Selepas sesi penerimaan muktamad berkaitan proses Semakan Berkala Sejagat (UPR) bagi Malaysia di sesi ke 25 Majlis Hak Asasi Manusia, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) di Geneva 20 Mac baru-baru ini, isu-isu yang melingkari tuntutan-tuntutan batil Hak Asasi Manusia terhadap Malaysia terus mendapat perhatian pelbagai pihak. Terkini, beberapa kenyataan kontroversi daripada NGO-NGO bersekutu COMANGO melalui acara sampingan (side event) yang dianjurkan di Geneva pada 21 Mac menjadi bukti betapa puak-puak yang berkepentingan dan tidak menghormati kedaulatan Negara akan terus berusaha untuk mengganggu-gugat kemurnian Perlembagaan Persekutuan dan kedaulatan Negara.

Beberapa NGO asing turut digunakan sebagai topeng untuk membuktikan tuntutan COMANGO tersebut kononnya disokong masyarakat antarabangsa. Contohnya, isu berkaitan kontroversi tuntutan penggunaan kalimah suci Allah oleh penganut Kristian terus-menerus dijadikan isu hak asasi manusia untuk memberikan persepsi salah bahawa penganut Kristian di Malaysia dinafikan hak kebebasan mengamalkan agama mereka. Hal ini berdasarkan kenyataan Forum Asia Untuk Hak Asasi Manusia dan Pembangunan (Asian Forum for Human Rights & Development) yang berpangkalan di Bangkok, yang telah menyatakan “…Asian Forum for Human Rights and Development, speaking in a joint statement, regretted that Malaysia had not accepted recommendations on upholding and promoting freedom of religion, as demonstrated by its ban on non-Muslims using the word ‘Allah’. The Forum also regretted the lack of judicial reform, the use of detention without trial and certain repressive laws. Ternyata kenyataan sebegini tidak menghormati proses perundangan di Negara ini yang telah membenarkan penganut Kristian menggunakan saluran perundangan untuk merayu hatta sehingga ke peringkat Mahkamah Persekutuan.

Selain isu kebebasan beragama, isu yang sangat membimbangkan dan terus-menerus menjadi tuntutan yang ditekan NGO asing ialah hak golongan LGBT. Sementara hak umum semua golongan diiktraf dan perbuatan menganiaya atau menzalimi mana-mana insan adalah dilarang dan undang-undang Malaysia sedia melindungi hak asasi setiap individu, NGO-NGO tidak bertanggungjawab tersebut terus-menerus memanipulasi isu ini untuk menghapuskan peruntukan-peruntukan jenayah yang melarang perbuatan berkaitan budaya seks songsang, termasuk di dalam seksyen 377 Kanun Kesiksaan dan enakmen-enakmen syariah. Human Rights Watch sebuah lagi NGO Barat yang juga sering menjuarai isu-isu LGBT menyatakan, “…Human Rights Watch regrets that Malaysia refuses to recognize the basic rights of its LGBT population, and has failed to repeal penal code article 377 B, which criminalizes consensual adult sexual relations. Kenyataan NGO seumpama ini sebenarnya selari dengan gerakan LGBT sejagat yang mahu membawa “hak” golongan ini ke suatu tahap baru, iaitu mengizinkan perlakuan homoseksual secara terbuka dan undang-undang perkahwinan sejenis dibenarkan di Negara ini. Dengan perkembangan terbaru pengumuman Perdana Menteri Britain, David Cameron yang membenarkan perkahwinan sejenis tersebut dilakukan di negaranya, Britan menjadi Negara ke 18 di dunia yang menjadikan isu hak golongan LGBT ini sebagai punca kembalinya berleluasa amalan songsang kaum Nabi Luth di zaman ini. Manipulasi isu hak golongan LGBT ini membawa risiko bahaya menjerumuskan Malaysia ke dalam kancah perkahwinan sejenis sebagaimana yang berlaku terhadap Britain.

