You are currently browsing the monthly archive for May 2014.
Tajuk di atas adalah petikan sebahagian ucapan Khalid Samad pada 7hb Ogos 1987 di Parit Amal Johor semasa menjawat Setiausaha Pemuda PAS Pusat ketika itu.
Petikan ucapan beliau boleh dibaca dalam laporan kertas putih Parlimen 1988, Kertas Perintah 14, Tahun 1988, bertajuk Ke Arah Memelihara Keselamatan Negara.
Dalam ucapan tersebut, Khalid dilaporkan memberitahu hadirin tentang ancaman gerakan Kristianisasi dan jika ianya tidak dibendungkan maka “ … seluruh Malaysia akan dikristiankan selewat-lewatnya pada tahun 2000 …”
Apa yang beliau rasai ketika itu mungkin ada kebenarannya jika Perkara 11 (4) Perlembagaan Persekutuan dan pelbagai enakmen negeri-negeri berhubung kawalan perkembangan agama bukan Islam kepada orang Islam tidak ada. Alhamdulillah, dengan adanya kawalan sedemikian dapat membendung gejala ini merebak lebih besar.
Contoh di negeri Selangor, adanya Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan Perkembangan Di Kalangan Orang Islam) 1988:
Namun ianya tidak bermakna gejala kristianisasi ini tidak berlaku. Saya telah pun mengulas serta memberi contoh-contohnya dalam kiriman sebelum ini. Antaranya: Sememangnya Pelampau Evangelis Kristian Mempunyai Agenda Jahat Di Malaysia dan Tidak Ada Usaha Pemurtadan Di Malaysia? dan Niat Puak-puak Gereja AMAT JELAS.
Kita baca lagi petikan dari kertas putih Parlimen yang sama tersebut dan perhatikan kerisauan Presiden PAS, Al Marhum Ustaz Yusof Rawa pada tahun 1987:
Dan juga yang berikut:
Sememangnya pelampau evangelis Kristian tidak akan duduk diam seperti mana Allah s.w.t. telah mengingatkan kita semua dalam ayat 120 surah Al Baqarah.
Saya ingin mengingatkan kepada diri saya dan seluruh umat di Tanah Air ini agar kita mesti SENTIASA berwaspada dengan agenda JAHAT pelampau evangelis Kristian. Menjadi kewajiban kita semua untuk menyekat segala punca ancaman ini.
Baca juga: Gerakan Kristianisasi: Muslim Malaysia diasak bertubi-tubi
KUALA LUMPUR 21 Mei – Keputusan kerajaan untuk memperkasa dan mengembalikan kegemilangan Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) merupakan satu langkah tepat bagi mengekang pelbagai ancaman yang boleh menggugat pegangan umat Islam di negara ini.
Presiden Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWAJA), Zamihan Mat Zin Al-Ghari berkata, pihaknya menyambut baik komitmen yang dinyatakan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan berharap inisiatif tersebut dapat membimbing umat Islam supaya terus berada pada landasan akidah sebenar.
“Ancaman Syiah, Wahabi, liberalisme serta pluralisme ini jika tidak diawasi serta dikawal dari awal lagi, akan membawa kecelaruan kepada fahaman Islam sekali gus menggugat ASWJ yang selama ini menjadi pegangan umat Islam di Malaysia.
“Justeru, penekanan serta perhatian serius oleh kerajaan dilihat begitu penting dalam menjamin kelangsungan negara sebagai pusat ASWJ yang sebelum ini turut menjadi panduan ulama terkemuka,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Semalam, ketika merasmikan Seminar Pencerahan Tassawur ASWJ, Muhyiddin menegaskan, umat Islam di negara ini perlu diberi pendedahan secara berterusan tentang fakta-fakta pemesongan yang dibawa oleh fahaman liberalisme dan pluralisme agama serta bahayanya kepada akidah mereka.
