sumber: Ismaweb.net

Meneliti berita dan isu yang ditonjolkan oleh media lewat waktu ini, kita akan dapati bahawa terdapat helah halus untuk mewujudkan kacau bilau dalam masyarakat. Berselindung di sebalik layar portal media, mereka membuang segala prinsip kewartawanan dan bersuara mewakili agenda tersendiri.

Mereka menjadi lidah ideologi liberal dan menolak ketepi asas-asas keharmonian sosial di Malaysia.

ismaweb-mediaputarbelitMedia-media liberal ini telah mengambil kesempatan di atas hak kebebasan bersuara untuk menulis apa sahaja bagi mencapai kepentingan ideologi liberal. Lebih daripada itu mereka agak begitu melampau, malah seolah-olah terdesak mengeluarkan artikel-artikel yang mempunyai niat jahat dengan memputar belit laporan serta menerbitkan artikel berunsur hasutan dan fitnah.

Amat jelas bahawa media seperti ini bijak memerangkap emosi pembaca dan mewujudkan persepsi negatif bagi melagakan-lagakan sesiapa sahaja yang menentang gagasan mereka.

Free Malaysia Today (FMT) pernah memutar belit kenyataan Presiden ISMA, Ustaz Abdullah Zaik Abd Rahman yang berjudul “Keluar dari Malaysia: Pelawaan ISMA disambut baik”. Berita yang ditulis FMT itu jauh terpesong daripada kenyataan sebenar.

Ustaz Abdullah dalam http://www.ismaweb.net menyeru agar pihak Kristian meninggalkan sebarang usaha yang akan menjejaskan keharmonian kaum di negara ini dan sebagai warganegara, mereka harus akur dengan kedaulatan Islam, ketinggian hukum dan syiar Islam di negara ini.

Sebaliknya, FMT memutar pelit kenyataan itu mengatakan Ustaz Abdullah menyeru Sabah dan Sarawak berpisah dengan Semenanjung. Laporan itu langsung tidak profesional.

Itu baru FMT. Malaysiakini juga memainkan peranan yang sama.

Mereka mencedok berita dari ISMAweb, mengulas berita dan memberikan tajuk yang bercanggah daripada kenyataan asal sehingga memberi persepsi yang buruk kepada ISMA.

Setiausaha Biro Politik ISMA, Ustaz Mohd Hazizi Abdul Rahman pernah mengeluarkan kenyataan balas kepada Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad dengan tajuknya ‘Menjawab Khalid Samad: Islam tercemar dengan sikap melampau Islamis liberalis’. Apa yang terjadi, Malaysiakini menukar tajuknya kepada ‘ISMA pertahan fahaman kaum, kebangsaan’. Ulasan berita yang dibuat langsung tidak beretika.

The Malay Mail juga begitu, habis dicanang mengatakan ISMA membuat tuduhan bahawa wujud agenda Kristian di sebalik konsert K-Pop gara-gara insiden gadis Melayu dipeluk artis negara Korea.

Tidakkah wartawan mereka membaca berita asal yang disiarkan ISMAweb? Jelas lagi bersuluh ISMAweb memetik artikel yang ditulis oleh Setiausaha Agung Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (Muafakat), A Karim Omar. Sebaliknya, mereka menyiarkan semula dengan meletak tajuk K for Kristian? Isma suggests Christian agenda in K-pop concerts’.

Bila pula ISMA membuat pendedahan itu? Nampakkan? Media seangkatan mereka ini tidak bersikap profesional dalam memetik kenyataan dari sumber lain.

Dalam satu forum anjuran Islamic Rennaisance Front (IRF) pada 19 Mei 2014 bertajuk ‘Politik Kebebasan Agama: Penganiayaan atas Nama Agama’, Malaysiakini menyiarkan bahawa Dr Anas mengatakan tindakan menghukum LGBT berdasarkan undang-undang adalah salah di sisi Islam kerana Islam membezakan di antara individu dan perlakuannya.

Sebaliknya apabila wartawan ISMAweb menghubungi Dr Anas mengesahkan kenyataan tersebut, Dr Anas mendakwa Malaysiakini telah memutar belit kenyataannya. Apa yang ditulis Malaysiakini adalah salah dan tidak masuk akal. Sudah diketahui umum bahawa mereka suka ‘spin’ setiap berita yang diterima.

Itu hanya beberapa contoh. Sebenarnya banyak lagi individu, NGO, parti yang telah menjadi mangsa putar belit media-media ini.

Agaknya, apa akan jadi apabila pemikiran masyarakat kita hari-hari disogok dengan corak pemberitaan sebegitu?

Dan sampai bila portal berita yang tidak profesional dan tiada kredibiliti ini boleh dijadikan rujukan utama rakyat Malaysia?

Fikir-fikirkan lah…..

Siti Fatimah Ishak – Wartawan ISMAweb