Tekanan-tekanan terhadap Malaysia yang berlaku selepas proses UPR ini tidak akan berakhir dengan penerimaan muktamad syor-syor oleh kerajaan Malaysia. Biarpun Malaysia bertegas untuk tidak menerima syor-syor yang bersifat kontroversi, namun lobi berterusan COMANGO berisiko tinggi untuk mempengaruhi pandangan awam serta perspektif dunia kearah yang negatif terhadap Negara kita. Pada hakikatnya, hal ini telahpun berlaku apabila pada pada 25 November 2013, Heiner Bielefeldt Jurulapor Khas PBB bagi Kebebasan Beragama telah mengkritik dan menggesa Kerajaan Malaysia supaya menarik semula keputusan menghalang penggunaan kalimah ‘Allah’ di dalam konteks agama Kristian di kalangan penganutnya. Kenyataan tersebut dibuat secara sengaja walaupun umum mengetahui bahawa kes masih lagi berada di peringkat permohonan kebenaran merayu oleh pihak Gereja. Sekurang-kurangnya Bielefeldt sepatutnya menghormati sistem kehakiman Negara ini sehingga kes tersebut diputuskan di peringkat akhir sekiranya rayuan dibenarkan untuk didengar ke peringkat Mahkamah Persekutuan.

Tetapi tindakan Bielefeldt tidak menghairankan kerana persepsi dan maklumat yang diperolehi sering diberi secara tidak tepat oleh anasir seperti COMANGO. Malah, semasa di Geneva 10 Mac 2014, SUARAM yang merupakan salah satu ahli gabungan COMANGO telah melakukan intervensi secara lisan dan sekali lagi memanipulasi fakta mengenai situasi kebebasan beragama di Malaysia. Laporan SUARAM dan Aliran antara lain menyenaraikan contoh lain sikap tidak toleransi agama dan ekstremisme seperti pengharaman ajaran Syiah di Malaysia serta merujuk laporan media tentang bagaimana sejumlah masyarakat pribumi Malaysia telah ditipu agar memeluk Islam sebagai balasan bagi mendapatkan bantuan kebajikan. Ini disebut pertubuhan itu di dalam kenyataan baru-baru ini. Fakta ini tidak benar sama sekali dan telah dinafikan pihak JAKIM.

Kira-kira dua tahun dari sekarang, penilaian separuh penggal bagi perlaksaaan syor-syor semasa di UPR akan dijalankan terhadap Malaysia. Selain saluran ini yang akan dijadikan alasan untuk NGO-NGO Hak Asasi Manusia terus-menerus menyalurkan maklumat tidak tepat mengenai situasi Hak Asasi Manusia di Malaysia, kita perlu berwaspada dengan kaedah lain juga akan digunakan untuk menyebarluaskan kefahaman batil Hak Asasi Manusia. Terdapat mekanisme Prosedur Khas (Special Procedure) yang juga boleh dimanipulasi NGO-NGO Hak Asasi Manusia untuk mencapai matlamat mereka memburuk-burukkan Malaysia. Malah ternyata dengan tekanan yang dibuat Heiner Bielefeldt tersebut merupakan langkah pertama kearah memulakan prosedur khas terhadap Malaysia dengan harapan kerajaan akan tunduk dan mengubah pendirian tanpa membenarkan sistem mahkamah berjalan dengan sempurna. Tindakan ini juga boleh membawa pada pendekatan ‘name and shame’, yakni tindakan menamakan dan memalukan sesebuah Negara di peringkat antarabangsa demi mencapai matlamat mendapatkan sesuatu hak. Apa yang jelas, kita perlu bertegas mempertahankan integriti dan ketinggian sistem kehakiman Negara dan tidak tunduk serta dipengaruhi sebarang tekanan luar, di dalam konteks ini khususnya berkenaan usaha mempertahankan kesucian kalimah Allah.

Selain itu, pada jangka waktu panjang anasir seperti COMANGO akan terus memperkasakan usaha mereka untuk mengulangi tuntutan-tuntutan di pusingan ketiga UPR pada bulan April 2018 kelak. Mereka telahpun memulakan gerakan tersebut sebaik tamat penerimaan muktamad syor-syor UPR di Geneva. Justeru di dalam merangka sebuah pelan tindakan Hak Asasi Manusia di peringkat kebangsaan, kerajaan perlu mewaspadai unsur-unsur yang terlalu menyanjung fahaman liberal-sekular hak asasi manusia ini. Sudah tiba masanya Kerajaan lebih proaktif di dalam merujuk sumber tradisi keagamaan sebagai kompas panduan menangani isu-isu Hak Asasi Manusia. Hakikat kedudukan istimewa Islam, sebagai agama Negara, seperti yang termaktub di dalam Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan perlu dipertahankan dengan tegas dan tanpa kompromi.