Menurut beliau, kerajaan akan bekerjasama menyalurkan bantuan kepada para ulama, institusi dakwah dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam memperluaskan usaha dakwah dan tarbiah di negara ini di samping menyeru ulama dan ilmuwan Islam agar berusaha mengembalikan semula kedudukan negara ini sebagai pusat pengembangan ilmu ASWJ serantau.
Sumber: Utusan Malaysia
KUALA LUMPUR 21 Mei – Umat Islam mesti menolak pegangan anti-hadis yang tidak mengiktiraf sunnah sebagai sumber hukum Islam yang kedua.
Pensyarah Sekolah Perniagaan Islam, Kolej Perniagaan Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Madya Dr. Asmadi Mohamed Naim berkata, pegangan golongan tersebut boleh menjerumuskan mereka ke dalam kekufuran malah terkeluar daripada pegangan Islam.
Beliau memberitahu, ketetapan bahawa sunnah merupakan sumber rujukan kedua Islam telah ditegaskan dalam al-Quran seperti yang dinyatakan dalam surah an-Nisa (ayat 59 dan 171), an-Nur (ayat 62), al-Baqarah (ayat 129), al-Ahzab (ayat 36), al-Maidah (ayat 67), an-Najm (ayat 3 dan 4) serta al-Hashr (ayat 7).
“Berdasarkan hujah-hujah inilah martabat al-Quran adalah qatie thubut dan penjelasannya supaya digunakan sunnah sebagai sumber hukum adalah qatie dalalah serta ijma ulama zaman berzaman bahawa sunnah adalah sumber hukum Islam kedua,” katanya dalam Seminar Pencerahan Tasawwur Ahlus Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) anjuran Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (Muafakat) di Masjid Wilayah Persekutuan di sini hari ini.
Asmadi membentangkan kertas kerja bertajuk ASWJ: Suatu Kebenaran Mutlak Berdasarkan Nas as-Sunnah dalam sesi yang dikendalikan Dr. Mohd. Mahyudi. Mohd. Yusop dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
Dalam pada itu, beliau berkata, ASWJ menolak pemahaman Syiah tentang pewarisan imamah atau khilafah kepada Sayyidina Ali.
“ASWJ berpegang kepada pendirian menyayangi dan menghormati ahli bait Rasulullah SAW berdasarkan kepada dalil-dalil yang dinyatakan,” ujarnya.
Menurut beliau, ASWJ juga berpendirian bahawa perbezaan pandangan dan sikap sesama ahli bait adalah ijtihad dalam kalangan para mujtahid.
sumber: © Utusan Melayu (M) Bhd
KUALA LUMPUR 21 Mei – Doktrin liberalisme yang berasal dari Barat mempunyai kesan negatif kerana mempengaruhi umat Islam menentang fitrah yang ditetapkan Allah SWT.
Rektor Universitas Sultan Agung Semarang, Dr. Anis Malik Thoha berkata, doktrin tersebut pada hakikatnya mengajar manusia melawan kudratnya sendiri.
Menurut beliau, fahaman itu amat bertentangan dengan hakikat bahawa manusia mesti tunduk kepada hukum-hukum dan nilai-nilai yang ditetapkan Allah SWT.
“Manusia tidak boleh bebas memilih aturannya sendiri atau sesuka hatinya,” katanya dalam Seminar Pencerahan Tasawwur Ahlus Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) di Masjid Wilayah Persekutuan di sini hari ini.
Anis membentangkan kertas kerja bertajuk ‘Kemungkaran Fahaman Liberalisme: Perspektif ASWJ’ dalam sesi yang dikendalikan Dr. Mohd. Mahyudi. Mohd. Yusop dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
Beliau menambah, liberalisme hanya mementingkan aspek kemanusiaan sekali gus menjadikan doktrin itu bercanggah dengan tasawwur Islam.
Jelasnya, pendirian yang diketengahkan oleh fahaman liberalisme itu merupakan satu pelanggaran yang berat terhadap akidah ASWJ.
sumber: © Utusan Melayu (M) Bhd
Bangsa Malaysia?
