You are currently browsing the daily archive for 14 November, 2014.
Semenjak pengurusan baru The Malay Mail mengambil alih penerbit akhbar tabloid yang pernah pupus sebentar, TMM dilihat semakin lantang menyerang Islam. Cara penglaporan beritanya banyak membawa unsur-unsur jahat yang cuba memberi gambaran buruk terhadap Islam, umatnya dan agensi-agensi agama di Tanah Air ini.
Terbaru, hari ini, mereka mengatakan bahawa teks khutbah JAKIM mengsasarkan kepada pergerakan LGBT. Walhal tajuk khutbah hari ini adalah murni sekali “Cabaran Pembentukan Keluarga Abad Milenium“.
Teks yang baik itu menyebut antara cabaran mendidik keluarga pada zaman sekarang ini ialah pengaruh dari “perkembangan amalan LGBT” sambil memberi peringatan tentang “malapetaka serta azab Allah SWT” … “yang berlaku kepada penduduk Negeri Sadom dan Ammurah.”
Kenapakah JAKIM dan agensi-agensi agama sentiasa disasarkan oleh akhbar murahan seperti TMM, TMI dan MKini? Mengapa akhbar-akhbar ini gemar memburukkan Islam, umatnya dan agensi-agensi Islam dalam penglaporan mereka? Hanya dengan menyebut peringatan Allah tentang ancaman bala, TMM telah memburukkan JAKIM dan teks khutbahnya sebagai mengsasarkan kepada pergerakan seks songsang itu.
Di dalam teks khutbah tersebut, LGBT hanya disebut sekali. Sadom dan Ammurah juga disebut sekali sahaja. Sudah cukup untuk TMM menuduh sedemikian.
TMM kemudian seolah-olah mempromosikan LGBT dengan mengatakan “Homosexuality in itself is not a crime in Malaysia”. Tidakkah mereka faham dengan beberapa penal code dan enakmen jenayah syariah yang sedia ada berhubung larangan-larangan berkaitan hubungan terlarang homeseksual? Jika tidak menjadi suatu jenayah masakan pula COMANGO membawa tuntutan untuk orang meliwat hingga ke Geneva? (baca juga: Anda MESTI TAHU Ancaman COMANGO)
Apakah AGENDA BESAR mereka? Mereka semua dilihat senada dengan pemimpin seumur hidup DAP, Lim Kit Siang apabila pada awal tahun ini turut mengsasarkan JAKIM dan teks khutbahnya kerana mengingatkan kepada umat Islam ayat 120 surah Al Baqarah. Begitu JAHATnya pemimpin DAP ini apabila dengan sombong mempertikaikan kita saling beringat dengan firman Allah S.W.T.
Sukar untuk saya fahami jika masih ada orang Islam yang mendewakan orang-orang yang bersikap begini.
*************
Teks Khutbah yang dibaca:
“Cabaran Pembentukan Keluarga Abad Milenium”
(14 NOVEMBER 2014/ 20 MUHARRAM 1436H)
Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Saya berpesan kepada diri saya dan sidang Jumaat serta umat Islam yang dikasihi sekalian. Berdasarkan peningkatan pengaruh budaya asing dan perubahan sosio-ekonomi yang pesat di negara ini, marilah kita sama-sama berusaha meningkatkan ketaqwaan kepada Allah SWT, tambahilah rasa gerun dan takut kamu kepada Allah dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Mudah-mudahan sifat ketaqwaan itu mampu menentukan hala tuju pembentukan masa depan keluarga kita agar sentiasa selari dengan tuntutan ajaran Islam dan beroleh kebahagiaan di dunia dan juga di akhirat. Tajuk khutbah yang akan dibicarakan pada hari ini ialah: “CABARAN PEMBENTUKAN KELUARGA ABAD MILENIUM”.
Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Halatuju pembentukan keluarga masa kini dan masa depan bergantung sepenuhnya kepada rukun hidup yang ditetapkan ibubapa dan dasar negara. Sebagai unit asas dalam masyarakat, maka keluarga adalah tenaga yang sentiasa bergerak melingkari masyarakat dan negara. Semakin kuat pergerakan ahli keluarga, maka semakin bertenaga masyarakat dan negara. Persoalan besar timbul ialah ke arah mana hala tuju gerakan keluarga itu?. Berdasarkan pemerhatian mimbar dan kajian-kajian yang dibuat ternyata pengaruh globalisasi masa kini telah mengubah corak dan nilai pegangan kehidupan keluarga.
