Charles Malik-UDHR-PhalangistxMemperingati pembunuhan di kem Shabra dan Shatila membawa kita untuk ingat penggerak pengganas yang membunuh ribuan pelarian Palestin, Charles Habib Malik, Kristian Lubnan, yang juga menjadi orang yang menderafkan dokumen Hak Asasi Manusia Sejagat (Universal Declaration of Human Rights – UDHR)

Ikuti ulasan lanjut oleh peguam Azril Mohd Amin dari blognya azrilmohdamin.com.

Baca juga: Sejarah Hitam Pengasas Dokumen Deklarasi UDHR? dan Apa Shaykh Hakim Murad Kata Tentang Human Rights

16 SEPTEMBER 2014 merupakan ulang tahun ke-32 peristiwa pembunuhan beramai-ramai di kem pelarian Sabra dan Shatila di Beirut, Lebanon. Sekurang-kurangnya 3,000 orang awam, kebanyakannya pelarian wanita, warga tua dan kanak-kanak Palestin, terkorban dalam tragedi pembunuhan yang berlangsung selama tiga hari, dilakukan anggota militia sayap kanan Parti Phalangist Lebanon yang bersekutu dengan Israel.

Askar Israel mengepung kem-kem itu dan para penghuninya dibedil dengan dahsyatnya. Kemudian, puak Phalangist dibenarkan masuk, dan tentera Israel menerangi langit malam dengan suar-suar untuk membolehkan pembunuhan beramai-ramai itu dilakukan. Terdapat laporan saksi bahawa beberapa askar Israel turut mengambil bahagian dalam pembunuhan tersebut.

Sebuah suruhanjaya penyiasat Israel menyimpulkan sejurus selepas itu bahawa kerajaan Israel “bertanggungjawab secara tidak langsungnya” terhadap pembunuhan tersebut dan bahawa Ariel Sharon, selaku Menteri Pertahanan dan pencatur operasi pencerobohan tahun 1982 itu, “memikul tanggungjawab peribadi” kerana gagal mencegahnya.

Menjadi persoalan lain pula apabila tindakan tidak diambil terhadap Sharon, yang seterusnya menjadi Perdana Menteri dan berperanan penting dalam usaha melemahkan perjanjian damai Oslo dan meneruskan pendudukan Israel di tanah Palestin. Seperti yang dinyatakan oleh Noam Chomsky, siasatan rasmi Israel itu “tidak ditujukan kepada orang yang memihak kepada kebenaran dan ketelusan”.

Sebuah suruhanjaya siasatan antarabangsa yang diketuai oleh negarawan Ireland, Sean MacBride, pada tahun 1982 menyimpulkan bahawa Israel “bertanggungjawab secara langsung” kerana kem-kem tersebut berada di bawah jagaannya selaku “kuasa takluk.” Meskipun Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) menggambarkan pembunuhan beramai-ramai di Sabra dan di Shatila itu sebagai “jenayah pembunuhan” dan mengisytiharkannya sebagai perbuatan menghapuskan sesuatu kaum, namun Israel tetap bebas dari sebarang tuduhan.

Kira-kira dua tahun lepas, muncul bukti baharu yang menunjukkan bahawa kerajaan Amerika Syarikat pada hakikatnya memang menyedari aktiviti tentera Israel dan sekutu-sekutu tempatan mereka pada hari-hari tersebut tatkala pembunuhan beramai-ramai itu dilakukan. Akhbar The New York Times, dalam sebuah laporan panjang lebar bertajuk “A Preventable Massacre” yang disiarkan pada 17 September 2012, menyatakan bahawa Israel telah “menipu” Washington untuk mempercayai bahawa beribu-ribu “pengganas” berkubu di dua kem tersebut dan tindakan ketenteraan diambil untuk menghapuskan mereka. Seth Anziska, penuntut kedoktoran di Universiti Colombia yang menulis rencana berkenaan, memetik dokumen-dokumen rasmi untuk menunjukkan bahawa pihak berkuasa Israel sengaja memperdayakan rakyat Amerika untuk mempercayai dakwaan palsu bahawa beribu-ribu pejuang Palestin, yang digelar “pengganas” oleh Israel, berkubu di penempatan pelarian Sabra dan Shatila yang serba daif itu.

Anziska menyandarkan kajiannya pada dokumen-dokumen Israel yang didedahkan baru-baru ini dan diperolehinya dari arkib kerajaan. Rencana tersebut menyatakan “Yang paling merunsingkan, apabila Amerika Syarikat berada dalam kedudukan yang mampu memberikan tekanan diplomatik yang kuat terhadap Israel untuk menghentikan keganasan tersebut, mereka gagal berbuat demikian.”

Pembunuhan tersebut berlaku setelah para pejuang Palestin meninggalkan Beirut Barat berikutan jaminan pihak Amerika bahawa orang awam akan diberi perlindungan. Amerika Syarikat telah mengerakkan askar marinnya sejurus selepas pemergian angkatan pejuang Palestine Liberation Organisation (PLO) dari Lebanon. Beirut Barat berada di bawah kawalan angkatan PLO selama bertahun-tahun. Tetapi dalam tempoh sepuluh hari selepas mereka pergi, askar marin Amerika Syarikat pula, yang sepatutnya membantu mengekalkan keamanan, telah meninggalkan Beirut. Maka medan terbuka luas bagi tentera Israel dan sekutunya daripada golongan sayap kanan Kristian.

