Kupasan yang amat baik berhubung isu K-Pop dari Bangkit.info:

Sebelum generasi Woodstock dan babyboomers di tahun 1960-an, untuk mencabul anak-anak gadis mana-mana negara, ia memerlukan beberapa batalion tentera, aset-aset ketenteraan serta gerakan penjajahan melibatkan pertumpahan darah yang amat dahsyat. Kerap kalinya wanitalah yang menjadi mangsa di dalam peperangan. Berapa ramai yang telah dijadikan hamba pemuas nafsu golongan yang tentera yang menjajah. Mereka tidak mampu melawan kerana saat itu nyawa mereka bagai terletak dihujung tanduk.

Maruah Seorang Muslimah, Rasulullah s.a.w. dan Perang Bani Qainuqa

Kita juga masih ingat dan diperingatkan bagaimana maruah seorang wanita muslimah dipelihara dan dijaga oleh umat Islam secara keseluruhannya pada zaman Rasulullah s.a.w. Perang Bani Qainuqa tercetus apabila tindakan beberapa pencabul Yahudi berkelakuan biadab mencabul kehormatan seorang wanita muslimah dengan menyelak tudungnya di hadapan khalayak ramai. Seorang pemuda Islam bingkas bangun mempertahankan maruah wanita tersebut tanpa sebarang rasa takut. Beliau lantas menyerang lelaki Yahudi biadab yang mencabul kehormatan wanita tersebut. Terkejut dengan tindakan berani pemuda itu, Yahudi-Yahudi selainnya menyerang kembali pemuda tersebut dan beliau syahid di pasar itu. Berita tersebut lantas sampai telinga Rasulullah s.a.w.

Lantas Rasulullah mempersiapkan pasukan perang, melantik Hamzah bin Abdul Mutalib r.a. sebagai Panglima dan mengerahkan pasukan tersebut mengepung perkampungan Bani Qainuqa. Takut melihat kemarahan umat Islam dengan kehadiran bala tentera yang mengepung mereka, pihak Yahudi menghantar pihak untuk merayu kepada Rasulullah s.a.w. supaya hukuman keras tidak dikenakan ke atas mereka. Bani Qainuqa kemudiannya dihalau dari perkampungan tersebut. Kaab bin al Asyraf, salah seorang Yahudi yang kuat pengaruhnya di situ telah dihukum bunuh. Yahudi-Yahudi Bani Qainuqa terkejut kerana melihat Rasulullah s.a.w. tidak menunjukkan rasa takut dan gentar malah terus mengarahkan hukuman tersebut dijalankan.

Diikat dengan Piagam Madinah, Yahudi tertakluk kepada undang-undang Yahudi. Undang-undang Yahudi yang dipungut dari kitab mereka dengan jelas menyatakan bahawa nyawa mesti dibalas dengan nyawa, darah mesti dibalas dengan darah. Bilamana mereka membunuh satu jiwa yang yang lain, maka jiwa yang membunuh itu juga haruslah dibunuh. Ia sama sepertimana prinsip undang-undang yang dikenali sebagai lex talionis. Kaab bin Asyraf kemudiannya dikenakan hukuman sesuai dengan tuntutan kitab mereka sendiri.

Maruah Seorang Muslimah, Khalifah Al Mutassim Dan Pasukan Perang Rom

Berlaku sebuah peristiwa di zaman Khalifah terakhir Bani Abassiyyah. Ketika itu, umat Islam dipimpin oleh Khalifah al Mu’tassim. Terjadi peristiwa, seorang muslimah telah ditangkap dan dipenjara oleh tentera Rom. Semasa dipenjara, auratnya telah disingkap dan dihinakan oleh tentera Rom. Beliau menyebut-nyebut nama khalifah tersebut mengharapkan pertolongan dari umat Islam. Berita penganiayaan tersebut, kemudiannya sampai kepada Khalifah al Mu’tasim.

Mendengar sahaja maruah seorang Muslimah diperlakukan sedemikian rupa, Khlaifah al Mu’tasim mengumpulkan bala tentera dan mengarahkan tenteranya bergerak dari kota Baghdad ke Kota Ammuriyah, sebuah daerah di Turki kini.

