Inilah punca DAP panas telinga.

Syabas diucapkan kepada Pejabat Mufti Negeri Pahang di atas kesungguhan dan keberanian menyuarakan kepentingan dan keperluan perpaduan di kalangan umat Islam di dalam teks khutbah Aidil Adha 1436 mereka. Saya petik sebahagiannya di sini:

Dewasa ini kita melihat perpecahan umat Islam di negara kita terutama bangsa Melayu begitu ketara. Perpecahan ini kerana mengutamakan parti politik melebihi perpaduan dan persaudaraan Islam seperti parti UMNO, PAS, PKR dan ditambah parti baru yang di namakan Gerakan Harapan Baru (GHB) malahan ada di kalangan umat Islam yang menyertai parti DAP yang terangterang menentang Islam. Sepatutnya umat Islam bergabung dan bersatu suara walaupun berlainan dasar politik mereka. Ingatlah Firman Allah Subhanahu wa Taala yang mewajibkan kita bersatu dan melarang kita dari berpecah belah kerana ia membawa kelemahan dan kehilangan kuasa pemerintahan umat Islam di negara ini.

Sila baca teks penuh di bawah. Maaf, saya mempunyai kesulitan untuk salin teks Arab dari ayat-ayat Al-Quran dan Hadith yang dipetik (dari format pdf).

**************

tekskhutbah-EidAdha-Pahang

Marilah pada hari yang penuh berkat ini, kita mempertingkatkan ketaqwaan kepada Allah Subhanahu wa Taala dengan mengerjakan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala tegahan dan larangan-Nya. Mudahmudahan kita tergolong di kalangan hamba-hamba-Nya yang berjaya di dunia dan akhirat.

Muslimin Muslimat yang dirahmati Allah Subhanahu wa Taala,

Pada 10 Zulhijjah adalah hari raya Aidil-Adha yang disambut oleh segenap lapisan umat Islam seluruh pelusuk dunia. Termasuklah jutaan saudara mara kita yang berada di tanah suci Mekah yang sedang menunaikan ibadah haji. Allah Subhanahu wa Taala telah menjadikan dua hari raya dalam setahun, iaitu hari raya aidil-fitri dan hari raya aidil-adha sebagai satu kegembiraan bagi umat Islam. Rasulullah SAW bersabda  dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari

Yang bermaksud: “Wahai Abu Bakar, sesungguhnya setiap kaum mempunyai hari raya, dan inilah hari raya kita”

Hari raya Aidil-Adha dirayakan sempena umat Islam menunaikan ibadat Haji di Makkah al-Mukarramah. Ibadat Haji yang dilaksanakan oleh setiap jemaah Haji pada setiap tahun membawa bersamanya seribu satu unsur pengajaran dan pendidikan dalam kehidupan sejagat. Bagi mereka yang tidak berkesempatan menunaikan ibadat haji, mereka disunatkan berkorban dengan menyembelih binatang ternakan seperti unta, kerbau, lembu dan kambing.

Muslimin Muslimat yang dirahmati Allah Subhanahu wa Taala

Marilah kita bersama-sama dengan penuh kesedaran dan keinsafan mengambil iktibar dan pengajaran daripada rentetan peristiwa bersejarah lagi agung tentang pengorbanan dan juga ujian keimanan Nabi Ibrahim ‘alaihissalam bersama anaknya Nabi Ismail a.s.  Ujian keimanan yang amat sukar dan sangat mencabar untuk dilaksanakan, bahkan tidak mampu dibayangkan dari segi kemanusiaan.

Firman Allah Subhanahu wa Taala dalam surah Al-Shoffat, ayat 104 hingga 107:

Yang bermaksud: Lalu Kami menyerunya: “Wahai Ibrahim!” Engkau telah membenarkan mimpimu itu.” Demikianlah sebenarnya Kami membalas orang yang berbuat baik. Sesungguhnya perintah ini adalah satu ujian yang nyata; Dan Kami tebus anaknya itu dengan seekor binatang sembelihan yang besar;

Dalam melaksanakan perintah Allah Subhanahu wa Taala itu, Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail AS telah menyerahkan diri mereka sepenuhnya kepada Allah SWT. Dengan kurniaan Allah yang Maha Penyayang lagi Maha Pengasih, Allah telah mengirimkan seekor kibas untuk menggantikan Nabi Ismail AS. Kesetiaan dan kesabaran baginda dan puteranya menjunjung perintah Allah Subhanahu wa Taala biarpun terpaksa menyerahkan nyawa sekalipun. Peristiwa ini dirakam oleh Allah Subhanahu wa Taala dalam surah As-Shoffat ayat 102:

Yang bermaksud: “Anaknya menjawab (Nabi Ismail): “Wahai ayah”, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu; Insya’ Allah, ayah akan mendapati aku daripada  orang yang sabar.”

