Belum ada apa-apa kiriman baru dalam blog saya semenjak bulan Ogos ini, sudah hampir dua minggu kini. Sekadar berkongsi, saya catatkan kiriman yang ringan. Bukan bertujuan untuk mengatakan bahawa syarikat membuat ubat gigi yang orang ramai kenali itu adalah penyebar agama Kristian, cuma kebetulan nama pengasas Colgate itu terlibat dalam penubuhan salah sebuah sebuah syarikat pengedaran bahan Kristian yang terbesar. Ini cerita lebih 200 tahun lalu.
Pada tahun 1809, beberapa aktivis di bandar New York menubuhkan sebuah pertubuhan yang disebut sebagai New York Bible Society (NYBS). Di antara aktivis yang terlibat dalam penubuhannya adalah William Colgate (Colgate Palmolive) dan Henry Rutgers, orang yang mengasaskan Rutgers University.
NYBS kemudian bertukar menjadi International Bible Society (IBS) dan sekarang dikenali sebagai Biblica.
Pada tahun 1810, NYBS menerbitkan terjemahan Bible pertama mereka dalam bahasa Bengali. Kini mereka telah menerbitkan dalam 65 bahasa.
IBS kemudian bergabung dengan sebuah lagi penerbit-pengedar buku Kristian, Send the Light (STL) untuk menjadi IBS-STL, sebuah pengedar bahan Kristian yang terbesar di dunia.
STL adalah sebuah syarikat yang diasaskan oleh paderi George Vermer, yang mengasaskan Operation Mobilisation (OM). OM adalah pemilik kapal Logos Hope, yang dikendalikan oleh GBA Ships (kita bincang isu ini dalam kiriman lain – insha Allah).
IBS-STL beroperasi di bawah dua entiti. IBS-STL Global berpusat di Amerika Syarikat. Dan IBS-STL UK, yang turut mempunyai lebih 40 buah rantaian kedai buku di bawah nama Wesley Owen. Namun, selepas kegagalan melaksanakan sistem aplikasi IT SAP dalam rantaian pengedaran mereka, IBS-STL UK menghadapi masalah kewangan hingga akhirnya menutup perniagaan mereka pada tahun 2010.
IBS-STL Global yang terus beroperasi kemudian bertukar nama kepada Biblica. Biblica adalah penerbit Bible New International Version (NIV). Dan penerbitan Bible NIV mempunyai kisahnya yang tersendiri dengan melibatkan seorang jurutera General Electric, Howard Long, bermula pada tahun 1955. NYBS adalah penaja kepada usaha menerbitkan NIV tersebut.
Namun, kita sangat bimbang dengan pelbagai penerbit bahan-bahan cetakan Kristian yang kadang-kadang tidak jelas meletakkan nama dan alamat mereka sambil mengedar di merata tempat, termasuk kepada orang-orang Islam. Ada yang menggunakan alamat di Singapura atau lain-lain negara. Sesetengah buku ini jelas melanggar sensitiviti umat dan undang-undang sebagai contoh menggunakan kalimah Allah.
Awasilah supaya anak-anak kita tidak mudah terpedaya.
(… sebelum dikomen … ya, tajuk dan kandungan tulisan kali ini semacam kurang tersusun)
Leave a comment
Comments feed for this article