Bagaimanakah hendak kita bayangkan keadaan gelap gelita di dalam kubur yang sunyi dengan keadaan kita yang berseorangan. Dengan keadaan cahaya yang sentiasa ada di sekeliling kita walaupun dalam keadaan malam yang gelap – tetap ada sedikit sumber cahaya dari sudut sana sini yang sukar untuk kita bayangkan kegelapan sebenar yang gelap gelita dengan penuh kesunyian bersendirian.

Sepinya saya dari alam maya blog dan FB ini, beberapa hari lalu, telah memberi pengalaman baharu untuk merasai sendiri keadaan sedemikian. Bertambah terasa apabila baru sangat beberapa hari letakkan jenazah ayah mertua ke dalam liang lahat sambil membetulkan posisinya mengadap kiblat.

gelap-gelitaBagi yang tidak pernah merasainya, sukar untuk mendapat gambarannya. Gelapnya suasana sehingga tangan sendiripun tidak mampu kita lihat hatta dibawa ke hadapan mata hingga tersentuh batang hidung pun masih tidak nampak. Teringat pengkisahan yang dinukil seorang ulamak bahawa  semut yang hitam berjalan di bawah batu yang hitam dalam keadaan gelap gelita pun Allah tahu apatah lagi segala perbuatan kita sama secara terangan mahupun yang cuba kita sorok semuanya tercatit oleh para malaikat yang diberi tugas demikian.

Sunyi sepinya keadaan sehingga sesekali setitis air yang jatuh pun mampu didengar dengan jelas. Namun, tiada air yang menitis. Tiada suara sahabat handai dan sanak keluarga yang kedengaran. Jauh sekali bunyi bising hiruk pikuk kota yang sibuk. Jauh sekali terdengar pelbagai mesej WhatsApp yang masuk setiap 10 saat yang benar-benar menggangu kehidupan harian kita kini. Terasa damai sekali. Namun pelbagai perasaan mulai menggangu dalam kesunyian sedemikian. Takut dan seram – apakah ada makhluk lain yang turut berada bersama kita dalam keadaan kita berseorangan begitu. Apakah reaksi kita jika tiba-tiba menjelma ia di hadapan kita? Lari? Ke mana hendak pergi? Jerit? Siapa yang dengar?

Bagi yang mempunyai masalah Claustrophobia, berada dalam gua yang sempit, gelap lagi sunyi – amat mencabar. Perasaan bimbang dan risau turut menggangu – kalau-kalau nanti tiada orang yang tahu untuk mencari kita jika berlaku apa-apa. Kerana tiada peralatan komunikasi yang dibawa. Walaupun jika dibawa sekali, tiada pembekal telekomunikasi yang menyediakan stesen pemancar jauh ke dalam gua yang sunyi.

Tiada apa peralatan yang bercahaya dibawa ke dalam. Hanya dipimpin oleh seorang pembimbing untuk masuk jauh ke dalam sudut gua berpandukan lampu suluh beliau sebelum beliau meninggalkan dan hanya datang kembali setelah sekalian lama ditinggalkan hingga terasa lapar.

Begitulah yang dialami dengan pelbagai pengalaman yang mencabar selama empat hari tiga malam yang lalu. Ia mampu membina kekuatan dalaman. Ianya memberi kedamaian yang sangat dicari. Sudah pasti ia mampu mengingatkan tentang orang-orang yang telah kita tinggalkan di dalam liang lahad. Mungkin kita sudah semakin lupa akan mereka. Kita semakin lupa untuk mengirim sedekah kepada ibu bapa kita yang sudah pergi. Mereka amat mengharapkan.

Advertisement