Tidak …
Yang ada ialah bangsa Melayu, Cina, India, dan seumpamanya.
Rakyat Malaysia – ya betul ada.
Ada Canadian race? Pun tak ada.
Ada Singaporean race? Pun tak ada.
Ini Tanah Melayu dengan negeri-negeri di bawah kesultanan Raja-raja Melayu yang berdaulat, kemudian bersepakat untuk mewujudkan Persekutuan Tanah Melayu yang kemudian menjadi Malaya dan kini Malaysia. Ianya bukan bangsa. Ianya sebuah Tanah Air yang berdaulat … Tanah Melayu.
FAKTA SEJARAH!
KUALA LUMPUR 21 Mei – Usaha menggembleng ilmu, ekonomi, kuasa dan media penting dalam menyediakan benteng agama yang kukuh di negara ini.
Pensyarah Jabatan Syariah, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (UM), Dr. Mohamad Zaidi Abdul Rahman berkata, ilmu boleh diangkat menjadi teras dan pelindung utama bagi memastikan kemurnian mazhab Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ).
“Kegunaan asasnya, boleh berdepan cabaran berbentuk fahaman yang lazimnya mengelirukan, disantuni dengan memberi kefahaman yang benar. Ini adalah sebahagian usaha besar ulama silam menghadapi pelbagai ancaman fahaman yang mencabar kemurnian ASWJ.
“Saluran penulisan dan lisan diangkat yang pada masa itu sebagai salah satu medium memberi pencerahan kepada makna-makna yang perlu dipegang oleh umat,” katanya ketika membentangkan kertas kerja bertajuk Malaysia Sebagai Benteng ASWJ Alam Melayu: Strategi Memperkasakannya’ dalam Wacana Pemikiran dan Peradaban Ummah Ke-6 di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Mohamad Zaidi berkata, usaha ulama silam boleh diperluaskan pada masa ini khususnya melalui teknologi yang semakin canggih terutama dengan menguasai kepesatan media massa dan elektronik.
“Jika dahulu, cabarannya mengambil masa yang agak lama, kini setiap saat lahir kepelbagaian maklumat yang memerlukan jawapan dan penyelesaian dengan segera.
“Justeru, penguasaan kepada penggunaan kecanggihan multimedia bukan sahaja dapat menyalurkan maklumat tetapi boleh menjadi perencah di kala masyarakat telah terbiasa dengan budaya hedonisme,” katanya.
Tambah beliau, penerokaan genre-genre lain seperti nyanyian, drama dan kartun yang disulami mesej-mesej ASWJ boleh memberi alternatif kepada masyarakat yang mempunyai kepelbagaian latar belakang kehidupan.
Sektor ekonomi juga katanya, berperanan sebagai pelicin kepada banyak perancangan dalam pemeliharaan kesucian agama di negara ini.
Menurutnya, kerja-kerja tersebut memerlukan dana yang besar bagi membiayai aktiviti penyelidikan, penyampaian penyiaran dan percetakan serta keperluan logistik.
“Akhirnya, komponen kuasa turut menjadi pelengkap kepada benteng memperkasa ASWJ. Saluran ini boleh memberi impak yang segera khususnya bagi menyelamatkan akidah ummah,” katanya.
Sehubungan itu, beliau memberitahu, terdapat keperluan mencipta gandingan ulama-ulama yang harmoni agar kedua-duanya saling menyokong bagi memantapkan perjalanan agama dan negara ke landasan yang diredai Allah.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140522/dn_04/Empat-elemen-perlu-dikuasai-umat-Islam#ixzz32S9MDGXr
© Utusan Melayu (M) Bhd
KUALA LUMPUR 21 Mei – Kerajaan disaran bersungguh-sungguh memastikan mazhab Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) difahami secara menyeluruh dari aspek pegangan akidah, amalan fiqah serta penghayatan akhlak dalam segenap lapisan umat Islam di negara ini.