Perjalanan beribu batu untuk menebus maruah serta menyelamatkan muslimah tadi menyaksikan Kota Ammuriyyah di kepung selama lima bulan oleh tentera-tentera Islam. Berhasil mengalahkan kota tersebut, setelah hari kemenangan, Sultan sendiri mengambil usaha memasuki ke dalam kawasan penjara dan membebaskan muslimah tersebut. Walaupun pada ketika itu, keadaan serta kekuatan empayar kesultanan Abbasiyyah sedang diancam dari pelbagai musuh dan ancaman. Mereka juga tidak sekuat semasa di zaman kegemilangan mereka, tetapi itu tidak menghalang kepada Khalifah untuk bingkas bangun dan mengambil tindakan drastik dan perlu untuk membela maruah muslimah terbabit.

Kisah Asha Gill Dan WestLife

Asha Gill Semasa Menjadi Hos Rancangan Lonely Planet Six Degree

Kami juga masih ingat lagi dengan satu peristiwa yang berlaku tidak lama dahulu melibatkan seorang selebriti wanita tempatan bukan Islam bernama Asha Gill. beliau pernah menjadi hos rancangan Lonely Planet 6 Degree. Pencapaiannya membolehkannya dikenali sehingga peringkat antarabangsa.

Semasa muda remaja, kumpulan Westlife pernah menjemputnya ke Hong Kong untuk menjadi penari yang memegang watak utama kepada lagu Uptown Girl. pelawaan itu diterimanya dan mereka kemudiannya mengadakan persembahan di Hong Kong.

Semasa sedang teruja dengan tarian dan persembahan, salah seorang anggota kumpulan Westlife, Brian McFadden, kemudiannya menarik dan menyingkap skirt yang dipakai oleh Asha Gill. Marah dengan perbuatan mencemar maruahnya dihadapan ribuan penonton, Asha Gill, walaupun masih muda remaja, membalas perbuatan tersebut dengan satu tamparan yang kuat ke wajah McFadden dihadapan ribuan penonton.

Bukan semua wanita boleh diperlakukan sewenang-wenangnya oleh sesiapa sahaja terutamanya golongan artis. beliau melakukan tindakan yang betul mempertahankan maruahnya daripada diperlakukan sedemikian oleh artis terbabit. Beliau bangkit sendiri mempertahankan dirinya.

Tetapi, semua kisah di atas melibatkan golongan wanita yang pentingkan maruah diri mereka terjaga dan terpelihara.

Maruah Melayu Berpakaian Muslimah Peminat K-Pop, Kepimpinan Sotong dan Tiada Apa-Apa Berlaku

Telah viral sebuah video menyaksikan anak-anak gadis Melayu yang bertudung dan menutup aurat, satu persatu dipilih dan dijemput naik ke atas pentas untuk dipeluk, dicium dan diperlakukan seperti tiada maruah oleh sekumpulan lelaki K-Pop dari Korea.

Apa mereka ingat ini negara orang utan tanpa ada undang-undang dan tanpa ada maruah dan kehormatan tertentu yang dipegang oleh majoriti rakyatnya?

Islam ialah Agama Negara. Setiap perlakuan yang meletakkan imej dan maruah Islam dalam keadaan mengaibkan serta mencemarkan maruah, merupakan satu tindakan yang boleh dianggap sebagai meludah kepada kehormatan negara.

Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan menyatakan dengan jelas bahawa Agama bagi Persekutuan ini ialah Agama Islam.

Ramai manusia pendek akal kemudiannya berhujah, biarkanlah mereka itu, bukankah mereka merelakan diri diperlakukan sedemikian rupa? Ya benar, mereka-mereka itu merelakan diri mereka diperlakukan sedemikian rupa. Tetapi, apakah majority rakyat Malaysia yang beragama Islam merelakan imej agama mereka yang sedang dibawa oleh anak-anak gadis tersebut melalui cara berpakaian mereka dipotretkan sedemikian rupa murah, mudah dan boleh diperlakukan begitu sahaja oleh sesiapa sahaja? Jawapannya tentu tidak sama sekali.

