Selamat Hari Raya. Maaf Zahir dan Batin.
Keadaan kering tidak hujan untuk sekian ketika dengan cuaca yang panas kini menyebabkan bekalan air untuk Lembah Klang sekali lagi mencapai paras getir. Jika mengikut paras sekarang, berbanding dengan catuan yang dibuat beberapa bulan lalu, sepatutnya sudah bermula catuan terbaru.
Paras air di empangan Sungai Selangor pada hari Khamis lalu turun pada paras 36.18 peratus, lebih rendah dari paras apabila catuan bulan Mac lalu mula digerakkan iaitu 36.53 peratus.
Alhamdulillah, kerana musim perayaan Hari Raya yang menyaksikan ramai penduduk kota meninggalkan Lembah Klang, catuan tidak dilaksanakan lagi kerana penggunaan dijangkakan berkurangan.
Akhbar The Star melaporkan pada hari Jumaat lalu:
Yesterday, the water level at the dam – the source of 60% of the water supply in Kuala Lumpur, Putrajaya and Selangor – fell to 36.18%.
Namun, ada kemungkinan pelan catuan terpaksa diaktifkan semula jika keadaan ini tidak bertambah baik dan warga kota mula kembali selepas berhari Raya di kampong masing-masing.
Petang tadi, exco Selangor, Ahmad Yunus telah mengeluarkan kenyataan media bahawa ada pihak yang cuba mengeruhkan lagi suasana dengan kerja-kerja sabotaj terhadap bekalan air ini. Memetik kenyataannya:
Sekitar jam 3 pagi semalam, pasukan yang bertugas mengendalikan pam-pam di kawasan HORAS Bestari Jaya telah diugut oleh sekumpulan samseng bersenjata. Atas faktor kebimbangan terhadap keselamatan nyawa, pasukan berkenaan telah meninggalkan kawasan tersebut.
Cubaan sabotaj ini telah mengakibatkan operasi pengepaman air dari HORAS ke sungai terganggu selama 5 jam dan mengakibatkan pengeluaran air sebanyak 70 juta liter padu tergendala.
Ketika ini pasukan daripada Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dan Jabatan Pengairan & Saliran (JPS) sedang bekerja keras melakukan operasi pengepaman agar bekalan air mentah tidak terjejas.
Sebagai pengguna air dan penduduk di Lembah Klang, kita semua sudah agak serik dengan masalah ketiadaan air untuk tembpoh beberapa bulan tersebut. Kita doa agar ianya tidak berulang.
Leave a comment
Comments feed for this article