Mimbar Jumaat hari ini menarik perhatian para jemaah sekalian berdasarkan beberapa pemerhatian pegangan nilai kehidupan atau pegangan hidup keluarga semakin berubah. Antara perubahan nilai yang ketara ialah keasingan dalam hidup kekeluargaan, ibu bapa semakin sibuk bekerja, masa ibu bapa bersama anak-anak semakin berkurangan, ruang masa yang berkualiti dihabiskan dengan melayari dunia komunikasi tanpa sempadan seperti internet, facebook, whatapps dan sebagainya sehingga mengabaikan hubungan kemesraan sesama keluarga. Begitu juga dengan peningkatan jumlah anak-anak dijaga oleh pembantu rumah atau pusat-pusat asuhan dan jangka hayat semakin menurun kerana kualiti kesihatan.
Pembangunan sosio-ekonomi yang pesat dan pengaruh budaya asing telah menjadi punca perubahan pegangan nilai hidup yang membawa kepincangan dalam kehidupan keluarga. Kepincangan yang berlaku dalam keluarga antaranya berpunca daripada sebab seperti kekurangan kasih sayang dalam keluarga, keganasan rumah tangga, peningkatan kadar perceraian, penderaan kanak-kanak, pengabaian kepada warga emas, sumbang mahram, kejahilan, bersekudukan tanpa nikah, peningkatan kelahiran anak luar nikah dan peningkatan kadar perceraian. Manakala isu-isu gejala sosial yang berlaku dalam masyarakat pada masa ini adalah sebahagian daripada perubahan pegangan nilai-nilai dalam kehidupan.
Begitu juga kita dapati usaha-usaha terancang pihak-pihak tertentu bertujuan untuk mencabar dan menggugat nilai etika keluarga Islam semakin giat dan menular dengan hebat. Ketika ini kita dikejutkan dengan isu kecelaruan identiti gender yang sebenarnya boleh membawa kepada perkembangan amalan LGBT. Gerakan seumpama ini pada dasarnya merupakan manifestasi ideologi humanisme sekular yang sekarang ini bergerak pantas didokong oleh arus pemikiran liberalisme atau budaya kebebasan secara melampau tanpa menghiraukan kepentingan umum dan ketetapan syariat Allah SWT.
Mimbar ingin menegaskan bahawa kecelaruan identiti sebenarnya akan mencemarkan imej Islam itu sendiri dan boleh mendatangkan malapetaka serta azab Allah SWT. Renungilah apa yang berlaku kepada penduduk Negeri Sadom dan Ammurah, dua negeri di pinggir laut mati yang terletak di Negara Jordan, yang penuh perbuatan yang terpesong dari fitrah manusia, akibatnya mereka ini dimusnahkan oleh Allah SWT. Fikirkanlah..adakah kita mahu bala bencana dan malapetaka menimpa kita pula disebabkan oleh gagalnya kita mempertahankan syariat islam? Janganlah disebabkan oleh nafsu dan kepentingan peribadi, kita sanggup menggadaikan agama dan akidah. Ingatlah bahawa Rasulullah SAW pernah berpesan dalam hadithnya yang bermaksud: Rasulullah SAW telah melaknat orang lelaki yang menyerupai perempuan dan orang perempuan yang menyerupai lelaki (Hadith Riwayat Ibn Abbas)
Mimbar yang mulia ini merasa bimbang dengan pengaruh budaya asing dan gaya hidup barat yang boleh mencemarkan imej Islam dan memberi kesan kepada pegangan akidah. Berdasarkan perubahan nilai hidup yang ketara ini, maka mimbar ingin mengingatkan jemaah sekalian tentang peringatan Allah SWT dalam Surah at-Tahrim ayat 6:
Maksudnya: “Wahai orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari api neraka yang bahan bakarannya manusia dan batu; penjaganya malaikat-malaikat yang keras kasar; tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkan-Nya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan.”
Menurut Tafsir at-Tabari, pemimpin keluarga hendaklah menjaga, membantu ahli keluarga dan memerintahkan mereka berbuat taat kepada Allah SWT serta mencegah mereka dari melakukan maksiat. Wahai ibubapa sekalian..tariklah nafas kesedaran dan bertanyalah kepada diri sendiri saat ini. Berapa ramaikah antara kita yang telah mendidik anaknya untuk mengenal Allah swt dan menta’ati hukum hukumNya? Berapa ramaikah antara kita yang telah mendidik anaknya erti tanggungawab untuk menjaga, memelihara dan mempertahankan kesucian agama islam? Adakah telah kita laksanakan tanggungjawab ini? Jawablah tuan-tuan, jawablah di dalam hati anda sekarang dan bersedialah untuk menjawabnya di hadapan Allah kelak.
