AG-MajlisPeguamKERAJAAN telah membuat keputusan untuk meminda Akta Profesion Undang-Undang 1976 (Akta 166). Pindaan ini bukan sama sekali bertujuan untuk menyekat kebebasan Majlis Peguam atau untuk mengelak Majlis Peguam daripada terus mengkritik kerajaan sebagaimana yang disangkakan, tetapi ia hanya bertujuan untuk menjadikan Majlis Peguam lebih telus dan demokratik berbanding sekarang.

Sebagai Peguam Negara, saya amat bersetuju dengan keputusan ini. Setelah tujuh tahun memegang jawatan pegawai dalam Majlis Peguam, saya cukup faham selok-belok ia beroperasi.

Kerajaan tidak berniat untuk mengawal perjalanan Majlis Peguam, malah kerajaan kini jauh lebih terbuka kepada kritikan. Sebab itulah kerajaan telah meluluskan suatu pindaan terhadap Akta Hasutan 1948 tahun lalu untuk tidak lagi menjadikan perbuatan mengembangkan kebencian atau penghinaan atau membangkitkan ketidakpuasan hati terhadap kerajaan sebagai suatu kesalahan menghasut.

Apabila Majlis Peguam tidak bersifat representatif, maka sudah tentulah tujuan Bar Malaysia ‘untuk mempertahankan keadilan tanpa mengira kepentingan sendiri atau kepentingan ahlinya, tidak terpengaruh oleh perasaan takut atau kasihan’ seperti digariskan dalam Seksyen 42 (1) (a) Akta 166 tidak akan tercapai dengan baik. Mempertahankan keadilan tugas mulia, tetapi keadilan untuk siapa?

Tujuan Bar Malaysia

Begitu juga dengan pencapaian tujuan Bar Malaysia ‘untuk, jika diminta berbuat demikian, menyatakan pendapatnya atas perkara yang melibatkan perundangan dan pentadbiran dan amalan undang-undang di Malaysia’ seperti digariskan dalam Seksyen 42 (1) (d) Akta 166 yang boleh dipersoalkan. Apakah pendapat Majlis Peguam mewakili sebilangan atau seluruh ahli Bar Malaysia?

Lebih-lebih lagi dalam soal pencapaian tujuan Bar Malaysia ‘untuk mewakili, memperlindungi dan menolong ahli profesion undang-undang di Malaysia dan memajukan dengan apa-apa cara yang wajar kepentingan profesion undang-undang di Malaysia’ seperti digariskan dalam Seksyen 42 (1) (e) Akta 166 yang boleh dipersoalkan jika komposisi Majlis Peguam tidak mewakili seluruh ahli Bar Malaysia.

Saya tidak hairan bila dimaklumkan, ada urusan Majlis Peguam dilakukan secara tersembunyi, ada ahli Bar Malaysia yang tidak didedahkan dengan perkara tertentu atau bila ada ‘gag order’ diberikan kepada Ahli Majlis Peguam.

Paling menjadi isu dalam Majlis Peguam ialah peruntukan Seksyen 50 (1) Akta 166 yang menyebut bahawa pemilihan tahunan bagi 12 ahli Majlis Peguam hendaklah dengan undi pos. Malang sekali bagi sebuah badan yang menentang penggunaan undi pos dalam sistem pilihan raya negara sebagaimana diperjuangkan oleh BERSIH masih menggunakan undi pos dalam pemilihannya sendiri.

Beberapa ahli Majlis Peguam pernah membangkitkan soal ketidaktelusan undi pos dalam pemilihan Majlis Peguam ini, termasuk mengenai bagaimana jawatankuasa pemilihnya tidak dipantau oleh mana-mana badan bebas lain. Saya masih ingat bagaimana pemilihan Majlis Peguam bagi sesi 2007/2008 pernah menjadi heboh apabila 50 kertas undi palsu ditemui oleh pemantau pemilihan.

Saya dimaklumkan bahawa ramai ahli Majlis Peguam tidak mahu terlibat dalam pemilihan Majlis Peguam mahupun dalam mesyuarat agungnya kerana tidak yakin dengan ketelusan undi pos ini. Tidak hairanlah jika saban tahun bilangan undi pos yang dikembalikan dalam pemilihan Majlis Peguam adalah sangat rendah, begitu juga dengan kadar kehadiran ahli-ahli dalam mesyuarat agungnya.

Bagi mengatasi masalah yang ditimbulkan oleh undi pos ini, sekali gus bagi menjadikan Majlis Peguam lebih telus dan demokratik berbanding sekarang, maka kerajaan memutuskan untuk menghapuskan undi pos dalam pemilihan Majlis Peguam. Sistem baharu yang akan digunakan ialah pemilihan terus oleh ahli-ahli Bar Negeri dalam Mesyuarat Agung Tahunannya setiap dua tahun sekali.

Perlu diingati, salah satu tujuan Bar Malaysia telah digariskan dalam Seksyen 42 (1) (l) Akta 166, iaitu ‘untuk memajukan hubungan baik dan pergaulan sosial di kalangan ahli dan antara ahli dengan orang lain yang terlibat dalam pentadbiran undang-undang dan keadilan di Malaysia’. Bagaimanapun, kita melihat hubungan baik di kalangan ahli dan antara ahli dengan kerajaan khususnya tidak terjalin.

Beri kuasa

Bagi memastikan hubungan baik antara ahli dengan kerajaan sentiasa terjalin, kerajaan juga memutuskan untuk memberi kuasa kepada Menteri Undang-Undang melantik dua ahli di dalam Majlis Peguam bagi mewakili kerajaan. Kedua-dua ahli ini bagaimanapun tidak dibenarkan untuk bertanding bagi merebut jawatan Yang Dipertua, Naib Yang Dipertua, Setiausaha dan Bendahari.

Pemilihan di Bar Negeri yang akan menyaksikan ahli-ahli memilih seorang Pengerusi Bar Negeri dan dua orang Wakil Bar Negeri menjadikan Bar Negeri mempunyai 36 wakil dalam Majlis Peguam. Ditambah dengan dua wakil kerajaan, Yang Dipertua yang baru lalu dan Naib Yang Dipertua yang baru lalu, maka bilangan Ahli Majlis Peguam yang baharu ialah 40 orang, berbanding 38 sebelum ini.

Maka, 24 Wakil Bar Negeri akan bertanding untuk jawatan Yang Dipertua, Naib Yang Dipertua, Setiausaha dan Bendahari melalui pemilihan terus oleh ahli-ahli Bar Malaysia. Untuk menjadikan Majlis Peguam lebih demokratik, korum Mesyuarat Agung Bar Malaysia dan Bar Negeri akan dinaikkan menjadi 25 peratus, manakala Ahli Majlis Peguam pula hanya dibenarkan memegang jawatan selama dua tahun.

Menjadi hasrat kerajaan agar segala pindaan yang dicadangkan ini akan berupaya mengembalikan Majlis Peguam kepada tujuan asal ia ditubuhkan, sebagaimana yang digariskan oleh Akta 166.

Sumber: Berita Harian http://www.bharian.com.my/node/171128

Advertisements