sumber: Berita Harian
Pengumuman bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Zaid Ibrahim, menyertai DAP semalam tidaklah mengejutkan lantaran DAP sedang menghadapi masalah imej yang teruk. Ini ekoran pendedahan demi pendedahan pelbagai pihak mengenai sikap anti-Islam dan anti-Melayu parti tersebut.
[baca juga: Penang Institute, Liberalisme dan Illuminati]
Saya sendiri telah beberapa kali mengulas mengenai sikap negatif DAP terhadap Islam ini dengan memberikan contoh-contoh spesifik mengenainya. Setakat ini, ia tidak mendapat sebarang penafian daripada mana-mana pemimpin DAP yang disebutkan, sekali gus mengesahkan kebenarannya.
Cabaran ketua pengarah Jasa, Dr Puad Zarkashi, supaya DAP mengubah perlembagaannya yang tidak selari dengan Islam mahupun supaya rakan DAP dalam PPBM, PKR dan PAN mencabar DAP meminda perlembagaannya juga tidak bersambut, sekali gus mengiyakan kebaculan mereka.
Ditambah pula dengan serangan berterusan ke atas DAP oleh pemimpin Melayu Islam yang pernah menyertai parti itu seperti Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim, Mohamad Razali Abdul Rahman, Zukifli Mohd Noor dan Rahmad Isahak menjadikan DAP cukup terdesak bagi mencari pengganti mereka.
Seperti pesanan juru acara majlis yang juga pegawai Zaid, Abdul Rashid Khan, kepada penasihat DAP Lim Kit Siang supaya memberi apa yang diminta oleh Zaid, dan pengumuman Zaid akan berceramah di seluruh Malaysia di bawah tiket DAP, sudah tentulah Zaid akan diberi peranan dalam DAP.
Bagaimanapun, jika peranan utama Zaid adalah untuk membina imej DAP sebagai parti politik yang mesra Islam dan mesra Melayu, sekali gus menarik pengundi Islam dan Melayu menyokong DAP, maka imej liberal dan sekular yang terpahat kukuh pada Zaid akan menyebabkan ia sukar dicapai.
Seperti disebut oleh Tun Dr Mahathir Mohamad dalam ucapannya, beliau berada di majlis tersebut dalam keadaan cukup ganjil. Ini kerana beliau selaku pengerusi PPBM serta beberapa pemimpin PPBM lain hadir untuk menyaksikan penyertaan Zaid – yang pernah menjadi ahli Umno – ke dalam DAP.
Kehadiran Mahathir meraikan kemasukan Zaid ke dalam DAP, dan tindakan Zaid menghentam teruk PAS di dalam ucapannya dengan menyifatkan parti itu sebagai “penunggang agama”, “penjaja agama” dan sebagainya malah turut berpotensi menggagalkan rundingan kerjasama PPBM-PAS.
Mahathir sendiri di dalam ucapannya, dan ketika ditanya oleh wartawan mengenai status rundingan kerjasama PPBM-PAS, menyebut bahawa masih ada rundingan tetapi yang utama ialah PPBM akan bergabung dengan parti-parti lain dalam Pakatan Harapan (PH) secara rasmi sebagai satu komponen.
Sukar dibayangkan bagaimana PAS boleh bekerjasama dengan PPBM dalam keadaan ini, apatah lagi bila naib presiden Mohd Amar Nik Abdullah dan timbalan presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man mencadangkan PPBM keluar dari PH untuk menyertai Gagasan Sejahtera (GS).
Tatkala asosiasi pemimpin PPBM dan PAN, yang diwakili Khalid Samad dan Dr Dzulkefly Ahmad, dengan Zaid boleh mendatangkan masalah kepada hubungan PPBM-PAS, kedudukan Zaid sebagai bekas pemimpin PKR juga agak merumitkan, malah tiada pemimpin PKR hadir dalam majlis itu.
Turut menarik perhatian ialah kegagalan Mahathir memberikan jawapan tuntas kepada pertanyaan wartawan yang mahu tahu apa pakatan pembangkang akan lakukan kepada Jakim dan BTN jika mereka berkuasa, dan yang mahu mereka menubuhkan kabinet bayangan dalam bentuk jawatankuasa.
Jawapan ringkas Mahathir bahawa kesemua perkara membabitkan soal dasar mahupun soal lantikan jawatan kerajaan hanya akan dibincangkan selepas pakatan pembangkang memenangi pilihan raya jelas merupakan petanda betapa mereka tiada perancangan dan dipenuhi unsur ketidaktentuan.
Kemasukan Zaid, malah mana-mana pemimpin Melayu Islam lain, ke dalam DAP tetap tidak akan memberikan banyak impak ke atas peluang pakatan pembangkang memenangi undi Melayu Islam selagi mereka, khususnya DAP, tidak menunjukkan komitmen jelas kepada agenda Melayu Islam.
Baca juga: Campur Tangan Kerajaan Pulau Pinang Dalam Fatwa – BUKTI Sudah Jelas!
1 comment
10 February, 2017 at 10:50 am
Penang Institute, Liberalisme dan Illuminati | Karim's Blog
[…] « Parti Cauvinis Terdesak Mahu Perbaiki Imej Anti-Islam […]