KUALA LUMPUR 20 Mei – Akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) menyatakan bahawa mendirikan pemerintahan adalah satu kewajipan ke atas ummah secara umumnya.

WASWJ-10-pembentang3Pensyarah Jabatan Akidah dan Pemikiran Islam, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (UM), Dr. Wan Adli Wan Ramli berkata, perkara itu kerana hanya dengan adanya pemerintahan sahaja, urusan pentadbiran ummah dapat dilaksanakan dengan lebih teratur melalui pelantikan para kadi, hakim, pegawai dan kakitangan berkenaan.

Malah katanya, hanya dengan adanya pemerintah yang berkuasa sahaja keamanan ummah dapat dipertahankan dengan penubuhan dan pentadbiran pasukan tentera yang mengawal batasan geopolitik ummah serta pasukan polis yang mengawal ketenteraman awam.

“Walau bagaimanapun, mereka menerima bahawa pendekatan untuk melantik pemerintahan adalah suatu usaha ikhtiar melalui ijtihad.

“Dengan itu, dalam konteks semasa, apabila para ulama berijtihad untuk menerima pendekatan warisan keturunan sebagai penentu pemerintah ummah atau untuk menerima pendekatan pemilihan awam dalam pilihan raya.

“Maka, pendekatan yang telah diterima dalam ijtihad para ulama tersebut boleh sahaja diamalkan dalam melantik pemerintah. Dengan kefahaman ini, boleh pula diinsafi bahawa ijtihad itu mungkin pula berubah pada masa akan datang berdasarkan perubahan keadaan pada ketika itu,” katanya.
sumber: © Utusan Melayu (M) Bhd