KEMELUT politik Selangor belum nampak penghujungnya. Tiga parti yang membentuk pakatan tidak rasmi untuk membentuk kerajaan negeri ditunjangi Parti Keadilan Rakyat (PKR) kini goyah. Semuanya bermula dengan Langkah Kajang yang diatur oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kini menyaksikan negeri terkaya di Malaysia itu dalam krisis.
Ikuti wawancara Utusan Malaysia dengan Presiden Muafakat Malaysia, ISMAIL MINA AHMAD, lulusan sosiologi dari Universiti Malaya (UM) yang mempunyai sejarah panjang bersama Anwar di dalam jemaah Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), mengenai sifat dan falsafah politik ‘sahabat’ lamanya itu.
Apa pandangan tuan tentang senario politik Selangor yang berdepan dengan pilihan budi-bicara Sultan dalam memutuskan pertikaian jawatan menteri besar?
ISMAIL: Seperti kita sedia maklum, budi-bicara Sultan sudah termaktub di dalam Undang-undang Tubuh Negeri. Ini juga menjadi amalan sedia ada sejak lama dulu lagi. Sultan sudah pasti sifatnya sebagai pemelihara keamanan dan kesejahteraan rakyat akan memilih perkara terbaik berkaitan dengan kepentingan rakyat.
Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai ahli politik yang berpengalaman sepatutnya tahu hal ini bahkan wajib faham dan berbuat selaras dengan kedudukan dan peranan budi bicara sultan. Ramai melihat dia sengaja membuat provokasi kepada peranan dan kedudukan budi-bicara sultan.
Apakah tidak ada calon lain yang wibawa? Anwar semacam memperlekeh ADUN PKR yang lain dan melihat mereka tidak ada kualiti langsung.
Saya lihat dalam isu ini, budi-bicara sultan akan mengatasi kehendak politik diabolik Anwar itu.
Anwar dilihat sebagai penyebab krisis yang terjadi. Semasa Anwar memimpin ABIM adakah ciri-ciri ini terlihat pada watak beliau?
Ya, saya cenderung melihat bahawa krisis ini terjadi disebabkan oleh angkara politik Anwar yang bermula daripada Langkah Kajang. Krisis politik Selangor ini tidak akan terjadi, jika tidak ada nafsu diabolik yang meruntun dia ke Kajang.
Memang sejak dulu, sudah kelihatan wataknya sedemikian bahkan sewaktu dia memimpin ABIM lagi. Tetapi sayangnya ramai ahli ABIM yang tidak ambil peduli dan tidak melihat fenomena tersebut. Saya ambil contoh, apabila dia membawa masuk fahaman Khomeinisme ke dalam ABIM, timbul ketegangan dalaman kerana ada ahli yang menyokong dan ada pula yang menentang.
Demikian juga apabila dia mengambil keputusan terjun ke dalam politik kepartian tanpa restu jemaah ABIM. Wujud krisis besar malah parah sehingga menyebabkan ABIM berdepan dengan dilema.
Benarkah tindakan Anwar meninggalkan ABIM pada 1982 dibuat tanpa merujuk kepada Syura ABIM? Jika benar, apakah lanjutan amalannya dalam ABIM dulu dilihat dalam sikapnya hari ini?
Apalah sangat dengan Syura ABIM itu, yang dilihatnya sebagai tiada wibawa langsung.
Walaupun keputusan Syura ABIM menahan beliau daripada mengambil keputusan sendiri, tetapi beliau berdegil dengan pendiriannya dan tidak patuh.
Justeru dalam isu kepatuhan kepada Syura Pas, ini langsung tidak relevan baginya. Syura jemaahnya sendiri yakni ABIM pun tak dipatuhi, inikan pula Syura jemaah orang lain yakni Pas yang sedikit pun dia tidak hormat. Dia akan ikut jika memberi kepentingan peribadi.
Pas perlu sedar dan insaf dengan sifat Anwar ini.
Dr. Wan Azizah menjadi calon tunggal MB Selangor bagi menggantikan Khalid adalah lanjutan daripada strategi Langkah Kajang. Anwar terkait dengan amalan nepotisme yang ditentangnya selama ini atau ia memang demokratik?
Orang yang ada sedikit pengetahuan pun akan memahami bahawa tindakan Anwar mencadangkan hanya nama isterinya sebagai calon menteri besar adalah tindakan nepotisme yang luar biasa. Bahkan ia termasuk dalam amalan neponomics yang cukup bahaya. Tindakannya itu jangan dilihat hanya dalam erti nepotisme biasa kerana Selangor adalah negeri paling kaya dan dikatakan mempunyai rezab kewangan yang lumayan.
Anwar mengetahui perkara ini kerana dia penasihat ekonomi Selangor. Maka di sinilah sikap ghairah neponomicsnya berkobar-kobar.
Adalah silap jika ada yang beranggapan bahawa pencalonan Dr. Wan Azizah sebagai sikap demokratik Anwar.
Anwar dikatakan mempunyai strategi peribadi dan mengharapkan pertentangan dengan istana bagi menarik perhatian penyokongnya. Pada hemat tuan, apakah bijak bagi Pas terheret sama dalam kemelut ini?
