Perlembagaan Persekutuan memberi jaminan terhadap hak kebebasan bersuara kepada setiap warganegara Malaysia, dimaktubkan dalam Fasal 10 (1) (a), tetapi dibatasi had tertentu yang dibenarkan undang-undang melalui Fasal 10(2)(a). Hakikatnya, klausa membataskan hak kebebasan bersuara ini tidak bercanggah dengan peruntukan dalam instrumen hak asasi manusia antarabangsa, terutama Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat (UDHR) 1948 dan Kovenan Antarabangsa bagi Hak-Hak Sivil dan Politik (ICCPR) 1966.
Sebagai contoh, Fasal 29(3) UDHR 1948 dan Fasal 19(3) ICCPR membenarkan had terhadap hak diperuntukkan Fasal 19(2) ICCPR, dengan syarat had itu mesti dibenarkan undang-undang dan penting diwujudkan untuk menghormati reputasi orang lain, perlindungan keselamatan negara, ketenteraman awam, kesihatan atau moral masyarakat awam.
Falsafah perundangan menetapkan tiada masyarakat boleh diberi hak kebebasan bersuara tanpa had dinyatakan Hakim Holmes dalam kes Schneck lwn Amerika Syarikat (1919) ‘The most stringent protection of free speech, would not protect a man in falsely shouting fire in a theatre and causing a panic … The question in every case is whether the words used are in such circumstances and are of such a nature as to create a clear and present danger that they will bring about the substantive evils that Congress has a right to prevent.’
Soalnya bukan sama ada perlu atau tidak letak had hak kebebasan suara, tetapi setakat mana ia perlu. Meskipun Malaysia belum tandatangani dan meratifikasi ICCPR dan tentu tidak terikat dengan kovenan itu, UDHR 1948 memberi panduan umum tidak mengikat, manakala peruntukan mengehadkan hak kebebasan bersuara pada Fasal 10(2)(a) Perlembagaan Persekutuan tidak bercanggah dengan kehendak undang-undang antarabangsa.
Oleh yang demikian, kewujudan undang-undang seperti Akta Hasutan 1948 serta undang-undang lain bertujuan mengawal hak kebebasan bersuara ternyata langkah wajar bagi mengimbangi hak itu dengan tugas dan tanggungjawab menjaga keselamatan negara, keharmonian antara kaum dan khususnya kedudukan Islam sebagai agama negara yang dijamin Fasal 3(1) Perlembagaan Persekutuan.
Taksub pandangan Barat
Namun, akhir-akhir ini wujud pihak yang masih enggan mengiktiraf, malah sengaja cuba bermain api bagi menimbulkan keresahan masyarakat berbilang kaum negara ini. Golongan ini taksub dengan pandangan bahawa acuan dan amalan nilai sekular Barat satu-satunya formula terbaik mengekalkan kesejahteraan dan perpaduan masyarakat Malaysia.
Bagi mereka, prinsip sekularisme memisahkan peranan agama dari ruang awam perlu diamalkan seluasnya demi memberi hak ‘sama rata’ semua penganut agama. Namun, prinsip itu tidak semestinya mampu beri hak sama kepada semua penganut agama apabila kita ambil kira kedudukan Islam sebagai agama negara, realiti sejarah dan latar belakang sosiobudaya negara ini.
Kedudukan Islam dalam Perlembagaan Persekutuan bukan sekadar agama rasmi seperti sering didakwa golongan sekular diterangkan secara jelas dalam duluan kes Meor Atiqulrahman lwn Fatimah Sihi & Lain-lain [2001] 1 MLJ 393 sebagai “..agama yang utama di antara agama-agama lain yang dianuti di negara seperti Kristian, Buddha, Hindu. Islam bukan setaraf dengan agama lain. Bukan duduk berganding bahu dengan agama lain atau berdiri sama sama tegak… Jika bukan sedemikian, Islam bukanlah agama bagi Persekutuan, tetapi adalah salah satu di antara beberapa agama yang dianuti di wilayah ini dan setiap orang sama bebas mengamalkan mana-mana agama dianuti,”.
Dalam kes Menteri Dalam Negeri & Lain-lain lwn Titular Roman Catholic Archbishop of Kuala Lumpur [2013] 8 CLJ 890, Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Abdul Aziz Abdul Rahim juga menegaskan “Article 3 is not a mere declaration. But it imposes a positive obligation on the Federation to protect, defend and promote Islam and to give effect by appropriate state action, to the injunctions of Islam…”
Kedua-dua keputusan penting di atas menegaskan peranan Islam sebagai agama negara ini. Obligasi positif Kerajaan Persekutuan untuk melindungi, membela serta mempromosi Islam bertujuan memastikan kestabilan umat Islam yang pada hakikatnya umat teras di negara ini dan kestabilan mereka menjamin keharmonian beragama penganut agama lain.
Bagi mereka yang cuba timbulkan keresahan melalui penulisan di alam maya – kes peguam Eric Paulsen yang melabel khutbah Jumaat sebagai mempromosi ekstremisme, penulis Zurairi AR membesar-besarkan kempen bersolidariti dengan orang Islam tidak berpuasa pada Ramadan, penulis Farouk A Peru menyokong tindakan makan di khalayak ramai ketika bulan itu juga, serta tindakan segelintir pemimpin politik mempersoal kewujudan JAKIM dan institusi Mahkamah Syariah – semua ini mencetuskan keresahan masyarakat Islam.
Prasangka berterusan
Malangnya, ia menimbulkan prasangka berterusan sesama mereka dan terhadap penganut agama lain. Ini menghakis aspirasi Fasal 3(1) Perlembagaan Persekutuan. Oleh itu, masyarakat pelbagai kaum yang menjunjung prinsip ‘aman dan harmoni’ dalam Fasal 3(1) serta prinsip Rukun Negara mesti menolak usaha menyebarluaskan kebiadaban atas nama hak kebebasan bersuara.
Negara Barat yang sedang menuju zaman kegelapan sebenarnya sudah kehilangan asas kekuatan mereka apabila mengizinkan nilai sekularisme dan hak kebebasan mutlak memandu masyarakat. Oleh kerana kesan trauma peperangan Dunia Kedua dan gerakan menolak autoriti beragama serta peranan gereja dalam pemerintahan berleluasa, mereka kehilangan arah mencari makna hak kebebasan yang memberi kesejahteraan berpaksikan tanggungjawab terhadap Tuhan.
Sebaliknya, autonomi individu mutlak dilihat sebagai jalan keluar untuk menggapai makna kebahagiaan menurut perspektif mereka. Justeru, perlecehan terhadap agama juga sering diiktiraf sebagai hak kebebasan bersuara yang perlu diberi kepada setiap individu secara mutlak.
Pendirian dan tindakan seumpama ini tidak sesuai dengan negara kita, oleh kerana bercanggah dengan aspirasi Perlembagaan Persekutuan yang mendaulatkan Islam sebagai agama negara dan mengizinkan amalan penganut agama lain dilakukan menurut prinsip ‘aman dan harmoni’.
Penulis adalah Peguam dan Ketua Eksekutif, Pusat Penyelidikan dan Advokasi Hak Asasi Manusia (CENTHRA)
sumber: Berita Harian – http://www.bhplus.com.my/node/177329
1 comment
Comments feed for this article
1 September, 2016 at 7:17 am
Mahkamah Putuskan Presiden ISMA Bersalah – Membuat Eric Paulsen TIDAK LENA Tidur? | Karim's Blog
[…] Barat hilang arah cari makna hak kebebasan […]