Buku Becoming Hannah (BH) oleh YB Hannah Yeoh (2014), Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor mewakili parti DAP sebenarnya adalah sebuah buku cerita biasa dan menarik gaya penulisannya. Buku ini mula popular apabila seorang pensyarah kanan, Prof Madya Dr. Kamarul Zaman Yusoff (PMDKZY) Pengarah Institut Kajian Politik, Universiti Utara Malaysia (UUM) mengulasnya dalam (https://www.facebook.com/kamarul.yusoff.7/posts/1529934363717283) bertarikh 10 Mei 2017. PMDKZY telah berhujah bahawa penulisan YBNY mengandungi unsur-unsur penyebaran agama Kristian secara terbuka termasuklah ke atas orang-orang Islam sesuai dengan pengakuan YBHY sendiri bahawa “Hannah Yeoh, lives for God” (ms. 23). Perbuatan ini, menurut PMDKZY, boleh dianggap telah melanggar peruntukan undang-undang Persekutuan dan Enakmen Kerajaan Negeri Selangor.
2. YBHY membalasnya dengan membuat satu laporan polis ke atas pensyarah berkenaan seperti dilaporkan oleh Malaysiakini dalam http://www.malaysiakini.com/news/382523). YBHY dipetik sebagai berkata bahawa “Apabila saya takut kepada tuhan, saya akan bersungguh-sungguh dalam melakukan pekerjaan dan tidak mencuri wang rakyat. Saya tidak akan menjadi korup kerana tuhan melihat,” tambahnya. Semalam, Yeoh membuat laporan polis terhadap Kamarul Zaman kerana mendakwanya mahu membina semula Malaysia mengikut acuan agama Kristian. Katanya, tulisan itu telah diputar belit dan mempunyai unsur fitnah pada beliau dan partinya DAP.”
3. Sebagai seorang akademik dan aktivis sosio-politik yang sangat prolifik, PMDKZY amat pantas memberi reaksi menerusi laporan polis olehnya yang dimuatnaik dalam facebook beliau (https://www.facebook.com/kamarul.yusoff.7?hc_ref=SEARCH&fref=nf), di mana beliau menyebut “bahawa buku ini merupakan satu cubaan untuk memujuk, mempengaruhi, atau menghasut seorang lain yang bukan beragama Kristian, termasuk yang beragama Islam, supaya menjadi penganut atau anggota agama Kristian atau supaya cenderong kepada agama Kristian.”
4. Selain itu, PMDKZY juga berpendapat “Kesemua cerita ini boleh mendorong pembacanya, termasuk saya, merasa kagum dengan kehebatan Tuhan Hannah Yeoh. Sedangkan pada masa lain beliau selitkan pula catatan mengenai ajaran Kristian yang bertentangan dengan ajaran Islam, termasuklah bahawa manusia adalah anak Tuhan (“His beloved Child” dan “Child of God”, muka surat 22 dan 89) dan Isa/Jesus adalah anak Tuhan dan Tuhan (“the Son of God” dan “God”, muka surat 102).”
5. Beliau yakin bahawa YBHY “….bermaksud supaya buku beliau turut dibaca oleh orang bukan Kristian. Ini tergambar di dalam tulisan beliau berbunyi “Jika kamu bukan seorang Kristian dan sedang membaca buku ini” (“If you are not a Christian and are reading this book”, muka surat 14). Ini selari dengan pendedahan mengenai misi beliau sebagai duta Tuhan dan untuk mencari pengikut (“as “ambassador of God” and to make disciples of others”, ms. 7). Hakikat bahawa Hannah Yeoh memang memaksudkan buku beliau turut dibaca oleh orang bukan Kristian juga terbukti kerana buku ini boleh dibeli oleh sesiapa sahaja, termasuklah yang beragama Islam. Ini diakui sendiri oleh Hannah Yeoh di dalam kenyataan media beliau pada 15 Mei 2017 bahawa buku ini “boleh dibeli secara atas talian di http://www.gerakbudaya.com atau mana-mana gedung buku utama seperti Kinokuniya, MPH, Popular dan Times”.
