25melayu ternamaTerkisah kini suara 25 orang Melayu “ternama” (kata mereka) kini sudah bertambah menjadi 36 selepas ditambah 11 lagi nama. 25 orang Melayu ini menyuarakan kebimbangan mereka terhadap usaha-usaha untuk membela Agama Islam dan bangsa Melayu di bumi bertuah Tanah Melayu ini.

Aneh. Sungguh aneh. Bagaikan orang yang sudah kenyang makan “berjeluk” baru hendak merungut kuahnya masin dan sayurnya digoreng terlalu masak. Tidak kiralah kuahnya masin atau sayurnya terlalu masak – dia sudahpun kenyang.

Kalaulah kerana kuahnya masin dia tidak makan dan masih kebulur layaklah untuk dia merungut. Kalaulah dia masih berlapar itu lainlah ceritanya. Inikan mereka semua itu sudah hidup senang lenang. Sepatutnya berusaha untuk menambahkan kekuatan lagi untuk orang-orang bangsa mereka yang masih jauh tertinggal berbanding dengan bangsa yang datang ke Tanah Melayu.

Mereka sewajibnya menyokong usaha-usaha untuk membawa masyrakat itu lebih dekat kepada Allah. Di usia yang kubur sudah panggil datang, bukan masanya untuk masih mempermainkan hukum-hukum Allah.

Sudah senang lenang dan kaya raya atas dasar-dasar negara kita yang telah memberi kelebihan untuk mereka atas orang lain maka barulah mereka hendak merungut – itu ertinya suara orang yang tidak bersyukur. Syukur nikmat Allah berikan kepada mereka.

p.s.

Bagi yang tidak faham bahasa sindir … bila kuah masin dan sayur terlalu masak – itu gambaran terhadap ekstremisme. Ekstremisme yang dituduh mereka. Ada orang suka masin. Ada orang suka sayur dimasak lembik. Yang tidak boleh makan masin itu kerana mereka ada SAKIT. Mungkin sakit jiwa (ruh i.e. ruh Melayu dan ruh Islam) dalam hal ini.

Saya kongsikan tulisan Ku Seman Ku Hussain dalam Utusan Melayu yang disiarkan pada minggu lepas.

Suara 25 Melayu ternama selepas ‘kekenyangan’

Sebenarnya tidak ada apa yang luar biasa dalam surat terbuka 25 Melayu ternama kepada kerajaan yang mencetuskan kontroversi baru-baru ini. Tetapi menjadi luar biasa apabila ditulis oleh 25 bekas pegawai tinggi Melayu yang pernah berkhidmat dalam perkhidmatan awam sebagai duta, ketua setiausaha, ketua jabatan, hakim dan sebagainya.

Saya juga tidak menganggap tindakan mempertikai undang-undang Islam, Akta Hasutan dan luahan kebimbangan kononnya negara ini dikuasai ekstremis boleh disamakan dengan tindakan Hang Jebat yang bangun menuntut keadilan. Mereka bukan Hang Jebat, mereka oportunis macam Hang Tuah yang tersihir dengan pangkat dan imbuhan.

Mereka ini hidup mewah sebagai pegawai tinggi kerajaan. Semasa mereka kekenyangan dengan pelbagai imbuhan mereka tidak bersuara untuk menegakkan keadilan. Kenapa tiba-tiba hendak menjadi wira memperjuangkan itu dan ini yang dilihat tidak betul pada hal dulunya semua betul? Selepas tiada jawatan barulah berani bersuara, itupun kerana gaya hidup mungkin terancam dengan undang-undang Islam yang sedia ada. Yang dikesalkan tindakan mereka ini boleh dipergunakan oleh menyokong gerakan ekstremis yang berselindung di sebalik kesederhanaan.

Kita tahu siapa yang berada di belakang mereka yang mengaut populariti dengan menonjolkan perjuang kesederhanaan. Tetapi tahukan mereka tindakan itu berat sebelah dan menggores hati orang Melayu Islam yang semakin terhimpit?

Daripada surat terbuka itu, 25 Melayu ini memperlihatkan sokongan penggerak liberal dan sekular NGO yang bertenggek di atas nama Islam iaitu Sisters In Islam (SIS). Mereka juga menjadikan isu lelaki yang berpakaian wanita yang dihukum oleh sebuah Mahkamah Syariah di Negeri Sembilan sebagai hujah pelanggaran hak asasi manusia.

Daripada ini mudahlah untuk kita untuk membaca aliran pemikiran mereka. Ada yang bertanya, adakah kerana mereka terancam lalu mempertikai undang-undang Islam negara ini? Saya tidak ada jawapan untuk soalan itu. Tetapi bagi saya mereka tidak bahaya, pengaruh mereka pula bukanlah sebesar mana. Berilah kebebasan kepada mereka untuk bersuara.