Jika dikatakan Anwar mempunyai strategi peribadi, ini mungkin juga benar. Ini boleh dilihat daripada rekod-rekod aktiviti politiknya. Sikapnya menunjukkan dia memang suka adanya krisis. Dengan mencalonkan hanya seorang nama untuk jawatan menteri besar, yang tidak selari dengan saranan istana, semua orang dapat melihat malah berandaian yang dia sedang mencari pasal dengan istana. Kenapa Anwar berbuat demikian padahal dia tahu natijah dan risikonya?
Sikapnya yang sengaja menyanggah istana semacam mempunyai agenda tersembunyi untuk kepentingan peribadinya. Sikap anarkisme politik dan anarkisme moral jelas dapat disaksikan menerusi bagaimana dia mengerahkan pengikutnya ke jalan-jalan raya tanpa ada tujuan yang bermanfaat untuk orang ramai.
Kita perlu memahami falsafah perjuangan setiap aktivis politik termasuk Anwar. Dalam falsafah politik terdapat apa yang dinamakan The Hegelian Dialectic. Falsafah Hegel ini ialah untuk mencapai sesuatu matlamat politik, seseorang perlu menimbulkan isu dan masalah dalam kalangan masyarakat dan lihat respons atau reaksi orang ramai kepadanya dan kemudian diberi penawar atau solusi.
Contoh paling dekat dengan kita ialah Occupy Movement atau strategi mendominasi yang sedang kita saksikan. Ini adalah sebahagian agenda Dialetika Hegel.
Kenapa Anwar semacam mahu menimbulkan masalah dengan istana?
Kalau pembaca masih ingat, bukankah dia pernah menawarkan penyelesaian kepada masalah yang ditimbulkannya sendiri dengan mengajukan konsep Konsensus Nasional sebagai sintesis beberapa waktu dahulu. Inilah Hegelian Dialectic.
Sejak beberapa kurun dahulu, prinsip dan proses Hegel digunakan untuk mencapai cita-cita politik mereka dalam usaha menukar kuasa.
Ini adalah kerja-kerja hasil daripada diabolisme pemikiran. Siapa akan mendapat faedah daripada kerja-kerja gila ini? Sikap Anwar yang tidak mengendahkan istana akan menyebabkan sebahagian orang turut berbuat demikian. Ini juga sebahagian prinsip Hegel yang cuba menyanggah pandangan istana.
Pas perlu memahami bahkan mendalami falsafah politik Anwar. Saya percaya Pas sudah terasa bahang panas permainan kotor Anwar memperbodohkan parti itu.
Saya juga percaya kali ini Pas tidak akan terheret ke dalam kancah politik diabolik Anwar untuk berkelahi dengan istana. Hal ini kerana ahli akar umbi malah sebahagian pemimpin dan ulama Pas sudah mula menyuarakan kritikan keras kepadanya. Pengalaman kurang mesra Pas dengan istana Kelantan suatu ketika dulu diharap menjadikan Pas semakin bijak.
Apakah tuan bersetuju sekiranya kemelut politik ini payah terlerai, akhirnya mandat politik baru perlu diberikan semula kepada rakyat?
Mengenali Anwar, dia akan berusaha sekuat tenaga dan pelbagai cara untuk memastikan hasratnya tercapai yakni melihat Wan Azizah menjadi menteri besar. Dalam politik ia dinamakan machtpolitik.
Jika keadaan berlarutan, saya cenderung mencadangkan kepada sultan supaya memulangkan mandat politik kepada rakyat agar dapat memilih kerajaan baru yang tiada masalah, cekap mengurus negeri demi kesejahteraan rakyat bukan asyik bergaduh sahaja.
Ini bukan pendapat saya seorang tetapi ramai lagi. Pengalaman kerajaan dan pentadbiran di bawah kawalan Anwar di Selangor amat memeritkan.
© Utusan Melayu (M) Bhd
**********
- Bila Ustaz Haji Hadi Mempertegaskan Pendiriannya …
- Pertemuan Memujuk Akhirnya Bertikam Lidah
- Kemelut Politik Selangor – KETUM Amat Terdesak
- Kemelut Politik Selangor: Menzahirkan Yang Terselindung Selama Ini
- Kemelut Politik Selangor – Tadbir Allah Tiada Siapa Tahu
- Kemelut Politik Selangor: Pembubaran DUN Bukan Lagi Opsyen Tetapi Terpaksa
- Apakah Presiden PKR Tak Pandai Tulis Surat?
- Ustaz Ismail Mina: Jangan terjebak sifat politik Anwar
- Presiden PAS, Haji Hadi Pula Ditembak!
- Puak-puak Yang Mengikut Telunjuk Anwar Dalam PAS
- Kerajaan Baru Selangor – Gabungan PAS dan UMNO
2 comments
Comments feed for this article
6 September, 2014 at 8:38 pm
Bila Ustaz Haji Hadi Mempertegaskan Pendiriannya … | Karim's Blog
[…] Ustaz Ismail Mina: Jangan terjebak sifat politik Anwar […]
8 September, 2014 at 8:01 am
Bila Anwar Paksakan Nama Isterinya … Dia Ada Rancangan Besar? | Karim's Blog
[…] Ustaz Ismail Mina: Jangan terjebak sifat politik Anwar […]