6. Sehubungan itu, pensyarah itu terfikir bahawa YBHY “mungkin (dihitamkan dan digariskan oleh penulis rencana ini) telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 4(1)(a) Enakmen Kawalan dan Sekatan (Pengembangan Agama Bukan Islam) Selangor 1988 (Enakmen No 1/1988) yang menyebut “Seseorang adalah melakukan kesalahan jika ia memujuk, mempengaruhi, atau menghasut seorang lain yang beragama Islam supaya menjadi penganut atau anggota suatu agama bukan Islam atau supaya cenderong kepada agama itu”.
7. Selain itu, Hannah Yeoh juga mungkin (dihitamkan dan digariskan oleh penulis rencana ini) telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 298(A)(1) Kanun Keseksaan kerana (a) menyebabkan, atau cuba menyebabkan, atau mungkin menyebabkan suasana tidak harmoni, perpecahan, atau perasaan permusuhan, benci membenci atau niat jahat, atau (b) memudaratkan, atau cuba memudaratkan, atau mungkin memudaratkan pemeliharaan keadaan harmoni atau perpaduan, di atas alasan agama.
8. Kebimbangan pensyarah itu juga dibayangkan dengan jelas apabila beliau berkata “…..Saya sendiri pernah mendengar luahan kawan-kawan beragama Islam yang sangat tidak berpuas hati dengan tindakan Hannah Yeoh ini kerana ia dikatakan (dihitamkan dan digariskan oleh penulis rencana ini) bertentangan dengan Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan yang menyebut bahawa agama Islam adalah agama Persekutuan selain bertentangan dengan Perkara XLVIII(1) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor Darul Ehsan yang menyebut bahawa agama Islam adalah agama Negeri.”
9. Demikianlah kisah “drama pendek” antara dua insan ini: seorang adalah ahli politik DAP yang amat komited dengan Kristianiti Evagelismenya dan seorang lagi seorang akademik yang mengkhususkan kajian dalam bidang politik dan pernah menyiapkan tesis PhDnya mengkaji PAS seccara mendalam. Ada kawan berkata: “Pensyarah tu menulis kemungkinan YBHY boleh dikatakan telah melakukan kesalahan dan boleh disabitkan dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan atau Enakmen Negeri Selangor menenrusi bukunya itu. Yang Hannah Yeoh melompat buat laporan PDRM itu apa hal?” Logik juga kata kawan tu. Kalau YBHY tidak bersetuju, jawab sahaja dalam media, kenapa sampai buat laporan PDRM yang kemudiannya mengundang laporan PDRM balas oleh PMDKZY dengan memperjelaskan maksud tulisan asalnya yang mula viral di media sosial. Inilah yang trigger ramai akademik dan pemerhati politik untuk menilai buku ini semula secara kritis.
10. Tepuk dada, tanya selera! Kalau dibaca dengan teliti baris demi baris buku BH itu, tanggapan PMDKZY ada benarnya dan penafian lemah YBHY menerusi laporan PDRMnya itu sebenarnya, daripada segi reversed psychology, “telah membenarkan” dakwaan pensyarah berkenaan! Inilah padahnya apabila kita melompat menari di atas tune muzik yang dimainkan tanpa bertanya sipemain lagu maksud muzik itu dimainkan begitu sahaja atau ingin ditarikan? Ternyata YBHY terlajak kaki dan kini langkah tariannya sumbang tak kena tune muzik yang dimainkan!
