SIS-mahkamah-fatwasesatKUALA LUMPUR – 24 Jun 2016 -(Berita Harian): Mahkamah Tinggi sebentar tadi memutuskan, hanya Mahkamah Syariah boleh mendengar permohonan semakan kehakiman Sisters In Islam (SIS) bagi mencabar keputusan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) yang mengisytiharkan organisasi itu menyeleweng daripada ajaran Islam.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Hanipah Farikullah, membuat keputusan itu selepas berpuas hati mahkamah itu tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar kes membabitkan kesahihan fatwa.

Dalam penghakimannya, Hanipah berkata, walaupun SIS selaku pemohon tidak mempunyai remedi dari segi undang-undang, ia bukan bermakna mahkamah sivil mempunyai bidang kuasa mendengar permohonan semakan kehakiman itu.

Pada Julai 2014, Jawatankuasa Fatwa Selangor mewartakan SIS dan mana-mana individu, pertubuhan atau institusi yang berpegang kepada fahaman liberalisme dan pluralisme agama sebagai sesat serta menyeleweng daripada ajaran Islam.

Fatwa itu diwartakan mengikut Bahagian III Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Selangor) 2003.

Pada 24 Februari 2014, SIS memohon klarifikasi berhubung Seksyen 66A Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Selangor (Pindaan) 2015 berikutan organisasi itu mengemukakan semakan kehakiman terhadap keputusan MAIS mengisytiharkan ia menyeleweng daripada ajaran Islam.