Kuala Lumpur: Tangkap jerung! Itu desakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi menangani peningkatan penularan HIV melalui seks berbanding sebelum ini, jangkitan menerusi penggunaan jarum membabitkan penagih dadah.

Beberapa NGO berpendapat tindakan pihak berkuasa yang selama ini dilihat hanya menangkap ‘ikan bilis’ (pelacur) tidak akan menyelesaikan masalah jika tindakan tegas tidak dikenakan ke atas pengusaha pusat pelacuran, ibu dan bapak ayam.

BHPlus-IsuPelacuran-22Mei2015Naib Presiden Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (MUAFAKAT), A Karim Omar, berkata berdasarkan pemerhatian pihaknya, sarang pelacuran khususnya di kawasan Bukit Bintang, kerap diserbu pihak berkuasa.

Bagaimanapun, katanya, beliau hairan kerana pemilik pusat pelacuran masih bebas walaupun serbuan di tempat sama kerap dilakukan.

“Sekiranya (pemilik) ditahan, mereka akan kembali menghidupkan semula premis selepas dibebaskan sebulan dua kemudian.

“Pihak berkuasa, janganlah tutup mata kerana untuk dapatkan lesen hiburan, pengusaha perlu mendapat kebenaran pihak berkuasa tempatan di kawasan berkenaan,” katanya ketika dihubungi BH, semalam, mengulas laporan BH sejak Selasa lalu mengenai penularan jangkitan HIV.

Ia dilaporkan semakin membimbangkan apabila data terkini menunjukkan 78.2 peratus daripada 3,517 kes baharu direkodkan tahun lalu adalah menerusi transmisi seks.

Karim berkata, peningkatan kes hubungan seks sama jenis seperti disiarkan BH adalah perkara yang membimbangkan berikutan terdapat pihak yang mengiklankan gejala songsang itu di internet.

“Kami pernah menyenaraikan beberapa laman sesawang yang mengiklankan seks sejenis. Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) seharusnya mengesan dan menghalang laman sesawang seperti ini sebelum melaporkannya kepada pihak berkuasa lain untuk diambil tindakan ke atas pemilik premis,” katanya.

Beliau berkata, program berbentuk separuh hiburan yang diisi dengan konsert untuk menarik perhatian remaja perlu ditukar kepada aktiviti seperti riadah dan bersukan sebagai langkah awal mengelak golongan itu mendekati perkara yang melalaikan.

Sementara itu, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan, berkata penguatkuasaan lemah dan kurang berkesan terhadap sarang pelacuran di negara ini antara punca peningkatan penularan virus berbahaya berkenaan.

“Ini bukan isu baharu. Pelbagai NGO sudah berulang kali bersuara. Penguatkuasaan perlu dilakukan secara bersungguh-sungguh dan berterusan bagi membendung perkara ini daripada terus merebak,” katanya.

Beliau berpendapat, keluarga dan sekolah perlu memainkan peranan masing-masing daripada peringkat awal untuk mengelak perkara ini berlaku pada generasi seterusnya.

“Mengubah perkara yang sudah terjadi adalah sukar. Jadi, di peringkat awal seperti di rumah dan di sekolah, ilmu agama perlu dititikberatkan,” katanya ketika dihubungi BH, semalam.

sumber: BHPlus / Premium / Susulan Transmisi Seks – Langgani BHPlus – http://www.bharian.com.my/user/login – RM10 sebulan
Oleh Muhammad Mustakim Ramli – m.mustakim@bh.com.my