Polarisasi Kaum, Kumpulan Pelampau Islam dan Kumpulan Sekular Sempit adalah tiga alasan yang diberikan oleh kumpulan yang mahu mengusulkan supaya Rukun Negara dijadikan mukadimah kepada Perlembagaan Persekutuan (RMP). Kumpulan yang diketuai oleh Dr Chandra Muzaffar antara lain menegaskan, “Sebagai Muqadimah, lima matlamat Rukun Negara akan dianggap sebagai matlamat nasional yang mencerminkan aspirasi rakyat kita. Lima prinsip Rukun Negara pula akan diterima sebagai garis panduan yang menentukan pendekatan kita kepada matlamat nasional kita. Kedua-dua matlamat dan prinsip-sekiranya Rukun Negara diterima sebagai Muqadimah Perlembagaan-akan memiliki taraf undang-undang.” Ia sepertimana yang dipetik daripada blog Tun Hamid.

menara-hamidchandraTun Hamid, bekas Ketua Hakim Negara  tidak bersetuju dan menulis panjang lebar untuk menjelaskan pendirian tersebut. Tun Hamid antara lain merujuk kepada kajian yang dibuat oleh Liav Orgad ‘The Preamble In Constitutional Interpretation’ yang pada pendapat beliau telah melakukan satu kajian yang sangat mendalam dengan hujah-hujah yang sangat mantap. Namun Tun Hamid ada menegaskan bahawa beliau tidak menerima pandangan Liav Orgad bulat-bulat kerana mengambil kira keadaan di Malaysia.

Tun Hamid menjelaskan, semasa penggubalan Suruhanjaya Reid tidak timbul cadangan untuk mengadakan sebarang bentuk mukadimah kepada Perlembagaan Persekutuan. Tun Hamid menulis “Anggapan saya ialah, baik UMNO, Raja-Raja Melayu atau mana-mana pihak kesemuanya tidak mencadangkan supaya diadakan muqadimah”. Tegasnya, Malaysia kini sudah 60 tahun, membangun dengan pesat dan maju tanpa muqadimah.

Tun Hamid menimbulkan persoalan, apakah ketiga-tiga persepsi yang ditimbulkan oleh kumpulan tersebut timbul kerana ketiadaan muqadimah dalam Perlembagaan?

Menurutnya memang mudah untuk mencari kelemahan, namun adakah kelemahan itu disebabkan oleh ketiadaan muqadimah dalam Perlembagaan? Negara lain yang keadaannya lebih teruk pun ada yang mempunyai muqadimah. Tegas Tun Hamid, sebenarnya masalah hubungan sesama kaum adalah masalah yang telah wujud semasa zaman pemerintahan British lagi.

“Di zaman pemerintahan British polarisasi kaum seolah-oleh merupakan ‘falsafah negara’. “Hampir tidak ada langsung hubungan di antara kaum.”
Oleh itu kewujudan kumpulan-kumpulan pelampau bukanlah kerana ketiadaan mukadimah dan jika ada pun diwujudkan muqadimah, pada pandangan Tun Hamid, kumpulan pelampau-pelampau tadi sebenarnya tidak akan mempedulikan kewujudannya.

Perlu dijelaskan bahawa perbincangan mengenai peranan muqadimah dalam tafsiran undang-undang biasanya mengenai muqadimah yang telah wujud semenjak perlembagaan asal dibuat. Maka hujah seperti itu tidak boleh dikemukakan jika muqadimah itu dibuat 60 tahun kemudian.

“Saya khuatir apabila Rukunegara telah dijadikan muqadimah yang mempunyai kuatkuasa undang-undang dan hakim-hakim dikehendaki menggunanya dalam mentafsir Perlembagaan akan terbitlah penghakiman-penghakiman yang mungkin bercanggah atau tidak selaras dengan tujuan peruntukan-peruntukan yang sedia ada. Walaupun peruntukan yang khusus.”

Sambung Tun Hamid “Saya tidak menentang Rukun Negara. Saya hanya tidak bersetuju ia dijadikan muqadimah Perlembagaan 60 tahun selepas Perlembagaan berkuatkuasa dan memberinya kuatkuasa undang-undang. Dari segi undang-undang, saya tidak nampak kesan yang positif.”

“Sebenarnya menjadikan Rukun Negara sebagai muqadimah Perlembagaan selepas 60 tahun Perlembagaan berkuatkuasa adalah lebih merbahaya. Biarlah Perlembagaan kekal sebagai Perlembagaan dan Rukun Negara kekal sebagi Rukun Negara. Yang penting ialah semua rakyat Malaysia merupakan taat setia mereka kepada Malaysia dan menghormati peruntukan-peruntukan Perlembagaan dan hak-hak yang telah dipersetujui dan termaktub di dalamnya. Itu sahaja yang perlu dilakukan” tegas Tun Hamid lagi.

Sumber: http://www.menara.my/biar-rukun-negara-kekal-sebagai-rukun-negara-tun-abdul-hamid/

Advertisements