KEDAULATAN mahkamah syariah diiktiraf oleh Perlembagaan Persekutuan sebagaimana termaktub dalam Butiran 1, Senarai Negeri, Jadual Kesembilan.

Secara terperinci prinsip utama bidang kuasa mahkamah syariah yang termaktub dalam butiran berkenaan adalah seperti berikut: Pertama, hanya terhad kepada orang Islam. Oleh itu, bukan Muslim tidak perlu bimbang dengan agenda politik yang cuba menakut-nakutkan mereka.

Kedua, terhad kepada perkara yang terkandung dalam Butiran 1 dan tidak termasuk perkara-perkara lain dalam senarai Persekutuan dan senarai negeri.

Butiran 1 menetapkan bidang kuasa mahkamah syariah hanya kepada perkara berkaitan kekeluargaan, zakat, hibah, amanah, pewarisan, wakaf, masjid, surau dan sebagainya.

Manakala dalam hal kesalahan jenayah syariah pula bidang kuasanya terbatas kepada: “…offences by persons professing the religion of Islam against precepts of that religion, except in regard to matters included in the Federal List.”

utusan-martabat-perundangan-syariah-dnd-26dis2016Justeru, Perlembagaan Persekutuan sendiri yang menghalang mahkamah syariah membicarakan atau menghukum kesalahan yang terkandung dalam Kanun Keseksaan serta undang-undang lain di bawah senarai Persekutuan.

Oleh itu, kesalahan seperti mencuri, merogol, rasuah, pecah amanah, merompak dan ragut tidak termasuk di bawah bidang kuasa mahkamah syariah.

Ketiga, tertakluk kepada had hukuman maksimum yang ditentukan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 iaitu penjara tiga tahun, denda RM5,000 dan enam sebatan.

Hukuman maksimum itu telah berkuat kuasa selama 32 tahun sejak 1984, sedangkan kebanyakan hukuman lain di mahkamah sivil di bawah Kanun Keseksaan dalam kesalahan jenayah, telah ditingkatkan berulang kali.

Justeru, langkah Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang membawa usul persendirian Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 atau Rang Undang-Undang 355 (RUU 355) di Dewan Rakyat pada 24 November lalu tidak boleh disifatkan sebagai unconstitutional (tidak mengikut Perlembagaan).

Kesimpulannya, langkah meminda akta sedia ada akan memberikan autonomi lebih luas kepada negeri untuk membendung gejala maksiat dan salah laku syariah.

Jika pindaan RUU 355 diluluskan Parlimen, perkara itu tidak akan meningkatkan kadar hukuman secara automatik sebaliknya Dewan Undangan Negeri (DUN) perlu meluluskan tahap hukuman bagi setiap kesalahan dalam enakmen-enakmen syariah yang sedang berkuat kuasa di negeri itu terlebih dahulu.

Peluang untuk berbahas mengenai kadar hukuman yang munasabah masih terbuka di peringkat DUN. Selain daripada kesalahan dalam enakmen jenayah syariah, perkara lain yang berkaitan kekeluargaan seperti kahwin lari, poligami tanpa kebenaran, tidak bayar nafkah, melarikan anak dara daripada jagaan dan sebagainya masih tidak berubah.

RUU 355 ini tidak memperuntukkan sebarang undang-undang hudud. Pilihan untuk menaikkan hukuman kepada kadar yang lebih tinggi adalah terpulang kepada negeri-negeri untuk memastikan keberkesanan penguatkuasaan undang-undang.

Pindaan itu adalah bertujuan meningkatkan hukuman bagi memperkasakan mahkamah syariah untuk mengawal moral umat Islam yang sekarang berhadapan dengan gejala sosial amat serius.

Jika hukuman terhadap kesalahan persetubuhan luar tabii dengan haiwan dalam Seksyen 377, Kanun Keseksaan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda atau sebatan maka hukuman mahkamah syariah untuk kesalahan terhadap manusia adalah terlalu ringan.

Adakah kita ingin biarkan undang-undang sedia ada melindungi kehormatan binatang lebih daripada kehormatan manusia? Haruskah hukuman menyetubuhi haiwan lebih tinggi dan menggerunkan berbanding meliwat manusia?

Berkenaan dengan isu kesamarataan seperti yang disebutkan dalam Perkara 8, Perlembagaan Persekutuan. Perkara itu hanya merujuk kepada kategori sama. Islam dan bukan Islam bukan kategori yang sama.

Pindaan itu telah dicadangkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sejak hampir 10 tahun lalu. Namun, kerana kekangan birokrasi menjadi faktor kelambatan, maka lebih mudah dibentangkan secara persendirian.

DATUK PROF. MAHAMAD NASER DISA

Ketua Pegawai Eksekutif Institut Kajian Strategik Islam Malaysia (IKSIM)

Advertisements