You are currently browsing the daily archive for 30 August, 2016.
KUALA LUMPUR 29 Ogos – Sistem pengebilan Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang baharu dan lebih mesra pengguna akan memudahkan 8.5 juta pelanggan melayari dan mengurus akaun mereka melalui portal myTNB.
Dengan pengenalan itu, pelanggan boleh membayar, mengurus dan memeriksa bil menggunakan aplikasi telefon pintar mahupun laman portal.
Sistem baharu menjadikan kerja- kerja pengebilan lebih bersepadu dan terkini serta berupaya menyelesaikan pelbagai masalah yang timbuldalam sistem terdahulu.
Teknologi yang digunakan dalam sistem itu menyamai apa yang digunakan oleh lebih 400 buah syarikat pembekal tenaga elektrik di seluruh dunia seperti Amerika Syarikat, Kanada, United Kingdom, Australia. Malah, ia menjimatkan masa pelanggan TNB di seluruh Semenanjung Malaysia.
Menurut Pengurus Besar Kanan (Perkhidmatan Pengguna) Bahagian Pembahagian TNB, Ir. Kamaliah Abdul Kadir, perubahan dilakukan ke rana semakin ramai memilih pembayaran, menerima dan pemindahan wang melalui aplikasi internet yang lebih mudah tanpa mengira masa dan tempat.
Sehubungan itu, TNB berkeyakinan untuk memperkenalkan cara terbaharu pembayaran bil elektrik secara dalam talian dan menerusi aplikasi dalam telefon bimbit sama ada di Google Play atau Apple Store.
“Menerusi cara ini, pelanggan tidak lagi perlu bersesak-sesak ke kaunter dan menunggu giliran untuk membayar bil kerana transaksi dan pelbagai perkhidmatan lain turut ditawarkan menerusi portal layan diri dan aplikasi mudah alih tersebut.
“Cara ini juga membolehkan pelanggan mengurus akaun dan menyelesaikan urusan dengan lebih mudah.
“Melalui medium ini juga, permohonan bekalan elektrik dan penamatan akaun juga boleh dilakukan di hujung jari. Sekiranya anda tinggal di Kuala Lumpur dan ingin menutup akaun di kampung, segalanya amat mudah dilakukan secara dalam talian sahaja. Ia akan menjimatkan masa kerana tidak lagi perlu pulang ke kampung halaman semata-mata untuk menguruskan penamatan akaun,” katanya.
Tambahnya, transformasi ini turut merangkumi sistem pemberitahuan mengikut masa nyata untuk sebarang pembayaran yang dibuat menerusi mana-mana ejen kutipan TNB termasuk pejabat pos dan bank.
Ketika ini, TNB merangka kerjasama dengan 40 rakan dagangannya untuk menggunakan sistem baharu itu yang akan meningkatkan mutu perkhidmatan syarikat.
Perpindahan ke sistem baharu ini membolehkan TNB menghantar notis pemberitahuan pembayaran bil dan ucapan terima kasih kepada pelanggan yang membuat pembayaran menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS).
Sebelum ini, laman portal TNB dibahagikan kepada empat laman sesawang untuk pelanggan yang ingin membuat semakan atau bayaran bil, agensi pukal, kontraktor dan laman korporat, tetapi dengan laman sesawang baharu ini, ia meliputi segalanya yang diperlukan oleh pelanggan dalam pelbagai sektor. – sumber: UTUSAN
Recent Comments