ismail minaBANGI, 3 Safar 1438H, Khamis – Kerajaan tidak seharusnya menangguhkan lagi usul Rang Undang-Undang (RUU) Persendirian Akta 355 daripada dibahaskan pada sidang Dewan Rakyat penggal ini, kata Presiden Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (Muafakat), Ismail Mina Ahmad.

Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan supaya lebih bersikap serius dalam pelaksanaan undang-undang Islam, khususnya menaik taraf perundangan syariah di Malaysia.

“Ia sudah pun disenaraikan dan kita tidak mahu nanti ada persepsi bahawa apa yang dibawa oleh PAS itu bukan sahaja ditentang oleh bukan Islam, tetapi orang Islam sendiri.

“Malah, kita bimbang akan wujud persepsi bahawa UMNO dan kerajaan yang tidak suka terhadap perundangan syariah dinaik taraf di negara ini. Jadi kita tak perlu tunggu lagi. Segerakan ia supaya boleh dibahaskan bagi penggal kali ini,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.

Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, kemungkinan usul RUU 355 yang dibawa oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang tidak sempat untuk dibahas pada sidang Dewan Rakyat kali ini.

Ia berikutan usul pindaan yang sepatutnya dibahaskan telah diturun daripada senarai nombor 4 kepada nombor 7 di dalam kertas perintah mesyuarat pada sesi terakhir Dewan Rakyat tahun ini.

Mengulas perkara itu, Ismail berkata, kerajaan juga perlu mempertimbangkan untuk meletakkan usul RUU 355 sebagai keutamaan supaya ia dapat segera diputuskan.

“Soal sempat tidak sempat dibuat oleh manusia. Kita yang menentukan sempat atau tidak. Kita faham, usul kerajaan itu perlu didahulukan, tetapi apakah usul kerajaan mahu didahulukan itu tidak boleh ditangguh bagi beri ruang kepada RUU 355 ini. Ia juga adalah ‘urgent’ untuk maslahah orang Islam.

“PAS mungkin tidak akan merasa tekanan kerana ‘bola ada di kaki kerajaan’. Kerajaan yang sepatutnya lebih serius dengan perkara ini. Jangan turun, turun nanti terus hilang usul itu.

“Jika kerajaan membiarkan ia ditangguhkan lagi bermakna ia jelas kerajaan tidak serius mahu ia terlaksana. Ia secara tidak langsung memberi kesan kepada mereka,” katanya.

Usul itu menjadi kontroversi selepas beberapa pemimpin bukan Islam dari kalangan parti rasis dan cauvinis, DAP termasuk rakan komponen Barisan Nasional (BN) iaitu MCA serta MIC menentang dan menyifatkan ia sebagai undang-undang Hudud.

Perkara itu mencetuskan beberapa siri ugutan dari pemimpin MCA dan MIC untuk meletakkan jawatan mereka sekiranya undang-undang itu diluluskan di Parlimen.

SUMBER: http://www.ismaweb.net/2016/11/ruu-355-apakah-umno-kerajaan-tidak-suka-perundangan-syariah-soal-muafakat/