⁠⁠⁠Dalam Pilihan Raya Umum (PRU) 2008, MCA diperuntukkan 40 kerusi Parlimen oleh BN. Malangnya, berbanding prestasi baiknya dalam PRU 2004 di mana ia menang di 31 daripada 40 kerusi, ia hanya menang di 15 kerusi.

Kekalahan 25 calonnya kepada 16 calon DAP, 9 calon PKR dan 2 calon PAS menyebabkan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) MCA Subang Jaya 1995-2008, Datuk Lee Hwa Beng, menyimpulkan bahawa MCA hanya menang di kerusi campuran. Kata beliau, MCA menang kerana sokongan pengundi Melayu, bukan pengundi Cina.

Ekoran prestasi menjunam MCA ini, Tan Sri Ong Ka Ting pun tidak mempertahankan jawatannya dalam Mesyuarat Agung Tahunan (MAT) MCA pada 18 Oktober 2008 sekali gus membuka jalan kepada Tan Sri Ong Tee Keat menjadi Presiden MCA.

Dalam pemilihan jawatan Presiden dalam MAT MCA pada 28 Mac 2010 pula, Tee Keat dan Ka Ting dikalahkan oleh Tan Sri Dr Chua Soi Lek. Di bawah kepimpinan Soi Lek, MAT MCA pada 28 April 2011 membuat keputusan menolak jawatan kerajaan di semua peringkat jika prestasi MCA dalam PRU 2013 lebih teruk dari PRU 2008.

Di sebalik keputusan MAT MCA ini, prestasi MCA dalam PRU 13 ternyata lebih teruk, di mana ia hanya menang di 7 daripada 37 kerusi Parlimen yang ditandinginya. Menepati rumusan Hwa Beng, MCA kalah lebih teruk di kawasan ramai pengundi Cina dan hanya menang tipis di kawasan campuran kerana sokongan pengundi Melayu.

7 calon MCA yang menang ini ialah Datuk Chua Tee Yong dengan 353 undi di Labis, Datuk Seri Liow Tiong Lai dengan 379 undi di Bentong, Khoo Soo Seang dengan 1,767 undi di Tebrau, Dato’ Seri Ong Ka Chuan dengan 4,328 undi di Tanjong Malim, Dato’ Sri Wee Jeck Seng dengan 5,457 undi di Tanjong Piai, Datuk Seri Ir Dr Wee Ka Siong dengan 7,310 undi di Ayer Hitam dan Datuk Koh Nai Kwong dengan 11,597 undi di Alor Gajah.

Lanjutan kekalahan lebih teruk MCA ini, Soi Lek pun tidak mempertahankan jawatan Presiden MCA menyebabkan ia berpindah tangan kepada Tiong Lai yang mengalahkan Gan Ping Sieu dan Tee Keat dalam MAT MCA pada 21 Disember 2013.

Cubaan Tiong Lai supaya MCA menerima semula jawatan kerajaan dalam Mesyuarat Agung Luar Biasa (MALB) MCA pada 20 Oktober 2013 bagaimanapun menemui kegagalan dan hanya diluluskan dalam MALB MCA pada 23 Februari 2014 setelah beliau mengetuai MCA.

Menyusulinya adalah tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, memasukkan semula MCA ke dalam kerajaan.

Pada 25 Jun 2014, Tiong Lai dan Ka Siong, Timbalan Presiden MCA, dilantik sebagai Menteri manakala tiga Naib Presiden MCA, iaitu Datuk Chua Tee Yong, Senator Datuk Lee Chee Leong dan Senator Datin Paduka Chew Mei Fun, dilantik sebagai Timbalan Menteri. Pada 28 Julai 2015 pula, Ka Chuan dilantik sebagai Menteri manakala Senator Chong Sin Woon dilantik sebagai Timbalan Menteri.

Meneliti ucapan rasmi Tiong Lai dan Ka Chuan selaku Presiden dan Setiausaha Agung MCA, ternyata mereka menghargai prinsip perkongsian kuasa dengan UMNO di dalam BN.