11. Teramat sukar untuk YBHY menolak anggapan bahawa sememangnya beliau meneruskan usaha evengalismenya menerusi bukunya yang mengisahkan latar belakangnya sehinggalah beliau berjaya memenangi kerusi DUN Subang Jaya dalam PRU-13 yang lalu. Tidak perlu dihairankan atau diselindung lagi kerana YBHY sendiri berpuas hati mengikuti “kehendak tuhan beliau” dengan tanda-tanda dan prophecies yang dilaluinya sendiri sebagaimana dihuraikannya dalam buku berkenaan. Bukankah YBHY adalah bekas graduan OCFers (Overseas Christian Fellowship) yang sangat komited dan beliau sendiri telah berkata di ms 110 buku tersebut bahawa: “It is here that I want to specially address the OCFers (Overseas Christian Fellowship), wherever you are now, to never forget the mission of being trained and equipped and returning home to serve… We want to encourage fellow OCFers to come home. There is much work to be done to rebuild this beautiful nation. Just like Nehemiah overseeing the reconstruction of Jerusalem’s walls, everyone has to be at it, working. God wants to reclaim politics and public service in Malaysia for righteousness’ sake. He is looking for God-fearing men and women who are willing to roll up their sleeves and labour in this very demanding field. No experience in politics? Remember, I had none. No finances? I had none. Not a good time yet? I just got married when I ran my first campaign. He uses very ordinary vessels to do extraordinary things. He does this so His Name is glorified.” [tanpa terjemahan].
12. Berdiri teguhlah pertahan hujah-hujah anda, wahai “sianak tuhan.” Jangan lari dari medan sebenar. YBHY sendiri telah mencatatkan bahawa sebagai anak didik Overseas Christian Fellowship (OCF) semasa belajar di Tasmania,….”it was drummed in pretty clearly into all OCF Australia members upon completing our degrees, we were to return to our home countries as “ambassadors of God” and to make disciples of others. I was an active member of OCF Hobart, even co-leading a cell group of other students…..”
13. Membaca penulisan YBHY dalam BH seakan-akan mengingatkan kita kisah-kisah “penghijrahan” seorang pendakwah muda yang mula mengenali Islam di kampus menerusi usrah, ceramah dan kursus lalu mengaktifkan diri dalam persatuan Islam universiti dan meneruskan usaha dakwahnya di luar kampus termasuk NGO dan parti politik tempatan.
14. YBHY adalah serotang amat percayakan elemen prophecies dalam Kristianiti malah menjadikan ia “jalan hubungan langsung beliau dengan tuhannya.” Ini diperkuatkan lagi dengan YBHY sentiasa cuba mengenepikan perasaan cinta beliau dengan rakan baik seagama Kristiannya, Ram (yang kemudian menjadi suaminya) kerana mahu lebih fokus dan komited dengan agama Kristian yang difahaminya. Beliau menantikan “tanda-tanda daripada Tuhan” untuk endorse perbuatannya supaya “gerak-gerinya benar-benar didorong oleh tuhan kepadanya” dan bukan naluri nafsunya. Ini dapat dibuktikan betapa secara kebetulan nama “Ram” timbul di kaca filem yang ditontonnya dalam kapal terbang dan sekali lagi lagi nama “Ram” dimiliki oleh steward kapal terbang yang bertugas ketika – satu kebetulan yang diterima sebagai “gambaran” untuk memudahkan beliau menerima lamaran Ram kemudiannya – dengan “petunjuk daripada tuhan”.
15. Ringkasnya tulisan YBHY mengingatkan kita kepada penulisan VS Naipal, Among the Believers (1981) yang mengisahkan secara terperinci pengembaraan peribadinya yang boleh mengajak pembaca menyelami perasaannya dalam mengisahkan sesuatu insiden atau kejadian. Sesungguhnya YBHY jelas mempunyai bakat penulisan yang baik dan boleh berjaya tanpa karier dalam bidang politik pun bersama DAP.
16. Bagi pensyarah berkenaan dan kita percaya ramai lagi umat Islam di Malaysia, seakan-akan Hannah Yeoh had crossed the line dan seperti katanya, mungkin melanggar Perlembagaan Persekutuan dan Enakmen Kerajaan Negeri Selangor dengan membiarkan buku berkenaan dijual secara terbuka di Selangor, terdedah kepada orang-orang Islam, dengan maksud untuk menujukkan betapa jalan yang telah dilaluinya sebagai seorang Kristian sejak berumur 19 tahun mendapat restu tuhan dan tuhan telah menentukan untuk beliau terus menyampaikan mesej berkenaan menerusi parti politik yang dianggotainya, yakni DAP.