MUSLIMpro official logoMuslimUPRo menegaskan pendirian konsisten terhadap isu-isu kontroversi berkaitan Hak Asasi Manusia. Susulan seminar Islam dan Hak Asasi Manusia yang telah dijalankan bersama Jabatan Usuluddin dan Falsafah, Fakulti Pengajian Islam UKM dan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) pada 12 Mac 2014, sebahagian besar pertubuhan-pertubuhan Islam (NGI) juga telah bersepakat bahawa perlu diwujudkan wacana yang bersepadu dan berterusan untuk menghadapi isu-isu semasa berkaitan tuntutan Hak Asasi Manusia. Sebuah platform berdedikasi serta berwibawa perlu diadakan agar iktibar dari tindakan COMANGO serta pengalaman semasa menyertai proses UPR di Geneva tidak dibiarkan begitu sahaja tanpa strategi jangka panjang memberikan jawapan Islam terhadap permasalahan yang timbul. Justeru MuslimUPRo telah mengambil langkah proaktif mewujudkan Pusat Penyelidikan dan Advokasi Hak Asasi Manusia (Centre for Human Rights Research and Advocacy), atau ringkasnya CENTHRA, yang akan berperanan menumpukan pada isu-isu penyelidikan dan advokasi serta latihan dan melobi perspektif Islam di pelbagai peringkat, khususnya yang terkait dengan mekanisme serta agensi-agensi ASEAN dan PBB.

CENTHRA sebagai sebuah entiti yang berdaftar di bawah undang-undang Malaysia akan memperhalusi kajian tema-tema penting di sekitar isu-isu HAM menurut pandangan Islam di samping memainkan peranan sebagai wahana untuk MuslimUPRo dan NGI berkongsi idea dan pengalaman semasa Proses UPR.

CENTHRA juga akan terus memperkasa wacana dan usaha advokasi Islam dan HAM di peringkat nasional, serantau dan antarabangsa dengan pendedahan isu-isu mutakhir serta kupasan cabaran-cabaran yang melatari perkembangan perbahasan Islam dan HAM di pelbagai peringkat. Antara lain CENTHRA akan mengenal pasti ahli akademik dan aktivis NGI yang boleh diketengahkan untuk memperkasa agenda memperjuangkan isu-isu HAM dari peringkat serantau dan antarabangsa.

Perancangan terdekat MuslimUPRo melalui CENTHRA ini termasuklah mengadakan sesi perundingan di peringkat kebangsaan bagi meneliti laporan penuh UPR 2013 yang telah diterima secara muktamad pada 20 Mac lalu. Dengan sesi perundingan CENTHRA ini diharapkan dapat mengumpulkan para pemimpin NGI bersama-sama wakil ulama dan sarjana Muslim yang akan mengkaji syor-syor UPR 2013, bagi membantu perlaksanaan syor-syor yang bertujuan memperbaiki situasi HAM di Malaysia serta memberikan cadangan kepada pembaikan menjelang penilaian separuh penggal (mid-term assessment) UPR yang akan menjelang dalam masa dua tahun lagi.

CENTHRA harus pada asasnya memperkasa wacana Islam mengenai Hak Asasi Manusia, dengan kembali mengartikulasi Deklarasi Kaherah Mengenai Hak Asasi Manusia di dalam Islam yang diluluskan pada 5 Ogos 1990. Pandangan alam Islam harus membimbing upaya CENTHRA untuk menzahirkan kepada dunia bahawa hak asasi manusia bukanlah sesuatu yang asing di kalangan umatnya, tetapi pada hakikatnya merupakan ajaran kearah mencapai maksud dan tujuan penciptaan manusia di dalam pandangan alam Islam. Seringkali beberapa Negara Islam dilihat sebagai rejim yang melanggar prinsip-prinsip hak asasi manusia di dalam menjalankan pemerintahan. Kezaliman tersebut dilakukan walaupun Negara-negara tersebut telah meratifikasi pelbagai konvensyen-konvensyen antarabangsa mengenai hak asasi manusia. Pada hemat penulis, sepatutnya tanggungjawab memperbaiki keadaan sebenar hak asasi manusia mendahului keghairahan mendapatkan pengiktirafan sebagai Negara yang paling banyak meratifikasi konvensyen-konvensyen tertentu. Perkara lebih utama ialah memastikan upaya memperbaiki keadaan hidup dan memastikan hak-hak masyarakat dipertahankan dengan sewajarnya, bukan sekadar menzahirkan kepura-puraan sosial atau ‘social camouflage’, suatu istilah yang digunakan untuk mentakrifkan Negara-negara yang meratifikasi konvensyen-konvensyen hak asasi mansuia tetapi pada masa yang sama melakukan pelanggaran hak-hak tersebut. Inilah yang berlaku terhadap negara-negara seperti Mesir, Syrian, Tunisia, Pakistan dan hatta Myanmar sekalipun. Realiti di Negara-negara tersebut berbeza jika dibandingkan dengan Malaysia yang memperbaiki keadaan sosio-ekonomi, mempertahankan hak-hak masyarakat melalui kerangka Perlembagaan Persekutuan adalah menurut maqasid syariah serta lebih menyerlah tanpa semestinya tunduk pada tuntutan meratifikasi konvensyen-konvensyen hak asasi manusia.

