KUALA LUMPUR: Tarian sukan, Zumba dilihat antara faktor utama Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar gagal menjadi seorang pejuang Islam sejati.

ismail minaPresiden Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (Muafakat), Ismail Mina Ahmad berkata, promosi berlebihan terhadap tarian sukan itu disifatkan sebenarnya mendukacitakan banyak organisasi Islam negara.

“KJ (Khairy) tidak boleh menjadi pejuang Islam kerana menjahanamkan belia dengan Zumba.

“Tidak ada faedahnya membuat sesuatu yang bertentangan dengan Islam…kalau hendak bersenam, banyak lagi perkara yang boleh dibuat untuk mengeluarkan peluh.

“Tidak payahlah hendak Zumba Zumba ini, baca sejarahnya dan fahami misinya yang mahu menggugat kekuatan Islam di dunia sebelum mempraktikkannya,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Ismail mengulas sekali gus menyokong kenyataan Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Negara (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali yang menempelak empat pemimpin UMNO yang disifatkan tidak berani membela orang Melayu.

Empat pemimpin tersebut adalah Ketua Pemuda UMNO, Khairy, Ahli Parlimen Pulai Datuk Nur Jazlan Muhamad, bekas anggota majlis tertinggi UMNO, Datuk Saifuddin Abdullah dan Naib Ketua Pemuda UMNO, Khairul Azwan Harun.

Zumba merupakan tarian yang dicipta penari dari Colombia dan koreografer Alberto Beto Perez pada awal 90-an.

Ia merupakan tarian yang merangkumi elemen hip-hop, soca, samba, salsa, merenque dan mambo.

Sehingga kini, lebih 14 juta penduduk dunia mengikuti kelas mingguan Zumba yang diadakan di lebih 185 negara.

Dalam pada itu kata Ismail, Saifuddin yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Gerakan Kesederhanaan Global (GMM) turut dilihat seorang individu yang berkecenderungan untuk meliberalkan pemikiran orang Islam di negara ini.

“Kita maklum pergerakan GMM ini yang berjuang untuk meliberalkan fikiran orang Islam.

“Pandangan kami sangat kritikal terhadap Saifuddin, dia dan GMM tidak banyak membela Islam selain perkara itu juga sudah sedia maklum kepada semua,” ujarnya.

Ismail bagaimanapun tidak mengulas mengenai tempelak Ibrahim terhadap dua lagi individu iaitu Khairul Azwan dan Nur Jazlan.

“Mereka berdua saya tidak kenal sangat dan tidak perlu rasanya hendak diulas,” katanya.

Sebelum ini, Ismail di dalam sebuah portal dilaporkan berkata, umat Islam wajib menolak ideologi ekstremis kerana fahaman itu telah menyebabkan pengikutnya sesat daripada ajaran Islam yang sebenar.

Katanya, fahaman ekstremis atau radikal itu tidak boleh diterima kerana ajaran Islam yang sebenarnya adalah berpandukan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

sumber: Astro Awani | Kemas kini: Disember 15, 2014