Anak-anak gadis itu, sedang membawa bersama mereka imej agama yang mereka anuti. Buruk akhlak mereka, maka buruklah persepsi manusia-manusia di luar sana terhadap agama mereka. Baik akhlak mereka, maka baiklah persepsi dan tanggapan masyarakat mengenai apa agama yang mereka anuti.

Lebih menarik, Agama anutan mereka ialah agama bagi Persekutuan ini.

Kemudian datang pula sekumpulan manusia bajet bagus dengan modus operandi red herring melontarkan komen-komen bahawa isteri-isteri sesetengah pemimpin pun memeluk artis di atas pentas. Artis Melayu pun berpeluk sakan di atas dan di bawah pentas. Drama-drama Melayu pun berbuat perkara serupa. Jadi tak perlu bising bila semua ini berlaku. Komen-komen itu dibuat seolah-olah kita semua berdiam diri bila semua itu berlaku selama ini. Mungkin terlalu lama duduk di bawah tempurung sehinggakan apa yang pihak lain lakukan secara konsisten untuk menegur, tidak kira siapa pun pelakunya, tidak diketahuinya langsung. Lantas dengan rasa syok sendiri, golongan ini keluar membuat red herring dan menjauhkan isu terbaru ini daripada diberikan perhatian serius.

Apa yang berlaku di pentas K-Pop itu, dilihat mempunyai agenda-agenda tertentu yang mehu dicapai oleh sesetengah pihak.

Apabila, Tuan Haji A. Karim Omar menulis bahawa K-Pop itu membawa bersamanya agenda Evangelisasi Kristianisasi global dalam bentuk baru dan terselindung, keluar pula golongan yang mendekatinya dengan skeptik dan minda yang langsung tertutup.

Kami telah berhubung dengan Tuan Haji A. Karim Omar dan telah diperlihatkan bukti-bukti yang jelas menunjukkan apa yang dikatakannya itu benar-benar bersandarkan kepada bukti-bukti kukuh yang ada. Tunggu sahaja pendedahan selanjutnya yang bakal dibuat beliau tidak lama lagi.

Setelah teruk mencemarkan maruah Agama Persekutuan, penganjur K-Pop tersebut, hanya mengeluarkan permohonan maaf dengan kenyataan seolah melepaskan batok di tepi tangga.

Melihat kepada jadual kemasukan kumpulan K-Pop seterusnya, nampak gayanya entah berapa ramai lagi anak-anak gadis Melayu yang bakal dicabul dan dicemarkan maruah agama mereka sekiranya aktiviti ini tidak disekat selepas apa yang telah berlaku sebelum ini.

Dalam hal ini, penganjur mesti dipertanggungjawabkan. Ini kerana pihak mereka telah membiarkan sesuatu yang melanggar prinsip-prinsip Rukun Negara diperlakukan sedemikian rupa. Mana perginya rasa hormat kepada prinsip Kesopanan dan Kesusilaan yang ditekankan? Mana perginya rasa hormat ke atas Islam yang merupakan agama Persekutuan?

Selagi tiada tindakan dikenakan ke atas penganjur, maka selagi itulah maruah kita semua sebagai umat Islam seolah-olah sedang dipijak-pijak dan diludah-ludah di hadapan mata.

 

Mana dia pemimpin Islam, yang mewarisi negara ini melalui kuasa ketamadunan Islam sejak sekian lama, bangkit bangun mempertahankan maruah-maruah muslimah selain yang dicabul pencabul K-Pop itu sepertimana Rasulullah s.a.w. dan Al Mu’tasim? Kita tidak menuntut sampai perlunya berperang, cukup sekadar menjalankan peroses undang-undang sedia ada untuk memastikan pelanggar-pelanggar undang-undang diberikan keadilan proses undang-undang sepenuhnya.

Atau apakah kita kini sedang dipimpin pemerintah dengan barisan kabinet sotong dan kita sebagai pemuda-pemuda Muslim turut kesotongan kerana tidak mampu berbuat apa-apa meskipun maruah agama kita diperlakukan sedemikian rupa?

sumber: http://www.bangkit.info/2015/01/setelah-pencabul-k-pop-menghina-maruah.html

Advertisements