Pendirian bertanggungjawab Malaysia terhadap usaha memperkukuh keadaan serta melaksanakan syor-syor yang munasabah berkaitan hak asasi manusia memerlukan dokongan dan inisiatif tambahan dari masyarakat sivil. Justeru CENTHRA selaku suara dan kuasa masyarakat sivil, khususnya daripada kalangan NGI akan berperanan dengan menguasai kemahiran berhujah dan aspek-aspek kemahiran melobi serta menjalankan mekanisme tertentu di sidang-sidang berkaitan hak asasi manusia di tahap ASEAN dan PBB. Berkaitan insiatif UPR pada pusingan ketiga tahun 2107 kelak, CENTHRA telah memulakan insiatif untuk mengemukakan laporan ‘stakeholder’ yang kukuh kepada Majlis Hak Asasi Manusia yang akan menjadi asas semakan kelak. Laporan tersebut perlu mewakili pandangan sebenar majoriti rakyat tentang kemahuan-kemahuan munasabah Hak Asasi Manusia tanpa melanggari batas-batas keagamaan, Perlembagaan Persekutuan serta budaya dan sejarah Negara.

CENTHRA juga berhasrat mengangkat kembali tujuan dan semangat yang melatari Perisytiharan dan Pelan Tindakan Vienna 1993 yang mengambilkira realiti agama, budaya dan sejarah sesebuah Negara di dalam melaksanakan prinsip-prinsip Hak Asasi Manusia. Di dalam konteks Malaysia, CENTHRA perlu menjadi suara masyarakat sivil untuk terus menegur pihak-pihak seperti COMANGO agar tidak melampaui batas dan nilai agama dan budaya di dalam membuat tuntutan Hak Asasi Manusia. Malah, CENTHRA perlu menyeru hatta pihak seperti SUHAKAM sekalipun, agar tidak terbabas dari fungsi asal melaksanakan prinsip-prinsip Hak asasi Manusia di Negara ini, bertepatan dengan Seksyen 4(4) Akta SUHAKAM itu sendiri. Seksyen 4(4) Akta menegaskan bahawa perhatian hendaklah diberi pada Pengisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat 1948 (UDHR) selagi Pengisytiharan itu tidak bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan. Ini bermakna, apa jua hak dan kebebasan yang tidak disebut dalam Bahagian II tetapi ada dirujuk dalam UDHR mesti dipertimbangkan dengan syarat tidak ada percanggahan dengan Perlembagaan Persekutuan.

Akhirnya, CENTHRA juga menyokong inisiatif-inisiatif yang bertujuan mengangkat martabat hak asasi manusia menurut kerangka dan perspektif yang betul, dengan tujuan mencapai objektif kemuliaan insan dan kepatuhan kepada Tuhan sebagai matlamat akhir tuntutan hak asasi manusia. Peluang Malaysia untuk mewarnai acuan agenda penting ini dengan pendekatan yang sederhana dan memenuhi maksud fitrah manusia akan lebih terserlah. Ini diwujudkan melalui inisiatif dan tindakan yang dapat menawarkan model meyelamatkan tamadun kemanusiaan dari kehancuran akibat tuntutan-tuntutan bersifat batil, sepeti sebahagian desakan yang dibawa COMANGO semasa di UPR.

azrilmohdaminsumber: Azril Mohd Amin blog: http://azrilmohdamin.com/

AZRIL MOHD AMIN ialah seorang peguam dan kini mengetuai MuslimUPRo, iaitu Delegasi Pertubuhan-pertubuhan Islam ke Semakan Berkala Sejagat, Geneva, Switzerland.

Advertisement