Palsu-gigitan seranggaKenapa kita terlalu mudah untuk sebar cerita/berita palsu tanpa memeriksa kesahihannya terlebih dahulu? Semalam saya menulis tentang sebaran berita palsu kaitan angka 26 dengan gempa bumi di Nepal (baca: Gempa Nepal: Kita Sebar Whatsapp Dakyah Kristian?).

Dinding beberapa akaun Facebook semenjak beberapa hari lepas tersebar gambar labah-labah dan kesan gigitannya pada tangan seseorang yang dikatakan sedang membiak di Lembah Klang. Yang tukang komen, kongsi dan “like” pun tidak kurang rancak juga.

Sebenarnya berita palsu ini bukannya baru. Sudah pun disebar beberapa kali sebelum ini dengan pelbagai versinya. Ada yang membuat cerita ianya kini tersebar di Afrika Selatan, Australia dan pelbagai penjuru bumi lagi.

Mujurlah Imam Bukhari, dan imam-imam hadith yang lain, telah membukukan kitab Sahih Bukharinya. Jikalah hadith-hadith Rasulullah s.a.w. baru mahu dibukukan pada zaman sekarang, maka sudah pastilah tidak diketemui lagi hadith-hadith sahih – dek kerana sifat dan sikap kita yang jauh sekali dari seperti orang-orang dahulu yang teramat teliti dalam periwayatan maklumat.

Mohon disemak terlebih dahulu daripada terlalu senang-senang hendak sebar berita palsu. Janganlah kita habiskan masa kita dan orang yang menerima berita palsu kita. Banyak lagi kerja yang hendak kita buat – yang lebih berfaedah.

 

 

 

Advertisement