KUALA LUMPUR 20 Mei – Tidak syak lagi kumpulan Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) adalah satu firqah yang ingin mendukung ajaran Islam sebenar dan rujukannya ialah al-Quran, sunah, ijmak al-ummah serta qiyas.

WASWJ-8-pembentang2Pensyarah Jabatan Akidah dan Pemikiran Islam, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (UM), Prof. Madya Datuk Dr. Mohd. Fakhrudin Abdul Mukti (gambar) berkata, jemaah tersebut juga berpegang hadis Rasulullah SAW bahawa “umatku akan berpecah kepada 73 kumpulan dan salah satunya adalah kumpulan yang selamat”.

Katanya, kumpulan ASWJ sudah pun terkenal di zaman para Sahabat sehinggalah dikhususkan kepada empat imam iaitu Abu Hanifah, Malik, Syafie dan Hanbal.

“Golongan lain seperti khawarij, rawafid dan muktazilah tidak termasuk dalam golongan ASWJ kerana mereka tidak menerima kesahihan al-ijmak dan tidak menganggapnya sebagai hujah.

“ASWJ mengambil mengambil pendekatan kesederhanaan selaras dengan kedudukan ummah sebagai ummatan wasata yang cuba mengimbangkan di antara naqal dan akal yang menjadi pertelingkahan sesama umat yang turut mengundang penglibatan pemikiran falsafah serta ahli falsafah Islam.

“Perkembangan ini menyemarakkan pertelingkahan umat Islam dalam polemik ilmu yang tidak berkesudahan,” katanya ketika membentangkan kertas kerja bertajuk ‘ASWJ: Suatu Kebenaran Mutlak Berdasarkan Nas al-Quran’ dalam Wacana Pemikiran dan Perdaban Ummah Ke-6 di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd. Fakhrudin menjelaskan, ASWJ adalah umat yang bersifat wasatiyyah dalam memahami akidah, hukum-hakam dan akhlak.

Kata beliau, kebenaran yang diperjuangkan dan diamalkan tentu bersifat mutlak yang tidak mempunyai sebarang keraguan serta prejudis kerana ajarannya ialah daripada Allah berdasarkan al-Quran dan sunah.

Penilaian kepada kebenaran ASWJ jelasnya, perlu berasaskan kepada pemikiran yang menepati nas-nas al-Quran, sunah dan akal yang digunakan adalah sebagai wasilah dianugerahi Allah kepada manusia.

“Penghujahan yang pintar dan ilmiah seharusnya mengundang penghargaan umat Islam. Mereka telah berhempas-pulas memikir dan cuba memahami ayat-ayat Allah dengan penuh tawaduk serta demi kebenaran semata-mata,” katanya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140521/dn_07/ASWJ-dukung-Islam-sebenar#ixzz32IVvutKv
© Utusan Melayu (M) Bhd

Advertisement