Saranan itu merupakan antara resolusi Wacana Pemikiran dan Peradaban Ummah Ke-6 bertemakan Pencerahan Tasawwur ASWJ anjuran Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (Muafakat) yang berakhir hari ini.
Selain itu, wacana dua hari yang melibatkan pembentangan sembilan kertas kerja oleh pakar-pakar agama tersebut turut mendesak kerajaan supaya terus bertegas dalam usaha membanteras segala unsur dan anasir yang mampu memberi kecelaruan kepada fahaman ASWJ sebenar.
Untuk mencapai matlamat murni tersebut, wacana itu meminta Kerajaan Persekutuan dan kerajaan-kerajaan negeri melalui agensi-agensi berkaitan menyediakan modul pembelajaran menyeluruh tentang pegangan ASWJ untuk diaplikasikan pada semua peringkat pendidikan dalam sistem pendidikan kebangsaan.
Kerajaan juga jelas wacana itu, perlu menyeragamkan dan memantau aktiviti pengajian di semua masjid serta surau supaya semuanya berdasarkan teks-teks yang telah dikenal pasti sesuai mengikut fahaman epistemologi ASWJ.
Dalam masa sama, wacana tersebut meminta kerajaan menghentikan operasi institusi-institusi pengajian bertopengkan Islam yang didapati tidak selari dengan indeks akidah ASWJ.
“Kerajaan wajar menjadikan syarat aliran akidah al-Asha’irah dan al-Maturidiyyah dalam meluluskan permohonan baharu untuk memulakan institusi pengajian swasta yang berlandasan Islam,” jelas wacana berkenaan.
Resolusi tersebut dibaca oleh Setiausaha Agung Muafakat, A. Karim Omar.
Sementara itu, wacana itu menegaskan kerajaan wajar mewujudkan dana khas untuk kajian akademik yang berteraskan topik ASWJ di universiti-universiti tempatan.
Menurutnya, kerajaan perlu menggembleng usaha serta menyediakan insentif menarik untuk pihak swasta bekerjasama di dalam aktiviti penyelidikan, penyampaian, penyiaran serta operasi pusat rujukan berkaliber yang diwujudkan secara khusus untuk menyuburkan aktivisme bagi memperkasakan fahaman ASWJ.
“Kerajaan wajar memperbanyak kandungan dan program yang mempromosikan tasawwur ASWJ secara kreatif dan meluas di media cetak dan elektronik arus perdana.
“Selain itu, kerajaan perlu menyediakan jaringan gandingan ulama-umara berprofil tinggi demi memacu idea pembinaan jati diri Malaysia sebagai benteng ASWJ di persada global,” jelasnya.
Dengan latar keseriusan serangan ajaran Syiah dan pemikiran liberalisme serta pluralisme agama di negara itu, wacana itu menegaskan, kerajaan perlu menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi memantau pergerakan kumpulan berkenaan di bawah seliaan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
Wacana tersebut juga mendesak Kementerian Dalam Negeri dan pihak berkuasa agama di semua peringkat agar mengambil tindakan tegas menyekat ajaran dan fahaman tersebut.
“Pengamal, pelopor Syiah, liberalisme dan pluralisme agama serta pertubuhan-pertubuhan yang diketahui umum memperjuangkan fahaman ini perlu dipanggil untuk diberi kaunseling dan nasihat.
“Langkah itu supaya mereka menghormati kedaulatan Islam, patuh kepada peruntukan Perlembagaan, undang-undang dan enakmen agama sedia ada dan menyantuni citra rakyat Malaysia yang majoritinya beraliran ASWJ,” jelas wacana berkenaan.
sumber: © Utusan Melayu (M) Bhd
Resolusi Wacana Pencerahan Tasawwur Ahli As-Sunnah Wa al-Jama‘ah
1. Menyedari hakikat bahawa sejarah kestabilan, kemakmuran serta kemajuan umat Alam Melayu Nusantara adalah berpaksikan kepada ajaran Islam aliran Ahli As-Sunnah Wa al-Jama’ah, maka:
- Kerajaan perlu bersungguh dalam memastikan tasawwur Ahli As-Sunnah Wa al-Jama’ah ini difahami secara menyeluruh, dari aspek-aspek pegangan akidah, amalan fiqh serta penghayatan akhlak; disegenap lapisan umat Islam di tanah air tercinta ini.
