Setiap kali pengumuman tarikh 1 Zulhijjah di Malaysia berbeza dengan di Arab Saudi maka kita akan dapati terdapat sedikit kekeliruan di kalangan umat Islam di Tanah Air kita untuk mengerjakan ibadat puasa sunat hari Arafah.

Pada tahun ini kita sekali lagi mengalami perbezaan ini maka timbullah pendapat sesetengah pihak yang ingin mengikut taqwim Hijrah kerajaan Arab Saudi untuk melakukan puasa sunat 9 Zulhijjah tersebut pada 3hb Oktober 2014 (Jumaat) kerana jemaah haji akan berkumpul di Arafah pada hari tersebut. Mereka ini tidak akan mengikut puasa sunat 9 Zulhijjah yang jatuh pada 4 Oktober (Sabtu) untuk Malaysia.

Kenapa perlu timbul kekeliruan ini?

international datelineIni kerana kita terpengaruh dengan kaedah taqwim suria yang menentukan tarikh untuk kalendar Masehi beserta dengan penetapan Garisan Tarikh Antarabangsa (International Date Line) yang disepakati seluruh dunia yang mengguna kedudukan London (atau lebih tepat bandar Greenwich) sebagai pusat dunia (ketika penjajah British menguasai dunia).

Dengan berdasarkan persetujuan ini maka, seluruh dunia mengira bermula hari baru berdasarkan pergerakan matahari dan garisan maya di tengah lautan Pasifik (garisan ini tidak lurus pun! – jangan kita mudah tertipu lakaran mereka) jadi pemisah antara hari ini dan semalam.

Bagi umat Islam, taqwim kita berdasarkan pergerakan bulan bukannya suria.

Maka pertukaran tarikh dan bulan bagi kita ialah bermula dengan terbitnya anak bulan yang baru sebagai permulaan tarikh baru untuk satu-satu bulan dalam taqwim Hijrah.

Saya bukan seorang pakar bidang falaq, tetapi dengan sedikit ilmu asas yang kita pelajari untuk memahami tarikh penentuan puasa sepatutnya sudah cukup untuk kita faham perbezaan penentuan tarikh dalam taqwin Hijrah berbanding dengan taqwin Masehi.

Kita perlu tahu terbitnya anak bulan di kawasan-kawasan di muka bumi ini tidak mengikut garis lurus dari atas ke bawah pada peta dunia. Jika anak bulan baru terbit untuk Malaysia pada hari ini, pada logik peredaran bumi dan pergerakan bulan (dengan jarak Arab Saudi dengan kita) maka Arab Saudi akan juga menuruti Malaysia untuk mulakan tarikh baru untuk bulan Hijrah pada hari sama.

Tetapi jika waktu maghrib telah melepasi Malaysia dan anak bulan tidak juga terbit, dan katakan terbitnya bermula dari Sri Lanka, maka Sri Lanka dan kawasan seterusnya selepas ini akan memulakan hari pertama mereka pada hari itu tetapi tidak untuk Malaysia. Malaysia akan memulakan tarikh pertama bulan baru Hijrah pada keesokkannya jika kita banding berdasar taqwim Masehi.

Tetapi sebenarnya, tarikh pertama bulan baru Hijrah kita adalah pada tarikh yang kita nampak anak bulan (atau mengikut perkiraan falaq) bukan kita kira tarikh mengikut kiraan berdasarkan penetapan tarikh mengikut Garisan Tarikh Antarbangsa – International Date Line) itu.

Kita lupa akan tamaddun keilmuan kita mempunyai asas yang berbeza. Jangan kita letakkan kotak pemikiran kita berdasar penetapan “barat” dalam penentuan hari dan tarikh.

Untuk itu, bersesuaian sekali kita puasa sunat Arafah pada 9 Zulhijjah mengikut ketetapan tarikh yang dipersetujui oleh pemegang mohor Raja-raja – iaitu hari Raya Haji jatuh pada 5 Oktober, Ahad dan kita puasa pada hari Sabtu, 4 Oktober.

Wallahu a’lam