KUALA LUMPUR 21 Mei – Umat Islam mesti menolak pegangan anti-hadis yang tidak mengiktiraf sunnah sebagai sumber hukum Islam yang kedua.

wacanaASWJ-AsmadiPensyarah Sekolah Perniagaan Islam, Kolej Perniagaan Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Madya Dr. Asmadi Mohamed Naim berkata, pegangan golongan tersebut boleh menjerumuskan mereka ke dalam kekufuran malah terkeluar daripada pegangan Islam.

Beliau memberitahu, ketetapan bahawa sunnah merupakan sumber rujukan kedua Islam telah ditegaskan dalam al-Quran seperti yang dinyatakan dalam surah an-Nisa (ayat 59 dan 171), an-Nur (ayat 62), al-Baqarah (ayat 129), al-Ahzab (ayat 36), al-Maidah (ayat 67), an-Najm (ayat 3 dan 4) serta al-Hashr (ayat 7).

“Berdasarkan hujah-hujah inilah martabat al-Quran adalah qat’ie thubut dan penjelasannya supaya digunakan sunnah sebagai sumber hukum adalah qat’ie dalalah serta ijma’ ulama zaman berzaman bahawa sunnah adalah sumber hukum Islam kedua,” katanya dalam Seminar Pencerahan Tasawwur Ahlus Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) anjuran Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (Muafakat) di Masjid Wilayah Persekutuan di sini hari ini.

Asmadi membentangkan kertas kerja bertajuk ‘ASWJ: Suatu Kebenaran Mutlak Berdasarkan Nas as-Sunnah’ dalam sesi yang dikendalikan Dr. Mohd. Mahyudi. Mohd. Yusop dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Dalam pada itu, beliau berkata, ASWJ menolak pemahaman Syiah tentang pewarisan imamah atau khilafah kepada Sayyidina Ali.

“ASWJ berpegang kepada pendirian menyayangi dan menghormati ahli bait Rasulullah SAW berdasarkan kepada dalil-dalil yang dinyatakan,” ujarnya.

Menurut beliau, ASWJ juga berpendirian bahawa perbezaan pandangan dan sikap sesama ahli bait adalah ijtihad dalam kalangan para mujtahid.

sumber: © Utusan Melayu (M) Bhd