bangkitSabahat saya, Ben Yaacob menulis di Bangkit.info:

Sebentar lagi, pada jam 0900 pagi, Presiden ISMA akan didakwa di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan kerana kesungguhannya mempertahankan Kedaulatan Islam sebagai Agama Negara daripada diceroboh oleh kumpulan Ekstremis Islamufobia yang bersarang di dalam parti-parti politik perkauman Cina. Mereka menghina Islam secara bertubi-tubi tanpa sebarang tindakan diambil meskipun laporan polis ke atas mereka sudah bertimbun-timbun.
Mempertahankan Keluhuran Perlembagaan kini sudah mula ditafsirkan sebagai satu tindakan menghasut. Menghina, meludah serta memijak Keluhuran Perlembagaan kini sudah ditafsirkan sebagai Hak Asasi serta hak kebebasan bersuara manusia. Inilah satu kepelikan Malaysia lewat mileneum ini.
Ulama’ zaman dahulu sentiasa berpesan, dalam memerintah elakkan menzalimi sesiapa pun termasuk pihak lawan. Sebuah syair pernah dicatatkan oleh Syaikh Daud Bin Abdullah Al Fatani dalam kitabnya. Syair ini dikatakan disuratkan pada hamparan sesetengah Raja zaman dahulu.

Jangan kamu zalimkan orang apabila kamu kuasanya, maka zalim itu tempat keluarnya membawa kepada menyesal tidur dua mata engkau, dan yang kena zalim, jika ia meminta doa atas engkau… dan ‘ain Allah tiada tidur, kamu mudah-mudahkan akan doa dan kamu permain-mainkan akan dia dan tiada kamu ketahui dengan apa yang memperbuat oleh doa anak panah malam sangat luas, dan tetapi baginya masa dilalukannya.

Terjemahan : “Janganlah kamu menzalimi orang apabila kamu berkuasa, kerana kezaliman itu akibatnya akan membawa kepada sesalan, kedua mata kamu tidur, tetapi orang yang dizalimi itu berjaga malam berdoa terhadap engkau, sedangkan Allah tidak tidur. Janganlah kamu memperlekehkan dan mempermain-mainkan doa. Sungguh tidak kamu ketahui bahawa doa itu (seumpama) anak panah malam yang sangat tepat sasarannya dalam bertindak dan hanya ia menunggu masa mengenai sasarannya,”

Setakat maklumat yang ada, ISMA mempunyai lebih daripada puluhan ribu ahli. Tidak dapat dibayangkan apa kesudahan episod ini jika kesemua mereka mengambil keputusan untuk bangun malam dan berdoa secara serentak. Jangan sesekali memperkecilkan kuasa doa umat Islam.
Oleh itu berhati-hatilah dengan doa orang-orang mukmin yang dizalimi, sesungguhnya doa orang yang dizalimi itu sesungguhnya dimakbulkan Allah…. Wallahua’lam