- Kerajaan juga mestilah secara berterusan bertegas dalam usaha membanteras segala unsur dan anasir yang mampu memberi kecelaruan kepada fahaman Ahli As-Sunnah Wa al-Jama’ah yang sebenar.
2. Untuk mencapai matlamat murni di atas, kerajaan Persekutuan dan Negeri; melalui agensi-agensi yang berkaitan, wajar:
- Menyediakan modul pembelajaran menyeluruh tentang pegangan Ahli As-Sunnah Wa al-Jama’ah untuk diaplikasikan di semua peringkat pendidikan dalam sistem pendidikan kebangsaan.
- Menyeragamkan dan memantau aktiviti pengajian di masjid-masjid serta surau-surau supaya semuanya berdasarkan teks-teks yang telah dikenal pasti sesuai mengikut faham epistemologi Ahli As-Sunnah Wa al-Jama’ah.
- Menghentikan operasi institusi-institusi pengajian yang bertopengkan Islam yang didapati menyebarkan fahaman yang tidak selari dengan indeks akidah Ahli As- Sunnah Wa al-Jama’ah.
- Menjadikan syarat aliran akidah al-Asha’irah dan al-Maturidiyyah dalam meluluskan permohonan baharu untuk memulakan institusi pengajian swasta yang berlandaskan Islam.
- Mewujudkan dana khas untuk kajian akademik yang berteraskan topik Ahli As-Sunnah Wa al-Jama’ah di universiti-universiti tempatan.
- Menggembeling usaha serta menyediakan insentif menarik untuk pihak swasta bekerjasama di dalam aktiviti penyelidikan, penyampaian, penyiaran serta operasi pusat rujukan berkaliber yang diwujudkan secara khusus untuk menyuburkan aktivisme yang memperkasakan faham Ahli As-Sunnah Wa al-Jama’ah.
- Memperbanyakkan kandungan dan program yang mempromosikan tasawur Ahli As-Sunnah Wa al-Jama’ah secara kreatif dan meluas dimedia cetak dan elektronik arus perdana.
- Menyediakan jaringan gandingan ulama-‘umara berprofil tinggi demi memacu idea pembinaan jatidiri Malaysia sebagai benteng Ahli As-Sunnah Wa al-Jama’ah dipersada global.
3. Dengan latar keseriusan serangan ajaran Syi’ah; dan pemikiran liberalisme dan pluralisme agama di Malaysia, maka:
- Kerajaan perlu menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi memantau pergerakan kumpulan ini di bawah seliaan JAKIM.
- Mendesak Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan pihak berkuasa agama disemua peringkat agar mengambil tindakan tegas menyekat ajaran dan fahaman tersebut.
- Pengamal, pelopor Syi’ah, liberalisme dan pluralisme agama serta NGO-NGO yang diketahui umum memperjuangkan fahaman ini perlu dipanggil untuk diberi kaunseling dan nasihat supaya mereka menghormati kedaulatan Islam; patuh kepada peruntukan Perlembagaan, undang-undang dan enakmen agama sedia ada; dan menyantuni citra rakyat Malaysia yang majoritinya beraliran Ahli As-Sunnah Wa al-Jama’ah.
21hb Mei 2014
KUALA LUMPUR 20 Mei – Akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) menyatakan bahawa mendirikan pemerintahan adalah satu kewajipan ke atas ummah secara umumnya.
Pensyarah Jabatan Akidah dan Pemikiran Islam, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (UM), Dr. Wan Adli Wan Ramli berkata, perkara itu kerana hanya dengan adanya pemerintahan sahaja, urusan pentadbiran ummah dapat dilaksanakan dengan lebih teratur melalui pelantikan para kadi, hakim, pegawai dan kakitangan berkenaan.
