TAMAN MAWAR

SDN-UEM(Mengingati guru kami almarhum Ust ‘Uthman el Muhammady rh yang kembali ke rahmat Allah pada 25 Mac 2013)

Oleh Al-Fadhil Ustaz Ismail Mina Ahmad

Taman itu, wahai teman;
taman mawar luar biasa;
pohonnya tumbuh waktu kegelapan senja;
ditengah-tengah simpang siur manusia tak keruan;
ketika pemikiran liar pasca modernisme mengganas;
dalam kenaifan menakrif naratif Islami;
bunganya kembang segar menebar wangian serata ceruk.

Taman itu, wahai teman;
hiruplah wanginya sepuas hatimu;
kuntum bunganya warna warni, ma sya Allah;
bagai lautan pelangi, subhanallah;
renunglah dengan matahatimu anugerah langka Ilahi itu;
indah berseri tiada terperi;
moga-moga harumnya melekat di sanubari bagai inai dijari-jemari.

Taman itu, wahai teman;
ketahuilah, pohonnya ditanam tangan lembut nan keramat;
disirami bersama air kasih sayang nan ikhlas;
yang haruman bunga-bunganya nanti diwaqafkan;
untuk dinikmati para salik yang mabuk;
untuk dimamah pencari jalan yang keliru;
untuk dihadam manusia dungu;
supaya tak terpedaya dek taman-taman gersang yang palsu.

Taman itu, wahai teman;
meninggalkan seribu syahdu dan kesedihan;
kerana tuannya tiada lagi;
dipanggil pulang oleh Tuhan Rab al ‘Alamin;
namun;
lahir bersama segugus harapan pengubat lara;
penguat jiwa;
percayalah wahai teman;
setiap kelopak bunganya masih mekar;
masih harum mewangi persis di tangan tuannya;
untuk dihirup dari piala-piala suci di hulur tangan keramat itu;
sebagai penawar ‘aqal dan hati dan budi.

Ismail Mina Ahmad
Taman Keramat, Kuala Lumpur
24 Mac 2016.