You are currently browsing the monthly archive for March 2016.
TAMAN MAWAR
(Mengingati guru kami almarhum Ust ‘Uthman el Muhammady rh yang kembali ke rahmat Allah pada 25 Mac 2013)
Oleh Al-Fadhil Ustaz Ismail Mina Ahmad
Taman itu, wahai teman;…
taman mawar luar biasa;
pohonnya tumbuh waktu kegelapan senja;
ditengah-tengah simpang siur manusia tak keruan;
ketika pemikiran liar pasca modernisme mengganas;
dalam kenaifan menakrif naratif Islami;
bunganya kembang segar menebar wangian serata ceruk.
Taman itu, wahai teman;
hiruplah wanginya sepuas hatimu;
kuntum bunganya warna warni, ma sya Allah;
bagai lautan pelangi, subhanallah;
renunglah dengan matahatimu anugerah langka Ilahi itu;
indah berseri tiada terperi;
moga-moga harumnya melekat di sanubari bagai inai dijari-jemari.
Taman itu, wahai teman;
ketahuilah, pohonnya ditanam tangan lembut nan keramat;
disirami bersama air kasih sayang nan ikhlas;
yang haruman bunga-bunganya nanti diwaqafkan;
untuk dinikmati para salik yang mabuk;
untuk dimamah pencari jalan yang keliru;
untuk dihadam manusia dungu;
supaya tak terpedaya dek taman-taman gersang yang palsu.
Taman itu, wahai teman;
meninggalkan seribu syahdu dan kesedihan;
kerana tuannya tiada lagi;
dipanggil pulang oleh Tuhan Rab al ‘Alamin;
namun;
lahir bersama segugus harapan pengubat lara;
penguat jiwa;
percayalah wahai teman;
setiap kelopak bunganya masih mekar;
masih harum mewangi persis di tangan tuannya;
untuk dihirup dari piala-piala suci di hulur tangan keramat itu;
sebagai penawar ‘aqal dan hati dan budi.
Ismail Mina Ahmad
Taman Keramat, Kuala Lumpur
24 Mac 2016.
KUALA LUMPUR: Mesej berantai mengenai Pertubuhan Melayu Murtad (IFC) yang didaftarkan di Pendaftar Pertubuhan (ROS) yang menjadi viral baru-baru ini adalah mesej lama dan terbukti tidak sahih.
[Baca: Persatuan Melayu Murtad IFC]
Felo Utama Institut Kajian Strategik Islam Malaysia (IKSIM), A Karim Omar, berkata mesej yang dikitar semula itu sengaja diperbesarkan bagi mencetuskan kebimbangan dalam kalangan umat Islam.
Beliau yang juga Naib Presiden Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (MUAFAKAT) berkata, ada beberapa fakta dalam mesej itu yang kurang tepat sama ada ditokok tambah pengirim asal mengikut kemahuannya atau mungkin individu itu tidak mempunyai fakta lengkap.
Menegaskan mesej di sebalik penyebaran itu tidak sahih, beliau bagaimanapun berkata peringatan seumpama itu sebenarnya masih relevan dan perlu diingatkan selalu.
“Ia sebagai peringatan kepada umat Islam yang cenderung mengamalkan gaya hidup liberal supaya tidak mudah terpedaya dengan dakyah gerakan Kristianisasi yang sejak dulu cuba mempengaruhi umat Islam,” katanya ketika dihubungi BH, semalam.
Beliau tidak menolak terdapat gerakan berterusan untuk memurtadkan umat Islam menerusi cara halus atau menerusi gerakan bawah tanah.
“Sebenarnya agenda jahat musuh Islam berterusan. Mereka tidak berhenti berehat walaupun sebentar. Mereka sentiasa merancang. Ramai antara kita lalai. Ramai juga antara kita sendiri yang sekarang sudah mula terikut dalam perancangan jahat mereka (gerakan Kristianisasi) berpadu tenaga untuk bersama musuh.
“Secara jujur, memang orang Melayu yang murtad kini semakin ramai. Tidak menghairankan jika mereka menubuhkan persatuan sedemikian. Cuma mungkin mereka tidak boleh daftarkan secara rasmi. Tidak mungkin mereka akan daftarkan untuk masa ini tetapi mungkin pada suatu masa akan datang,” katanya.
Justeru, beliau mahu umat Islam di negara ini sentiasa peka dengan gerakan yang cuba menjatuhkan agama Islam, selain usaha memurtadkan kelompok masyarakat beragama Islam.
Sementara itu, Ketua Pengarah ROS, Datuk Mohamad Razin Abdullah ketika dihubungi BH menafikan bahawa pihaknya pernah meluluskan pendaftaran Persatuan Melayu Murtad, IFC dan Persatuan Melayu Kristian.
Katanya, berita yang disebarkan secara meluas melalui media sosial yang mendakwa ROS meluluskan pendaftaran ketiga-tiga pertubuhan itu adalah tidak benar sama sekali.
“Penyebaran berita ini telah lama dikesan, iaitu sejak awal 2007 dan sering disebarkan dari semasa ke semasa. Sekali lagi ditegaskan bahawa ROS tidak pernah meluluskan pendaftaran ketiga-tiga pertubuhan ini,” katanya.
Sumber: Berita Harian – Oleh Nora Mahpar – noramahpar@bh.com.my
http://www.bharian.com.my/node/131356
Boleh juga baca:
- Persatuan Melayu Murtad IFC (serta teks penuh mesej berantai tersebut)
- ROS Nafi Lulus IFC, Persatuan Melayu Murtad, Persatuan Melayu Kristian
Bangi- Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), melalui pusat Pengajian Sains Dakwah telah menganjurkan Diskusi Isu-Isu Dakwah Semasa Tahun 2015 pada25 November 2015 bertempat di Auditorium Al-Syafei, ILIM. Diskusi kali ini bertemakan “Cabaran Daie Masa Kini”.
(sumber: http://www.islam.gov.my/cabaran-dakwah-islamiah-dalam-perkembangan-teknologi-masa-kini)
Diskusi ini menjelaskan tentang Era dakwah masa kini berhadapan dengan pelbagai cabaran dan masalah yang semakin kompleks disebabkan berlakunya perkembangan peradaban dan kemajuan dalam masyarakat. Antaranya cabaran dari sudut ideologi dan pemikiran seperti penyebaran fahaman Liberalisme, Ekstremisme, Pluralisme dan sebagainya.
Dalam hal ini, pendakwah perlu melakukan transformasi dalam penyampaian dakwah dengan menggunakan pendekatan kontemporari yang lebih interaktif dan menarik dalam menangani isu-isu dakwah masa kini seiring dengan perkembangan teknologi yang berlaku bagi menjamin keberkesanan dalam berdakwah. Para pendakwah juga perlu mengamalkan sikap toleransi dan bertolak ansur dalam usaha menyampaikan dakwah Islamiah kepada sasaran bagi mengelak daripada berlakunya salah faham dalam masyarakat.

Recent Comments