17. Kenapa beliau begitu terasa sehinggakan mendorongnya membuat laporan PDRM ke atas PMDKZY – hanya dia dan partinya yang tahu. Yang pasti, beliau tidak bergerak solo dan pasti DAP serta sekutu-sekutunya termasuk PAN/Amanah akan back-up YBHY semahu-mahunya. Tak mustahil selepas ni mungkin ada usaha untuk lakukan tabbayyun daripada pihak mufti atas faktor “untuk meredakan keadaan” atau sokongan terbuka daripada “Tok Mopti” atau tokoh dan “pakar hadith” tertentu!
18. Kita berpandangan berkemungkinan besar protes YBHY dan DAP ke atas tulisan PMDKZY berpunca daripada ayat-ayat berikut…. “Jelas berdasarkan kepada segala pengakuan terbuka Hannah Yeoh ini maka peri pentingnya prinsip sekularisme dalam perjuangan politik DAP adalah satu hipokrasi semata-mata. Sebaliknya, gambaran yang diberikan melalui buku ini adalah bahawa, bagi DAP, pemisahan urusan politik daripada urusan agama ini hanya perlu dibuat jika urusan agama ini adalah urusan agama Islam, tetapi jika urusan agama ini adalah urusan agama lain seperti Kristian maka tidak mengapa.” DAP terasa amat terpukul dengan kenyataan tersebut lalu mendorong penulis buku membuat laporan PDRM untuk mendiamkan penulis. Tapi DAP dan penulis BH tersilap duga kerana pensyarah berkenaan amat teliti dalam pemikiran dan penulisannya.
19. Seperkara lagi yang amat ditakuti DAP ialah buku berkenaan yang sudah diterbitkan sejak tahun 2014 belum pernah “diangkat martabatnya” sebagai boleh menimbulkan impak yang mendalam sebegini rupa kecuali menerusi komentar PMDKZY dalam fbnya dan kemudian dalam laporan PDRM susulan sebagai hujah balas laporan PDRM oleh YBNY. DAP amat bimbang jika sebahagian besar ahli-ahlinya yang sudahlah tidak berpuas hati dengan proses lantikan Jawatankuasa Pusat (CCC) kepimpinannnya yang jika ditinjau dimenangi oleh kroni Lim Kit Siang dan anak boboinya, Lim Guan Eng (selain Boboi dalam PBM!) secara kebetulan (benarkah “kebetulan”?) dimenangi oleh mereka yang menganggotai Kristianiti Evangelist yang sama.
20. Sehubungan itu, timbul beberapa persoalan penting:
(i) Berdasarkan pendedahan gerakan Dominionisme dan Zionisme Kristian yang mula menular ke negara kita oleh Iain Bucahanan dalam bukunya, Sang Nila Utama and The Lion of Judah (2015), benarkah wujud pakatan dalaman gerakan evangelisme Kristian dalam inner circle kepimpinan DAP tanpa pengetahuan pimpinan lain bukan Kristian apatah lagi oleh ahli-ahli DAP lainnya?
(ii) Buku Iaian Buchanan berkenaan lebih deskriptif dan mendalam – kenapa DAP tidak mahu bangkitkan? Jika tidak, bukankah ia memberi makna seolah-olah isi kandungan buku itu adalah “100% benar” dan tak dapat disangkal lagi terutamanya di bawah tajuk-tajuk kecil: “2. Christian Dominion: Lessons From Penang”, ms. 44-57; Bab 5: The Guanxi Network: Three Churches, ms. 129-143 dan Bab 8: Christian Zionism in Malaysia: The Singapore Connection, ms 166-177?
(iii) Benarkah dakwaan pihak-pihak tertentu bahawa kempen DAP dibiayai oleh pihak Kristian dari dalam dan luar negara untuk menggerakkan agenda kristianisasi menerusi parti politik DAP yang mampu mempengaruhi parti-parti lain seperti PKR, PAN/Amanah dan PBM?
