fenomena bulan kaabahMengapa ramai dari kalangan kita terlalu mudah untuk percaya dan hantar mesej-mesej yang karut lagi tidak benar?

[BACA: Cerita-cerita Palsu Yang Ditularkan 2017]

Beberapa hari ini tersebar sekali lagi mesej sama yang pernah tersebar lama dahulu hinggakan statistik di blog saya tiba-tiba naik untuk sebuah kiriman yang telah saya tulis pada tahun 2011. Fenomena Kedudukan Bulan Di Atas Kaabah.

Dulu mesej yang tersebar itu menggunakan nama Dato Mazlan Astrologi (?), tetapi kini mereka kaitkan pula dengan nama Mufti Ismail Menk. Mesejnya di bawah ini:

Malam ini jam 3.25am waktu Mecca, bulan akan mengelilingi (Tawaaf) Kaaba, ini terjadi dalam 100,000 tahun sekali. Sky will be light blue, this ia a moment of acceptance and this moment comes after every 100 thousand years, you can ask Allah what ever you want to ask. Pls send this message to your love and friend. Rebut peluang yg datang sekali dlm 100,000 tahun,  mmg kita umat terpilih untuk berdoa pd waktu yg amat mustajab,
Rujuk video htt-p://youtu.be/hDDODs95xj0 powerful emotional Doa / mufti Ismail Menk

Waktu Mecca waktu Tahajud & waktu Malaysia esok jam 8.25 pagi waktu Dhu’ah.
Marilah kita rebut peluang keemasan ini bertahajud malam ini dan bersolat duh’ah esok meminta perkara positive didunia & akhirat utk kita & keluarga kita serta sahabat2 kita,..  Wuhallah’ualam

Saya pernah ulas tentang mesej seperti di atas sebelum ini dan saya salin di bawah kiriman ini jika perlu dirujuk. Namun saya ingin tambah sedikit lagi:

1. Saya bimbang dengan sikap kita yang tidak mengambil iktibar dari firman Allah S.W.T. untuk fatabayyanu dan fatathabbatu (Al Quran 49:6). Kedua-dua qiraat bacaan untuk ayat yang sama tersebut memberi peringatan yang sangat berguna terutama kepada kita yang berada di zaman fitnah hali-lintar mesej. Siasat dulu dan hati-hati dengan apa-apa berita yang diterima terutama mesej-mesej “ibadat ekspres” dan berbentuk “keajaiban yang mempersonakan”.

2. Tidak susah untuk kita periksa berita/mesej yang “menyeronokkan” seperti ini (juga mesej-mesej aneh pasal perubatan/penyebaran penyakit dan seumpamannya). Salin sebahagian ayat dari mesej tersebut – masukkan ke dalam carian google. Insha Allah jika mesej itu sudah sampai kepada anda – ianya telah tersebar juga di seluruh pelusuk bumi ini dan jika ianya palsu – akan ada orang yang sudah menjawabnya. Cubalah lain kali. Juga petuanya: mereka selalu kaitkan dengan “nama-nama besar atau berotoriti”.

3. Periksa dari sudut bahasa penulisan. Kadang-kadang itu sudah memberi gambaran yang cukup perihal pengirim asal mesej tersebut. Lihat di hujung mesej di atas … “Wuhallah’ualam“. Kalau ini pun sipengirim tak tahu hendak tulis – entah kenapa kita pergi percaya.

Semoga kita lebih berwaspada dan berhati-hati dan menyiasat dulu dengan mesej-mesej yang tidak kita ketahui sumbernya.

Kiriman yang saya tulis dahulu berhubung isu yang sama Fenomena Kedudukan Bulan Di Atas Kaabah (20 Ogos, 2011):

Sehari dua ini gempar dengan SMS yang diterima berhubung bahawa bulan akan berada tegak di atas Kaabah. Bertalu-talu SMS yang sama itu ber”tik-tik” bunyinya di telefon saya.

SMS tersebut berbunyi:

Drpd dato mazlan astrologi mlm ini pukul 3.25 pg di Mekah, semasa itu bulan akan tegak di atas Kaabah, ini akan menyebabkan pintu langit dibuka seluasnya. Langit akan mempunyai cahaya berwarna biru. Pada masa ini, Allah akan menerima doa hamba2 nya. Ini berlaku selepas 10 juta tahun. Tolong maklumkn pada semua org.
3.25 pg masa di Mekah. Di singapore akan m’jadi 8.25 pg. Sama juga di Barat Malaysia. Jadi, tunaikan lah solat sunat dhuha dan doa mohon taufiq hidayat umat.

Sekali baca saya terus menolak kesahihan SMS sebegini kerana memenuhi ciri-ciri satu “urban legend” (an entertaining story or piece of information of uncertain origin that is circulated as though true). Maka saya tidak memanjangkan mesej tersebut. Dan saya menjawab balik kesemua mesej yang saya terima bertalu itu.

Kenapa saya tolak mesej tersebut:

1. Siapa Dato Mazlan ini?

Yang disebut bahawa beliau ini seorang astrologi. Dalam bahasa lain astrologi juga dipanggil ahli nujum. Maka apakah hendak kita beribadat hasil tilikan orang nujum?

Jikalau yang dirujuk ini ialah Pengarah Agensi Angkasa Negara: Professor Datuk Dr Mazlan Othman, beliau adalah seorang astrophysicst dan jauh bidang kemahirannya.

2. Bila “malam ini” itu?

Malam ini yang mana satu? Saya menerima mesej sama pada hari-hari yang berbeza maka malam mana satu yang dimaksudkan?

3. “Ini berlaku selepas 10 juta tahun”

Yang ini pasti ianya suatu yang mustahil. Yang mudahnya, google sahaja “moon above kaabah” pasti akan ditemui pelbagai tarikh lain lagi bahawa fenomena ini berlaku kerapkali. Pada tahun ini sahaja ianya telah berlaku tidak kurang dari dua kali. Dan pada bulan November tahun lalu, pada minggu yang sama, fenomena kedudukan bulan tegak di atas Kaabah telah berlaku sebanyak dua kali.

4. Jika kita rujuk peta pergerakan bulan. [banyak laman sesawang yang boleh dirujuk seperti skymaponline atau moongiant], fenomena ini tidak mungkin berlaku pada bulan ini. Tetapi ianya hanya sekadar hampir dengan Mekah. Dan itu pun sekitar tarikh 24-25hb Ogos. Bukannya malam ini atau esok atau pun kelmarin/semalam.

Namun demikian jika kita ambil mesej sebegini untuk mempertingkatkan amal ibadat kita sempena hari-hari akhir Ramadhan adalah baiknya dari segi itu. Tetapi apakah perlu kita mendapat dari sumber palsu sebegini walhal janji-janji Allah telah jelas disebut dalam Al Quran dan ditunjuk oleh Baginda Rasulullah s.a.w. Kita kembali dan rujuk sahaja kepada teks-teks muktabar Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Wallahu a’lam

Advertisement