Beberapa ahli tafsir lain pula menyatakan adalah menjadi kewajipan setiap muslim mengajar keluarganya tentang apa yang diwajibkan oleh Allah SWT dan apa yang dilarang. Rasulullah SAW bersabda:
Mafhumnya: “Setiap anak yang dilahirkan adalah berkeadaan fitrah( suci) tetapi ibubapa nyalah yang menentukan anak itu Majusi, Yahudi atau Nasrani.” (Riwayat Ahmad).
Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Bagi membentuk anak-anak menjadi insan cemerlang, ibu bapa hendaklah juga terdiri daripada manusia yang cemerlang. Bagaimana mungkin ibubapa yang derhaka, rumahtangga yang porak peranda, dapat membentuk keluarga yang sejahtera. Pendidikan dan asuhan yang diberikan oleh ibu bapa adalah asas untuk anak-anak bertapak apabila mereka dewasa kelak. Ibubapa diibaratkan sebagai cerminan yang mudah dijadikan tontonan oleh anak-anaknya. Oleh itu dalam mendidik anak-anak supaya beriman kepada Allah dan berakhlak mulia, ibubapa juga hendaklah terlebih dahulu memiliki sifat yang mulia ini. Contoh yang baik dari ibubapa akan menjadi ikutan kepada anak-anak begitu jugalah sebaliknya. Ingatlah bahawa kejahilan kita dalam beragama boleh membawa kita kepada kefasadan dan kehancuran hidup dunia dan akhirat.
Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Pembentukan keluarga Islam pada abad ini, abad mendatang atau abad milenium amat mencabar bagi setiap ibu-bapa. Apakah keluarga Islam yang ada pada hari ini boleh bertahan atau terus hanyut diserang badai globalisasi yang berterusan menyerang merosakkan nilai-nilai kehidupan keluarga. Kerukunan rumah tangga yang lemah dan kepimpinan keluarga yang longgar sudah pasti akan tumpas dalam menghadapi cabaran perubahan nilai global yang mengubah kehidupan keluarga.
Sesungguhnya institusi keluarga adalah satu institusi penting dalam keseluruhan kerangka pembinaan dan kelangsungan ummah. Umat Islam akan berdepan dengan satu masalah besar seandainya institusi penting ini tidak dikawal dan dijaga dengan baik. Kehancuran institusi ini bermakna kehancuran ummah itu sendiri kerana daripada institusi inilah munculnya kalangan ummah di tengah masyarakat.
Dalam usaha mengukuhkan institusi keluarga, mimbar menasihatkan marilah sama-sama kita memberikan pendidikan yang sempurna kepada anak-anak kita, demi melihat generasi yang terbaik di masa hadapan. Korbankanlah sedikit masa sekurang-kurangnya sekali dalam seminggu mengadakan majlis-majlis ilmu di rumah, berikan kasih sayang dan tunjukkanlah contoh yang terbaik kepada mereka serta mengambil tahu hal-hal yang berkaitan dengan kehidupan anak-anak seperti dengan siapa mereka berkawan, kemana mereka pergi, jam berapa mereka keluar dan kembali ke rumah dan sebagainya. Ini semua membuktikan kita telah melaksanakan amanah Allah SWT terhadap anak-anak dengan baik dan sempurna.
Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Bersempena dengan program sambutan BULAN KELUARGA KEBANGSAAN I MALAYSIA pada 16 November ini, mimbar ingin merumuskan tentang isu yang dibincang bahawa: Pertama: Ibubapa perlu memperkukuhkan dan melengkapkan pendidikan agama bagi menghadapi cabaran abad yang mendatang, kedua: Memperuntukkan masa-masa tertentu bersama ahli keluarga menghadiri majlis-majlis ilmu, ketiga: Perubahan nilai dan penghayatan jatidiri yang dipengaruhi budaya asing akan merendahkan harga diri ahli keluarga, dan keempat: Hindarilah perbuatan dan tingkah laku berdosa sama ada ibu, bapa dan anak-anak kerana perbuatan sedemikian boleh menjejaskan koharmonian dan kesejahteraan keluarga. Mengakhiri khutbah hari ini, marilah sama-sama kita merenung firman Allah SWT dalam surah al-Furqan ayat 74:
Maksudnya: “Dan juga mereka yang berdoa dengan berkata: Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang yang (mahu).”
Recent Comments