Dalam ucapan dasarnya di MAT MCA pada 13 November 2016, Tiong Lai memuji Najib kerana sewaktu Najib menjadi Menteri Pendidikan pada 1996-lah Akta Pendidikan dipinda sehingga membolehkan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) Sekolah Cina diiktiraf oleh universiti swasta dan Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM).

Pujian sama diberikan oleh Ka Chuan dalam ucapannya di majlis sambutan ulang tahun ke-68 MCA pada 5 Mac 2017 ke atas tindakan kerajaan menyetujui penubuhan Kolej Tunku Abdul Rahman (KTAR) pada 14 Julai 1968 dan menaikkan taraf KTAR menjadi universiti pada 5 Disember 2012 sehingga ia berjaya melahirkan 180,000 profesional dan berbangga dengan Institut Pengajian Cina terbesar di Malaysia dan Singapura.

Ka Chuan juga berkata, kejayaan MCA adalah berpunca dari kekuatan politiknya, di mana Akta Pendidikan dipinda pada 1996 ekoran prestasi cemerlang MCA pada PRU 1995, begitu juga kejayaan membina dan memindahkan 89 sekolah rendah Cina yang dikatakan berpunca dari prestasi cemerlang MCA pada PRU 1999 dan PRU 2004.

Ucapan Tiong Lai di majlis sambutan ulang tahun ke-68 MCA lebih berterus-terang. Kata beliau, tanpa sokongan Cina, MCA tidak mampu berdiri sama tinggi dengan UMNO. Jika sokongan Cina kepada MCA merosot, kuasa tawar-menawar MCA akan menjadi lemah. Masa sama, beliau menolak desakan supaya MCA keluar dari BN.

Selaras dengan pengakuan MCA mengenai manfaat perkongsian kuasa ini, MCA perlulah sentiasa menjadi rakan kongsi yang baik kepada UMNO.

Bila Najib mengisytiharkan kerajaan akan mengambil-alih Rang Undang-Undang Persendirian bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (RUU 355) umpamanya, MCA perlulah menyokongnya.

[Kalau ada yang tidak faham Akta 355 dan cadangan pindaannya – SILA BACA ini dahulu – klik: Memahami Akta 355 dan Cadangan Pindaannya]

Apatah lagi bila RUU 355 ini adalah bertujuan untuk memenuhi keperluan perlembagaan dan sumpah Yang di-Pertuan Agong untuk memelihara Islam.

Jika kebimbangan MCA adalah bahawa orang bukan Islam mungkin akan terkena tempias daripada pindaan Akta 355 ini, maka perkara ini tidak perlu dirisaukan sama sekali.

Jaminan telah berulang kali diberikan oleh Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri bahawa perkara ini tidak akan berlaku.

Malah pindaan ini akan secara jelas menyebut bahawa ia tidak akan terpakai kepada orang bukan Islam, yang memberi maksud bahawa orang bukan Islam tidak boleh sama sekali didakwa di mana-mana mahkamah syariah.

Pemimpin MCA perlulah mencontohi jiwa besar pemimpin terdahulu yang tidak pernah mempersoalkan akta ini bila ia diperkenalkan dan dipinda.

Bila Tiong Lai sendiri mengakui kedudukan lemah MCA berbanding UMNO, semua pemimpin MCA seharusnya lebih matang dan tidak lantang seperti DAP.

MCA perlu lebih berhati-hati menangani isu agama agar tidak dianggap mengkhianati amanah pengundi Melayu dan kedudukan Islam di dalam perlembagaan.

Sebagaimana UMNO sentiasa berusaha mengakomodasi pelbagai tuntutan MCA, MCA juga perlulah sentiasa memahami kedudukan UMNO dan menghormati perjuangan UMNO.

Kedudukan MCA dalam kerajaan sekarang banyak bergantung kepada sokongan Melayu. Jika sokongan Melayu ditarik balik, Tiong Lai dan MCA tentu akan ditimpa musibah.

Begitulah juga dengan parti-parti komponen BN lain yang seharusnya turut menyokong RUU 355 ini.