Tanah Melayu yang kita diami sekarang ini, yang disebut sebagai Malaysia, bukan bermula pada tahun 1963. Bukan juga bermula dengan tarikh 31 Ogos 1957.

Begitu juga Singapura bukan bermula dari Raffles mula mendarat di pulau Temasek pada tahun 1819. Pulau tersebut adalah di bawah jajahan takluk kesultanan Johor.

Sama juga dengan Pulau Pinang yang asalnya sebahagian Kedah bukannya Francis Light yang “menjumpainya” pada tahun 1786. Bersama dalam rombongan Light ketika itu, seorang pencatit ada mencatatkan bahawa di kawasan Batu Uban pada ketika itu sudahpun ada satu perbandaran (municipality) bukannya sebuah kampung. Bermakna sudah ramai manusia yang menghuni di pulau dan ada sistem yang tersusun yang Light baru jumpa.

buku-asalusulmelayu-zaharahBegitulah juga asal usul orang Melayu ini bukannya orang yang datang kemudian. Kononnya kita ini bermula dengan “proto Malays” yang berasal dari utara benua turun ke Semenanjung ini – apa buktinya? Tetapi yang sahih ialah bukti terkini – iaitu mtDNA orang Melayu adalah terlebih tua daripada orang-orang di Tanah Besar Cina. Malah mtDNA kita beribu tahun lebih tua daripada mtDNA mereka. Mana mungkin orang Melayu yang telah berpuluh ribu tahun di Alam Melayu dikatakan datang kemudian.

Anda boleh dapatkan dan baca sendiri kajian saintifik tentang Asal Usul Melayu tulisan Puan Zaharah Sulaiman.

Kita kena faham sejarah migrasi manusia sejak kejadian Adam, bagaimana anak-cucu kaum Adam ini berpindah randah memenuhi muka bumi ini.

petikan Utusan:

Kajian sahkan Melayu bukan pendatang

KUALA LUMPUR 9 Julai 2013- Kajian ilmiah oleh seorang penyelidik mengesahkan bahawa orang Melayu adalah kaum asal di rantau Nusantara ini dan bukannya golongan pendatang seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak.

Penulis dan penyelidik sejarah, Zaharah Sulaiman yang bakal menerbitkan hasil kajiannya tidak lama lagi berkata, bukti menerusi pemetaan genetik dan artifak arkeologi mendapati masyarakat Orang Asli Semang dan Senoi yang mendiami Benua Sunda (Asia Tenggara) merupakan nenek moyang kepada populasi Melayu Proto dan kaum Melayu hari ini.

“Pengesahan ini jelas sekali menolak dakwaan buku Contesting Malayness: Malay Identity Across Boundaries yang diterbitkan oleh National University of Singapore (NUS) yang menyatakan kaum Melayu berasal daripada campuran kaum-kaum dari selatan China dan India,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Wacana Mengenali dan Menjejaki Perjalanan Bangsa Melayu dan Asal Usulnya anjuran Kelab Wartawan Muda Malaysia di sini, semalam.

Buku susunan Profesor Madya di Jabatan Sejarah NUS, Timothy P. Barnard yang diterbitkan pada 2004 mendakwa kaum Melayu tiada asas untuk menjadi kaum yang nyata kerana ia adalah campuran daripada kaum-kaum lain.

Ekoran itu, buku berkenaan mencadangkan kaum Cina dan India di Malaysia diberikan taraf bumiputera kerana orang Melayu sebenarnya berasal daripada salasilah kedua-dua kaum itu.

Zaharah berkata, kajian yang dilakukannya bersama beberapa penyelidik lain sejak 2009 mendapati masyarakat Semang dan Senoi berasal daripada manusia asal di Afrika yang berhijrah ke rantau ini sejak 65,000 tahun dahulu.

“Kumpulan yang telah berhijrah ke Benua Sunda ini merupakan nenek moyang kepada manusia moden hari ini termasuk di Asia Timur dan Amerika.

“Kajian juga mendapati orang Jawa, Dayak, Batak, Champa, Madagascar dan Polynesia juga mempunyai genetik asal daripada Semang dan Senoi dan oleh itu mereka juga orang Melayu,” katanya.

“Saya harap kajian ini akan menyemarakkan kembali semangat Melayu dan membuatkan mereka tidak lagi malu menjadi Melayu yang mengikut sejarah, panggilan ini bermaksud ‘orang gunung’,” katanya.

Tambahnya, faktor letusan gunung berapi, gempa bumi, banjir besar dan tsunami menyebabkan Benua Sunda telah terpisah sehingga membentuk Semenanjung Malaysia, Sumatera, Jawa, Filipina dan Borneo.

“Selat Melaka sekarang sebenarnya adalah salah satu daripada sungai-sungai yang terdapat di Benua Sunda dan ini dapat menjawab persoalan para pengkaji kenapa selat ini sangat cetek,” ujarnya.
Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130710/dn_05/Kajian-sahkan-Melayu-bukan-pendatang#ixzz4RkCoE78V
© Utusan Melayu (M) Bhd

 

Advertisement