PERLU saya tegaskan, negara kita mengamalkan sistem Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen. Namun, kedua-dua frasa ini tidak disebut secara harfiah dalam Perlembagaan Persekutuan. Kedua-duanya difahami menerusi ciri-cirinya sahaja. Raja Berperlembagaan sebagai sebahagian sistem pentadbiran apabila Perlembagaan Persekutuan mengiktiraf kedudukan dan peranan institusi Raja atau Monarki dalam Perlembagaan (Perkara 181 Perlembagaan Persekutuan) serta diberi kuasa tertentu oleh Perlembagaan.

Demokrasi Berparlimen pula diterima kerana ciri-ciri demokrasi, seperti pilihan raya dan wujudnya institusi Parlimen sebagai simbol kepada demokrasi. Dengan ada ciri-ciri Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen itu, Perlembagaan Persekutuan menjadikan sistem Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen berjalan serentak, menjadi semak dan imbang antara satu sama lain.

Setakat ini, kurang perhatian diberi atau masih kurang analisis dibuat mengenai ciri-ciri terperinci bagi maksud sistem Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen yang kita amal sejak 60 tahun lalu. Kita masih ketandusan wacana ilmiah bagi merungkai ciri-ciri sistem itu menurut kefahaman setempat.

Sekiranya ada, wacana berkaitan belum diseragamkan dalam disiplin berkaitan kenegaraan, seperti sosiologi, budaya dan politik, sejarah dan juga perundangan. Kesannya kini, ramai menjadikan model Westminster atau amalan di England sebagai kiblat pengertian Raja Berperlembagaan.

Ini tidak tepat. Kita hendaklah beri perhatian bahawa Perlembagaan adalah undang-undang tertinggi negara dan setiap Raja yang bersemayam juga diamanahkan beberapa kedudukan dan peranan membolehkan baginda bertindak menurut budi bicara dinyatakan Perlembagaan, sedangkan kuasa Ratu England tidak berpunca daripada undang-undang tertinggi, tetapi disokong amalan Perlembagaan sahaja.

England tiada undang-undang bertulis

Sayugia diingat, England tiada undang-undang bertulis dan undang-undang tertinggi di sana ialah Akta Parlimen. Perbezaan kedudukan dan sifat Perlembagaan dalam kedua-dua negara memberi kesan besar kepada kedudukan dan peranan Raja walaupun Tanah Melayu pernah berada di bawah pemerintahan British.

Raja di Malaysia, menerusi Majlis Raja-Raja, mempunyai peranan besar bagi pelantikan jawatan penting Badan Kehakiman, terutama pelantikan dan pemecatan hakim di Mahkamah Persekutuan. Walaupun Raja miliki peranan melantik atau memecat ahli badan kehakiman dan juga badan pelaksana, mereka hendaklah menjalankan tugas secara bebas daripada pengaruh.

Begitu juga peranan Raja berkaitan badan pelaksana. Raja Berperlembagaan mengikut Perlembagaan Persekutuan juga mempunyai peranan dalam pindaan Perlembagaan. Perkara 159(5) adalah contoh terbaik, yang mana beberapa perkara penting dalam Perlembagaan Persekutuan hanya boleh dilakukan dengan perkenan Majlis Raja-Raja.

Dalam soal demokrasi pula ramai yang menganggap demokrasi sama sahaja di mana-mana negara. Walhal, pandangan ini tidak tepat. Demokrasi sebenarnya berubah wajah mengikut tempat dan kesesuaian, walaupun ciri-ciri asas seperti pilihan raya bebas dan adil serta wujudnya institusi Parlimen adalah ciri wajib dalam semua demokrasi yang diamalkan.

Demokrasi mungkin ada amalan dan kesan berbeza dalam sistem yang mempunyai Perlembagaan bertulis dan tidak bertulis. Perlembagaan tidak bertulis meletakkan Akta Parlimen sebagai undang-undang tertinggi menzahirkan sistem ‘Democratic Parliamentary Monarchy’. Oleh itu, ‘Constitutional Monarchy’ atau Raja Berperlembagaan hendaklah dibezakan dengan frasa ‘Democratic Parliamentary Monarchy’ atau Raja dalam Demokrasi Berparlimen.

Dalam sistem Raja dalam Demokrasi Berparlimen, Raja memerintah tetapi tidak mentadbir; Raja cuma mendengar dan ‘mentaati’ keputusan demokrasi. Semua tugasan diangkat dan dilaksanakan kerajaan yang dipilih menerusi Parlimen dan proses demokrasi atau pilihan raya.

Diringkaskan kata, monarki dalam ‘Democratic Parliamentary Monarchy’ adalah semata-mata simbol, yang mana monarki tidak mempunyai sepatah kata, tetapi hanya berfungsi sebagai penaung sistem demokrasi dan berfungsi sebagai institusi mengesahkan sahaja, tanpa kuasa.

Walaupun ciri seperti itu juga ada dalam sistem Raja Berperlembagaan, monarki juga dibekalkan dengan kuasa, peranan atau fungsi seperti dinyatakan dalam Perlembagaan. Kesilapan dalam memahami dua istilah ini akan mewujudkan salah faham amat ketara dalam teori dan falsafah sistem Raja Berperlembagaan. Ia boleh babit salah faham maksud dua sistem ini seterusnya boleh menyebabkan kesilapan besar dalam ketentuan dan manifestasi kuasa Raja seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan Perlembagaan negeri serta amalan demokrasi kita.

Raja masih ada peranan

Dapat dirumuskan bahawa, dalam sistem Raja Berperlembagaan, institusi Raja di Malaysia masih ada peranan penting dalam beberapa urusan atau pentadbiran negara seperti dimaktubkan Perlembagaan.

Raja juga mempunyai beberapa peranan di luar demokrasi dalam tugasannya melaksanakan peruntukan Perlembagaan. Seperti disebut dalam sumpah jawatan, Raja hendaklah memerintah negara menurut peruntukan Perlembagaan, berpaksikan kedaulatan undang-undang, menegakkan keadilan serta menjaga agama Islam.

Oleh itu, dalam menjaga keluhuran Perlembagaan, disebut dalam Perkara 130, Yang di-Pertuan Agong boleh rujuk kepada Mahkamah Persekutuan untuk pendapat apa-apa soal kesan peruntukan Perlembagaan Persekutuan berbangkit atau yang tampak padanya mungkin berbangkit dan Mahkamah Persekutuan hendaklah umum pendapatnya mengenai apa-apa soal yang dirujuk di mahkamah terbuka.

Ini menjadikan pandangan mahkamah telus dan bebas, sekali gus membantu Raja mendapatkan pandangan, seterusnya menjadi Raja Berperlembagaan berwibawa.

Oleh Dr Shamrahayu A Aziz

dipetik dari BH Muka Sepuluh – http://www.bharian.com.my/node/270306

Advertisements