Tahniah Majlis Agama Islam Pahang.

MAIPahangKUANTAN – Majlis Agama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MAIP) melarang pemilik hotel di negeri itu menempatkan bahan bacaan agama selain Islam di dalam bilik penginapan pelanggan mereka.

Timbalan Yang Dipertua MAIP, Datuk Seri Wan Abdul Wahid Wan Hassan berkata, surat tentang perkara itu telah diedar kepada 147 hotel di seluruh Pahang sejak 6 Mac dan mereka yang ingkar boleh dikenakan tindakan undang-undang.

“Surat larangan itu dikeluarkan mengikut peruntukan di bawah Enakmen Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama-Agama Bukan Islam 1989 bagi negeri Pahang selaras dengan perkara 11(4) Pelembagaan Persekutuan.

“Dengan itu sesiapa sahaja orang bukan Islam atau pihak pengurusan hotel adalah dilarang meletakkan kitab Bible, sebarang bahan atau dokumen berkaitan agama bukan Islam di ruang bacaan awam khususnya di bilik penginapan dan sekiranya telah ada, maka ia hendaklah dikeluarkan segera,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat teknikal persiapan perasmian Karnival Muamalat dan Cinta Rasul yang dijadualkan diadakan di sini dari 1 hingga 4 Mei ini.

Katanya tindakan meletak bahan-bahan itu boleh dianggap sebagai perbuatan menyebarkan fahaman agama lain kepada orang Islam selaku sebahagian daripada pihak awam yang menginap di hotel terbabit.

“Mengembangkan atau menyebarkan dalam apa cara kepada orang yang beragama Islam adalah satu kesalahan, maka perbuatan meletakkan kitab Bible atau buku agama lain boleh ditafsir kepada tujuan penyebaran.

“Kita sedia maklum memang ada terdapat hotel yang menyediakan bahan bacaan berkenaan khususnya di dalam laci bilik hotel dan perkara ini sudah lama
berlarutan, malah ada yang dikesan telah melebihi 10 tahun,” katanya.

Beliau berkata jika sabit kesalahan mereka yang berkenaan boleh dikenakan hukuman di mahkamah sivil dengan denda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya.

Menurutnya setakat ini pihak pengurusan hotel akur dengan larangan itu selain berjanji mengeluarkan bahan bacaan terbabit secepat mungkin. – Bernama

Advertisements