Malah katanya, hanya dengan adanya pemerintah yang berkuasa sahaja keamanan ummah dapat dipertahankan dengan penubuhan dan pentadbiran pasukan tentera yang mengawal batasan geopolitik ummah serta pasukan polis yang mengawal ketenteraman awam.
Walau bagaimanapun, mereka menerima bahawa pendekatan untuk melantik pemerintahan adalah suatu usaha ikhtiar melalui ijtihad.
Dengan itu, dalam konteks semasa, apabila para ulama berijtihad untuk menerima pendekatan warisan keturunan sebagai penentu pemerintah ummah atau untuk menerima pendekatan pemilihan awam dalam pilihan raya.
Maka, pendekatan yang telah diterima dalam ijtihad para ulama tersebut boleh sahaja diamalkan dalam melantik pemerintah. Dengan kefahaman ini, boleh pula diinsafi bahawa ijtihad itu mungkin pula berubah pada masa akan datang berdasarkan perubahan keadaan pada ketika itu,” katanya.
sumber: © Utusan Melayu (M) Bhd
KUALA LUMPUR 20 Mei – Tidak syak lagi kumpulan Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) adalah satu firqah yang ingin mendukung ajaran Islam sebenar dan rujukannya ialah al-Quran, sunah, ijmak al-ummah serta qiyas.
Pensyarah Jabatan Akidah dan Pemikiran Islam, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (UM), Prof. Madya Datuk Dr. Mohd. Fakhrudin Abdul Mukti (gambar) berkata, jemaah tersebut juga berpegang hadis Rasulullah SAW bahawa umatku akan berpecah kepada 73 kumpulan dan salah satunya adalah kumpulan yang selamat”.
Katanya, kumpulan ASWJ sudah pun terkenal di zaman para Sahabat sehinggalah dikhususkan kepada empat imam iaitu Abu Hanifah, Malik, Syafie dan Hanbal.
Golongan lain seperti khawarij, rawafid dan muktazilah tidak termasuk dalam golongan ASWJ kerana mereka tidak menerima kesahihan al-ijmak dan tidak menganggapnya sebagai hujah.
ASWJ mengambil mengambil pendekatan kesederhanaan selaras dengan kedudukan ummah sebagai ummatan wasata yang cuba mengimbangkan di antara naqal dan akal yang menjadi pertelingkahan sesama umat yang turut mengundang penglibatan pemikiran falsafah serta ahli falsafah Islam.
Perkembangan ini menyemarakkan pertelingkahan umat Islam dalam polemik ilmu yang tidak berkesudahan,” katanya ketika membentangkan kertas kerja bertajuk ASWJ: Suatu Kebenaran Mutlak Berdasarkan Nas al-Quran dalam Wacana Pemikiran dan Perdaban Ummah Ke-6 di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Mohd. Fakhrudin menjelaskan, ASWJ adalah umat yang bersifat wasatiyyah dalam memahami akidah, hukum-hakam dan akhlak.
Kata beliau, kebenaran yang diperjuangkan dan diamalkan tentu bersifat mutlak yang tidak mempunyai sebarang keraguan serta prejudis kerana ajarannya ialah daripada Allah berdasarkan al-Quran dan sunah.
Penilaian kepada kebenaran ASWJ jelasnya, perlu berasaskan kepada pemikiran yang menepati nas-nas al-Quran, sunah dan akal yang digunakan adalah sebagai wasilah dianugerahi Allah kepada manusia.
Penghujahan yang pintar dan ilmiah seharusnya mengundang penghargaan umat Islam. Mereka telah berhempas-pulas memikir dan cuba memahami ayat-ayat Allah dengan penuh tawaduk serta demi kebenaran semata-mata,” katanya.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140521/dn_07/ASWJ-dukung-Islam-sebenar#ixzz32IVvutKv
© Utusan Melayu (M) Bhd
Recent Comments