Mereka menuntut supaya undang-undang jenayah syariah negara ini dinilai semula. Hujahnya, undang-undang berkenaan telah mengkanunkan pelbagai “dosa peribadi” sebagai jenayah. Sekali lagi ‘dosa peribadi’. Barangkali ada yang pertama kali mendengar istilah ‘dosa peribadi.’ Menurut mereka, ini telah membawa kepada kekeliruan dan percanggahan dari aspek substantif serta pelaksanaan. Undang-undang ini dianggap bercanggah dengan prinsip perundangan Islam dan melanggar kebebasan hak asasi manusia serta menceroboh kehidupan peribadi rakyat pelbagai kaum dan agama di negara ini.

Dosa peribadi

Maksudnya undang-undang syariah kita tidak boleh mengambil tindakan ke atas individu yang melakukan ‘dosa peribadi’. Tidak pula diterangkan apa itu ‘dosa peribadi’ tetapi mungkin boleh difahami sebagai dosa yang tidak melibatkan orang lain seperti minum arak, berzina, berjudi malah rasuah kerana ada persetujuan antara pemberi dan penerima.

Mereka ini sebenarnya lebih kepada pejuang hak asasi daripada pejuang menegakkan syiar Islam. Dalam prinsip hak asasi, setiap individu boleh membuat apa sahaja termasuk berbogel sekalipun di depan khalayak. Sebab itu adalah kebebasan hak asasi. Maka tidak hairanlah kalau mereka membela lelaki yang berpakaian wanita kerana ‘hak asasi’ lelaki itu, kononnya telah dicabul oleh penguat kuasa agama Islam negara ini.

Pihak berkuasa agama Islam pula dilihat sentiasa melanggar prinsip ‘hak asasi’ orang Islam yang melakukan ‘dosa peribadi’.Tetapi yang menimbulkan persoalan, 25 Melayu ini tidak menyambut pelawaan Jakim untuk berbincang mengenai undang-undang Islam. Adakah Ketua Pengarah Jakim atau pegawai-pegawainya tidak setaraf dengan 25 Melayu ini? Jawatan mereka semasa dalam kerajaan tentulah lebih tinggi daripada Ketua Pengarah Jakim. Saya fikir eloklah bertemu Jakim walaupun tidak setaraf. Tujuannya kalau ada perkara yang Jakim tidak arif tentang undang-undang Islam mereka boleh membetulkannya. Tidak hilang bisa ular yang menyusur akar. Itupun kalau ada bisa.

Mereka juga membangkitkan kebimbangan mengenai keputusan kerajaan mengekalkan Akta Hasutan 1948 yang dianggap sebagai alat untuk menggertak dan membisukan pihak yang mempunyai pandangan yang berbeza. Tetapi sudah terbukti pandangan mereka mengenai undang-undang Islam jauh berbeza, bagaimanapun kerajaan masih tidak mengambil sebarang tindakan. Ini dengan sendiri menjawab bahawa kerajaan meraikan perbezaan pandangan tetapi perlulah ada sempadannya. Hal agama biarlah yang arif sahaja berbeza pandangan.

Ada pihak yang sealiran dengan 25 Melayu ternama ini menganggap tindakan menulis surat terbuka itu untuk menyelamatkan negara daripada dikuasai oleh ekstremis seperti yang terjadi di negara Pakistan dan Afghanistan. Siapa ekstremis? Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Ibrahim Ali atau Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA)? Gambaran ini tidak lebih sebagai pelengkap untuk menunjukkan mereka memperjuangkan kesederhanaan dan kita tahu siapa yang menggelarkan Ibrahim Ali ekstremis.

Yang ditekankan dalam surat terbuka ini ialah kewujudan ekstremis Melayu Islam yang sewenang-wenang melabelkan pihak lain sebagai anti Melayu dan anti Islam. Pihak berkuasa agama Islam pula dikritik kerana mengeluarkan fatwa yang disifatkan bercanggah dengan Perlembagaan dan tidak menepati proses demokratik. Tetapi hanya ekstremis Melayu Islam sahajakah? Di mana ekstremis bukan Melayu dan bukan Islam? Saya melihat surat ini berat sebelah dan tindakan melampau sesetengah pihak bukan Melayu mencabar Perlembagaan dan agama Islam tidak dimasukkan dalam surat ini.

Sebenarnya aliran pemikiran 25 Melayu tidak jauh beza dengan gerakan ekstremis yang bertopengkan kesederhanaan. Gerakan ini ditaja dan disokong oleh sebuah akhbar bahasa Inggeris. Buktinya mereka tidak sedikit pun mempertikaikan pertubuhan haram Hindu, Hindraf dan pertubuhan Cina, Dong Zong. Saya melihat kumpulan 25 Melayu ternama ini telah dipergunakan untuk memperlahankan kebangkitan Melayu dan Islam negara ini. Pihak yang merasa terancam menggunakan Melayu Islam untuk melemahkan Melayu Islam.

Sumber: Utusan – http://m.utusan.com.my/rencana/suara-25-melayu-ternama-selepas-kekenyangan-1.41683