Ingat lagi dalam kes “serbuan” tangkapan khalwat di Selangor pada Disember tahun lalu? Apabila suspek cuba lari dan jatuh bangunan – JAIS dipersalahkan.

Ingat lagi kes di Johor “Ogos lalu, seorang wanita yang cuba lari daripada pegawai Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) menerusi tingkap bilik sebuah hotel cedera selepas jatuh di atas jalan raya.

Ingat lagi yang ini pula? “Pada Mei 2011, seorang bekas anggota polis maut selepas terjatuh dari tingkat 16 sebuah bangunan apabila cuba mengelak tangkapan pegawai Jabatan Agama Wilayah Persekutuan (Jawi).

Yang ini? “Pada April 2010, seorang pelajar berusia 21 tahun maut selepas terjatuh dari tingkat 5 sebuah pangsapuri di Gombak, dipercayai ketika cuba melarikan diri dari serbuan sepasukan pegawai masjid.”

Bagaimana pula dalam kes terbaru ini ini?

Suspek kes rogol maut terjatuh bangunan

KUALA LUMPUR 19 Mei – Seorang lelaki dipercayai suspek kes samun dan rogol di sebuah premis di Bandar Kinrara, Puchong pada 11 Mei lalu maut selepas terjatuh dari tingkat 12 Projek Perumahan Rakyat (PPR) Seri Semarak di sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Serdang, ACP Megat Mohd. Aminuddin Megat Alias berkata, suspek berusia 22 tahun itu cuba melarikan diri selepas polis melakukan serbuan di rumahnya kira-kira pukul 10.10 malam.

“Anggota polis bertindak memecahkan pintu selepas suspek enggan membuka pintu. Suspek kemudiannya cuba melarikan diri ke unit bawah dengan bergayut di ‘grill’ dapur.

“Selepas dipujuk, suspek masih enggan menyerah diri sebelum terjatuh ke bawah,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, lelaki berkenaan kemudiannya dibawa ke Hospital Kuala Lumpur sebelum disahkan meninggal dunia.

Katanya, semakan mendapati suspek mempunyai rekod jenayah berkait dadah dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Selasa lalu, seorang wanita warga Indonesia serta lelaki warga Bangladesh berusia 33 dan 34 tahun yang merupakan mangsa kes berkenaan tampil membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang.

Seorang lagi suspek yang berusia 26 tahun ditahan pada Ahad di Kuala Selangor.

Pada 13 Mei lalu, satu video berhubung kejadian samun dan rogol oleh dua lelaki di sebuah premis Puchong, tular di media sosial. – BERNAMA

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/suspek-kes-rogol-maut-terjatuh-bangunan-1.483256#ixzz4hUYBhRVR
© Utusan Melayu (M) Bhd