Peristiwa bersejarah ini juga mengandungi pengajaran bahawa anak-anak yang soleh yang terbina budi pekerti dan akhlak biasanya muncul daripada zuriat keturunan dan lingkungan keluarga yang soleh laksana ungkapan pepatah Melayu menyebut “jatuhnya daun tidak akan jauh dari pohonnya”. Malahan peristiwa tersebut mengajarkan kita bagaimana menjadi hamba Allah Subha nahu wa Taala yang taat dan patuh melalui amalan hidup bersyariat. Melaksanakan perintah Allah Subhanahu wa Taala
dengan penuh keihklasan, sabar, redha dan rela berkorban harta mahupun nyawa.

Muslimin Muslimat yang dirahmati Allah Subhanahu wa Taala

Persoalannya, sejauh manakah kita dapat memahami falsafah korban seperti yang dilakukan oleh Nabi Ibrahim AS dan Nabi Ismail AS itu? Apakah pengajaran yang boleh diambil daripada peristiwa agung tersebut?

Sempena hari raya korban ini, umat Islam janganlah mementingkan kepentingan diri sendiri dengan mengetepikan hak orang lain. Umat Islam hendaklah mengasihi sesama saudara seislamnya seperti mengambil berat terhadap keluarga yang daif dan yang memerlukan bantuan seperti pendidikan serta yang terlantar sakit tanpa kita sedari dalam masyarakat kita. Kita dapati juga belia-belia kita ramai yang terjebak dalam gejala maksiat, maka hendaklah mewujudkan sifat berkorban dengan melahirkan sifat bertimbang rasa dan berkasih sayang sesama kita untuk membantu mereka, janganlah ada perasaan hasad dengki, dendam  sehingga berlakunya perpecahan dan pergeseran  yang boleh melibatkan kacau bilau atau lebih teruk lagi  pertumpahan darah dalam keluarga dan masyarakat seperti berlaku baru-baru ini.

Muslimin Muslimat yang dirahmati Allah Subhanahu wa Taala

Dewasa ini kita melihat perpecahan umat Islam di negara kita terutama bangsa Melayu begitu ketara. Perpecahan ini kerana mengutamakan parti politik melebihi perpaduan dan persaudaraan Islam seperti parti Umno, Pas, PKR dan ditambah parti baru yang di namakan Gerakan Harapan Baru (GHB) malahan ada di kalangan umat Islam yang menyertai parti DAP yang terangterang menentang Islam. Sepatutnya umat Islam bergabung dan bersatu suara walaupun berlainan dasar politik mereka. Ingatlah Firman Allah Subhanahu wa Taala yang mewajibkan kita bersatu dan melarang kita dari berpecah belah kerana ia membawa kelemahan dan kehilangan kuasa pemerintahan umat Islam di negara ini.

Firman Allah Subhanahu wa Taala, Surah Al- Anfal ayat 46.
                        Yang bermaksud : dan Taatlah kamu kepada Allah dan RasulNya, dan janganlah kamu berbantah-bantahan; kalau tidak nescaya kamu menjadi lemah semangat dan hilang kekuatan kamu, dan sabarlah (menghadapi Segala kesukaran Dengan cekal hati); Sesungguhnya Allah beserta orang-orang Yang sabar.

Ayat yang dibaca tadi jelas melarang kita berpecah belah dan bersatu padu tanpa bergantung pada orang bukan Islam. Ingatlah kita masih diberi peluang oleh Allah Swt untuk mempertahankan kuasa memerintah di tangan orang Islam. Marilah kita bersatu padu hindarlah perkara-perkara merugikan negara dan umat Islam.

Yang bermaksud: Bagi tiap-tiap seorang ada malaikat penjaganya silih berganti dari hadapannya dan dari belakangnya, Yang mengawas dan menjaganya (dari sesuatu bahaya) Dengan perintah Allah. Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa Yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa Yang ada pada diri mereka sendiri. dan apabila Allah menghendaki untuk menimpakan kepada sesuatu kaum bala bencana (disebabkan kesalahan mereka sendiri), maka tiada sesiapapun Yang dapat menolak atau menahan apa Yang ditetapkanNya itu, dan tidak ada sesiapapun Yang dapat menolong dan melindungi mereka selain daripadanya.

Advertisement