(iv) Buku Becoming Hannah yang ditulis dengan gaya bahasa lunak dan memikat ini dianggap sebagai percubaan lembut untuk mengetengahkan ikon muda Hannah Yeoh sebagai lambang kejayaan seorang politikus yang komited dengan perjuangan menegakkan keadilan sosial di samping beliau juga seorang penganut Kristian yang komited – kononnya dengan maksud “ikutilah best practice sedia ada yang berkaya dilahirkan oleh DAP”! Dengan demikian, maka tidak hairanlah pujian ke atas BH turut diberikan oleh YB Saari Sungip (ADUN Selangor, Ex PAS dan kini PAN/Amanah dan juga berupa penulis siri buku-buku panduan dakwah dalam gerakan Islam, “Risalah Usrah” ) dan juga oleh YB Rafizi Ramli (yang semakin hari kredibilitinya tercemar oleh tindakan kendirinya!). Macam kita sebutkan tadi, silap-silap nanti ada Tok Mopti FB pulak yang sambut masuk gelanggang lalu mengelabukan lagi isu demi mendapatkan perhatian netizen.
(v) Kisah menarik BH ini menepati idea Kristianisasi sebagaimana yang terungkap dalam https://www.public.dumc.my/the-leap-forward/TLF20130127.docx berjudul, Principles of Influence in Politics bila mana beliau menjelaskan: “Hannah’s hope is to encourage and inspire young people to go into politics and try to make a change in the political domain in Malaysia (dihitamkan dan digariskan oleh penulis rencana ini). Many people say that politics is dirty and that Christians should have nothing to do with politics, but Hannah disagrees. Because politics is dirty that is why righteousness needs to be there, especially those who know and fear God.” (dihitamkan dan digariskan oleh penulis). Tidakkah kata-kata itu berkait rapat dengan buku beliau sebagaimana diulas oleh PMDKZY?
21. Sehubungan itu, oleh sebab laporan PDRM kedua-dua pihak sudah dibuat, maka eloklah pihak berkuasa PDRM, barangkali menerusi TS Ketua Polis Negara sendiri, memulakan arahan siasatan penuh dimulai dengan mengambil kenyataan kedua-dua pihak berkenaan, sekurang-kurangnya “untuk meredakan perbalahan di medan terbuka.” Jika ada fakta kes, maka Jabatan Peguam Negara boleh bertindak segera demi mengekalkan kedaulatan Islam dalam peruntukan Perlembagaan Persekutuan sebagai agama Persekutuan, Perkara 3(1) dan Perkara 11 (4) yang tidak membenarkan agama lain didiayahkan ke atas orang Islam dan Enakmen Kerajaan Negeri Selangor juga mendaulatkan Islam sepenuhnya.
22. Terserahlah kepada kepada pihak berkuasa kerajaan (government of the day) dan penjawat awam berkedudukan kuasa yang menjalankan tugas dan amanah yang dipikul di bawah Titah Perintah Tuanku Agong yang telah melafazkan Sumpah Jawatan SPB Yang diPertuan Agong (Perkara 37) selaku Ketua Agama Islam Persekutuan untuk mempertahankan kesucian Agama Islam di Malaysia.
23. Selain itu, selaras dengan Titah DYMM Tuanku Sultan Selangor pada 13 Mei 2017 baru-baru ini supaya ahli politik menjaga sahsiah, perilaku diri dan tidak cross the line agar nanti tidak sampai ada desakan supaya YBHY perlu dilucutkan jawatannya sebagai Speaker atau sekurang-kurangnya disekolahkan semula dan diberikan amaran keras, ikut mana yang bersesuaian.
24. Walaupun PRU-14 dikatakan semakin hampir, undang-undang negara mesti dipertahankan dan semua orang tertakluk padanya. Malu saya sebagai anak Selangor, Speaker tidak hormati kedudukan Agama Islam dalam perlembagaan negara dan Enakmen Kerajaan Negeri Selangor, seolah-olah berlaku biadap terhadap Tuanku Sultan Selangor!
M. Kamal Affandi,
Puchong
Pembaca menara.my
18 Mei 2017
1 comment
22 May, 2017 at 9:51 pm
Bedah Buku Becoming Hannah & Kontroversinya – MediaLantang.Com
[…] Source link […]