Berita Harian membuat liputan Wacana Memperkasakan Mahkamah Syariah dan Perundangan Islam Di Malaysia anjuran Persatuan Alumni Universiti Teknologi MARA (PAUiTM) dengan kerjasama Fakulti Undang-undang UiTM. Wacana tersebut telah diadakan pada 8hb Mac 2017 di Auditorium II Fakulti Undang-undang UiTM Shah Alam.

Dengan tajuk “Konsep wasatiyyah atasi pertindihan kuasa”, Berita Harian pada 9hb Mac 2017, melaporkan bahawa saya mengatakan “Memang RUU355 bukan keutamaan namun ia antara proses ke arah menambah baik undang-undang Islam. Jadi, kenapa ada pemimpin Islam perlu menentangnya? Sokong sahajalah tidak perlu menghasut”. Laporan tersebut tidak tepat dan mengambarkan bahawa saya menganggap usul cadangan pindaan kepada Akta 355 yang dibawa oleh YB Marang Dato’ Seri TG Abdul Hadi Awang itu tidak penting.

Saya perlu perjelaskan laporan tersebut untuk mengelak sebarang salah tafsiran. Maka saya telah menulis kepada BH dan disiarkan (di bawah) penjelasan tersebut. Moga tidak ada yang keliru.

Memang betul ada keutamaan lain yang perlu juga diadakan dalam memperkasakan perundangan Islam seperti memperkenalkan akta untuk hibah, wasiat dan seumpamanya. Namun, jika adapun akta-akta baru itu nanti sedangkan had hukuman di Mahkamah Syariah masih tetap kekal dengan penjara 3 tahun, denda tidak melebihi RM5,000 dan sebatan syariah sebanyak 6 kali, ia tidak membawa apa-apa erti.