PM-Najib-musabaqah

Najib Tun Razak dan Rosmah Mansor mengaminkan bacaan doa ketika majlis perasmian Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan Ke-75 bertemakan ‘Wasatiyyah Tonggak Kesatuan Ummah’ di Kuantan, Pahang, malam tadi. Turut sama, Adnan Yaakob (dua dari kiri) dan Jamil Khir Baharom (kiri). – BERNAMA

Syabas PM Najib!
Petikan Utusan Malaysia:

 

KUANTAN 13 Mei – Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, umat Islam kini berdepan dengan satu bentuk ancaman serangan baharu yang begitu agresif iaitu pemikiran dan fahaman humanrightisme.

Perdana Menteri berkata, fahaman itu dilihat seolah-olah menjadi satu cabang agama baharu yang amat pesat berkembang di dalam dan luar negara.

Menurutnya, rencah utama fahaman tersebut adalah berasaskan pemikiran humanisme dan sekula­risme serta liberalisme.

“Fahaman ini bersifat songsang, apabila mengagungkan kehendak dan nafsu manusia semata-mata serta menolak sebarang sistem nilai yang merangkumi normal agama dan adab susila.

“Mereka melakukan segalanya ini di atas satu balutan indah yang diumpani dengan istilah kononnya atas dasar memperjuangkan hak-hak asasi manusia,” katanya ketika berucap dalam majlis Perasmian Tilawah al-Quran Peringkat Kebangsaan Ke-57 di Dewan Jubli Perak Sultan Ahmad Shah di sini malam ini.

Yang turut hadir, isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor; Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Pada majlis tersebut, tiga qari dan qariah jemputan yang pernah memenangi tilawah tersebut memperdengarkan bacaan masing­-masing.

Mereka ialah Datuk Abdul Hak @ Abdul Ghani Abdullah, Datuk Ahmad Faizol Ghazali dan Sharifah Khasif Fadzillah Syed Badiuzzaman.

Najib berkata, sebagai sebuah negara Islam yang memartabatkan maqasid syariah, sudah tentu umat Islam amat menitikberatkan kemas­lahatan dan kebajikan setiap insan tanpa mengira warna kulit, bahasa mahupun agama.

“Pemahaman hak asasi manusia yang ekstrem dan tidak mempu­nyai batas diwasatiyyahkan dengan kerangka undang-undang, Perlembagaan dan nilai budaya bangsa,” ujarnya.

Beliau berkata, hari ini dengan cabaran globalisasi dunia tanpa sempadan, pemikiran songsang di sisi Islam seperti pluralisme dan liberalisme cuba dicerna dan di­sebarkan dengan mengaitkan kesucian agama Islam.

Hakikatnya kata Najib, pemikiran sesat itu merupakan ancaman yang sangat berbahaya kepada akidah dan syariat Islam sendiri.

“Sudah tentu kita sama sekali tidak akan reda dengan sebarang tuntutan supaya hak untuk murtad daripada Islam diberikan atau hak umat Islam melaksanakan ajaran Islam melalui mahkamah syariah dinafikan, mahupun sebarang pe­rilaku songsang lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) diperakui dan dihalalkan,” ujarnya.

Menurut Najib, tuntutan al-Quran yang dibawa oleh wahyu suci telah memerdekakan manusia daripada pemikiran dan kegelapan jahiliah kepada cahaya keimanan serta kemuliaan insan.

“Sebagai umat Islam kita harus berusaha memahami al-Quran mengikut pemahaman Nabi Muhammad SAW yang menekankan konsep keimanan dan ketakwaan hanya kerana Allah SWT serta persaudaraan erat sesama Islam,” ujarnya.
© Utusan Melayu (M) Bhd