Phalangist-Zionist-EIR1978Pada 15 September, Perdana Menteri Israel pada ketika itu, Menachem Begin, telah memberitahu utusan khas Amerika Syarikat di negaranya, Morris Draper, bahawa askar-askar Israel sedang memasuki Beirut Barat untuk mencegah berlakunya “pogrom”, iaitu tindakan penghapusan etnik. Sehari sebelumnya, Presiden Lebanon yang memihak Israel, Basher Gemayel, yang baru sahaja memegang jawatan, telah dibunuh. Menjelang 16 September, iaitu hari pertama pembunuhan beramai-ramai itu, tentera Israel telahpun menguasai Beirut Barat sepenuhnya, termasuklah kem pelarian di Sabra dan di Shatila. Pada peringkat ini, pihak Washington semestinya sudah nampak muslihat Israel.

Lawrence Eagleburger, Setiausaha Rendah Negara Amerika Syarikat, memberitahu duta Israel, Moshe Arens, bahawa “kami dipandang oleh sesetengah pihak sebagai mangsa penipuan yang disengajakan oleh Israel.” Eagleburger telah mendesak agar askar-askar Israel segera berundur dari Beirut Barat. Tetapi Israel enggan berganjak. Sharon, selaku Menteri Pertahanan, memberitahu Draper bahawa terdapat seramai “2,000-3,000 pengganas yang masih berada” di Sabra dan di Shatila. Rencana di dalam akhbar The New York Times menggambarkan Draper sebagai “terkejut” apabila diberitahu bahawa Sharon sedang merancang untuk menghantar anggota militia Phalange yang zalim itu ke kawasan berkenaan. Ketua Turus tentera Israel, Rafael Eitan, memberitahu rakyat Amerika mengenai kebimbangannya bahawa “suatu pembunuhan yang tidak terbatas” akan berlaku sebaik sahaja puak Phalangist dibenarkan memasuki Beirut Barat.

Desakan Draper mengenai pengunduran Israel terus dibantah oleh Sharon, yang pada ketika itu amat sedar bahawa pembunuhan beramai-ramai di Sabra dan di Shatila telah pun bermula. Sharon telah meyakinkan Draper bahawa perkara yang melampaui batas tidak akan berlaku, sebaliknya memanipulasi berita bahawa pembunuhan “pengganas” akan “menguntungkan” mereka. Sejarah memaparkan pihak Amerika telah membiarkan Sharon membuat kata putus. Puak Phalangist dan tentera Israel dibenarkan meneruskan pembunuhan di Sabra dan di Shatila tanpa dihalang selama tiga hari dan tiga malam.

Presiden Ronald Reagan menunggu sehingga 18 September untuk mengeluarkan kenyataan yang melahirkan “rasa jijik dan marah mengenai pembunuhan” tersebut. Beliau berkata bahawa Amerika Syarikat menentang pendudukan Israel di Beirut Barat kerana “percaya bahawa itu salah segi prinsip dan bimbang bahawa perbuatan itu akan mencetuskan pertempuran selanjutnya”. Setiausaha Kerajaannya, George P. Schultz, menegaskan Amerika Syarikat menanggung “sebahagian tanggungjawab” terhadap pembunuhan tersebut “kerana kami mempercayai kata-kata Israel dan Lebanon.” Sejak itu, pentadbiran Amerika Syarikat semakin diperbodohkan dengan hal-hal yang berkaitan dengan komitmen dan janji pihak Israel.

Peristiwa Sabra dan Shatila merupakan salah satu kemuncak kezaliman Israel yang tidak dilupakan masyarakat dunia. Semenjak itu, Israel terus melakukan banyak lagi kekejaman. Dengan terjadinya serangan terbaru terhadap Gaza, tahun 2014 ini sahaja menyaksikan lebih dari 1,500 orang terbunuh lantas mengulangi memori pedih Sabra dan Shatila. Kini, pentadbiran Barack Obama ditekan lobi Yahudi yang menguasainya lantas membuatkan ramai pemerhati dan penganalisis merasakan bahawa peristiwa terbaru ini menandakan Israel sekali lagi berjaya mengemudikan dasar luar Amerika ke arah manfaatnya.

Dengan berlatar belakangkan hakikat tersebut, tidak hairan mengapa hanya sebilangan kecil sumber media Barat yang mengambil kisah untuk memperingati ulang tahun ke-32 pembunuhan beramai-ramai di Sabra dan Shatila, sementara masyarakat dunia terus dilumpuhkan dengan penipuan Israel, yang dibiarkan bermaharajalela menguasai dunia dengan keganasannya.

AZRIL MOHD AMIN ialah seorang peguam dan Pengarah Eksekutif, Pusat Penyelidikan dan Advokasi Hak Asasi Manusia (CENTHRA).